Saya menulis dari kerusi batu di beranda rumah, jari-jemari yang dahulunya cekap menulis esei di dewan universiti kini gemar menyisir kenangan seperti menyisir rambut putih yang jarang.
Ingatan melayang kembali ke dua saat yang membentuk tikar nasib saya dengan dua tawaran untuk menjadi penduduk tetap di sebuah negara yang nama Māori-nya penuh melodi: Aotearoa (New Zealand).
Dua peluang yang datang dengan suara lembut kertas rasmi, dengan meterai kerajaan dan janji akan ketenangan, tetapi juga dengan kelembutan tanya pada hati seorang yang merindui kampung halaman.
Tawaran pertama muncul selepas saya menamatkan pengajian di University of Waikato. Muda, bersemangat, namun juga dipenuhi rasa ingin pulang bukan kerana negara saya sempurna, tetapi kerana sesuatu yang lebih bersifat lendir: panggilan darah, bau hujan tanah halaman, suara jiran yang memanggil dengan nama penuh mesra.
Saya menolak. Saya ingat duduk di tepi tasik Hamilton, melihat air memantulkan langit, berfikir tentang ibu bapa yang menunggu, tentang kampung yang tak lagi sama tetapi tetap rumah. Tiada kerja menunggu saya di sana, namun keputusan saya bukan soal peluang ekonomi semata; ia soal menunaikan janji kecil kepada diri sendiri dan pulang.

Tawaran kedua datang kemudian, di tengah-tengah kerlip lampu Dubai, di mana menara-menara emas mengulang-ulang bayang diri seperti cermin yang tak pernah letih. Saya bekerja di sebuah syarikat, gaji mengatasi apa yang pernah saya bayangkan, dan ketika itu negara kecil di Selatan Pasifik itu sekali lagi mengetuk pintu, menawarkan status yang ramai rakan saya pilih dan pegang erat.
Namun, kali ini bukan lagi soal rindu yang sendu; keputusan saya lebih pragmatik apalagi gaji di Dubai jauh lebih tinggi, peluang bertambah luas, dan hidup di tengah komuniti Melayu-Muhajirin memberikan rasa selamat yang sukar saya tukar dengan selembar dokumen PR. Saya menolak lagi.
Rakan-rakan saya? Ramai yang memilih sebaliknya. Mereka menjadi warganegara tetap, menanam akar di tanah lembut Aotearoa, mengadakan rumah raya yang dipenuhi ungkapan “kia ora” dan kek coklat.
Sesetengah mereka menghantar mesej dengan kata-kata: “Sini hidup mudah, anak-anak suka sekolah, kami sudah ada jiran yang macam keluarga.”
Ada juga yang kembali mengunjungi kampung halaman hanya setiap beberapa tahun, menyimpan rindu seperti poskad lama. Keputusan mereka bukanlah salah atau betul dan ia sekadar satu simpang pada jalan hidup, di mana setiap simpang memunyai peta yang berbeza.
Dalam renungan saya, timbul pertanyaan yang halus: mengapa kaum Māori, yang asli kepada tanah ini, sering tidak berhijrah? Saya mengkaji dengan rasa ingin tahu lebih daripada kecerdasan akademik dengan berbual dengan rakan, membaca sedikit, memancing maklumat dari cerita kampung yang dibawa pulang oleh rakan Kiwi saya.
Jawapannya tidak tunggal. Ia berkait rapat dengan tanah bukan sekadar tanah yang boleh ditukar beli, tetapi tanah sebagai identiti, sebagai ikatan kepada whānau (keluarga besar), hapū (sub-tribe), iwi (suku).
Tanah bagi Māori adalah tempat roh bersemadi, tempat nenek moyang berbisik, bukan hanya aset ekonomi. Di samping itu, sistem komuniti dan tanggungjawab adat memperkukuh hubungan meninggalkan tanah tidak sama dengan berpindah rumah; ia seperti memutuskan satu bahagian dari cerita keluarga.
Saya teringat seorang sahabat Māori yang pernah saya temui sewaktu di Dubai dan lelaki yang berjenaka tentang rasa rindu pada hangi (makanan tradisional yang dimasak dalam lubang tanah), tetapi juga tentang cita-citanya di kota global.
Dia kemudian menjadi warganegara tetap Australia. Ceritanya mengajar saya bahawa keputusan berhijrah bukan monolitik; ada Māori yang bergerak, ada juga yang tetap. Kepelbagaian pilihan ini mengingatkan saya bahawa setiap manusia menimbang akar dan sayap dengan cara sendiri.
Menonton rakan-rakan saya membina kehidupan di New Zealand membawa campuran perasaan: bangga, cemburu, lega. Saya bangga kerana rakan-rakan menemui ketenangan; saya cemburu kerana kadang-kadang peluang itu nampak manis; saya lega kerana saya sendiri memilih jalan yang merangkumi kehangatan keluarga di Malaysia dan pengalaman kerja yang membentuk diri.
Keputusan saya untuk tidak menerima PR bukan bermakna saya menolak New Zealand - jauh sekali. Saya mengekalkan kasih sayang itu seperti bahan koleksi: foto tasik Waikato, ucapan “mā te wā” pada kad, nama profesor yang menulis surat sokongan. Hubungan kami lebih seperti surat cinta yang berterusan, bukan pernikahan rasmi.
Kini, sebagai warga emas, saya melihat pulang dan pergi orang seperti arus sungai yang perlahan. Ada aliran manusia yang meninggalkan pulau kecil itu mencari ruang dan upah; ada pula arus yang memasuki pulau dengan harapan dan tenaga.
Saya fikir tentang hakikat bahawa negara mana pun tidak henti-henti menjadi pentas peralihan. Di satu sudut, New Zealand kehilangan beberapa anaknya yang mencari peluang; di sudut lain, ia menerima yang baru, membentuk semula wajahnya.
Saya belajar bahawa negara bukanlah perabot yang tetap dan ia sebuah kisah yang sedang ditulis berulang kali.
Ada keindahan dalam menerima bahawa hidup kita penuh pilihan yang tidak sempurna. Saya menolak PR bukan kerana saya menentang peluang; saya menolaknya kerana ada sesuatu yang lebih mahal dari sekeping kertas: hubungan manusia yang tidak boleh dinilai dengan angka.
Adalah juga manis untuk saya tahu bahawa rakan Māori saya, walau memilih Australia, membawa bersama adatnya, dan menaburkan sedikit budaya asal itu di tempat baru. Identiti tidak padam dengan perpindahan dan ia berubah bentuk, berpindah dari perbendaharaan ingatan ke percakapan harian di pasar, ke dapur, ke anak yang belajar nyanyian kaum.
Dalam surat-surat saya kepada orang muda kini, saya menulis begini: pilihlah dengan kepala dan hati. Jangan biarkan tawaran rasmi menjadi satu-satunya cermin yang menilai hidup anda.
Ada harga yang tidak kelihatan pada setiap keputusan: satu senyuman yang hilang pada seorang ibu, satu pagi kopi yang anda tidak nikmati kerana perlu bekerja jauh, satu cerita yang tidak sempat diceritakan kepada cucu. Namun, ada juga hadiah pengalaman, kestabilan, peluang untuk melihat dunia dari sudut yang berbeza.
Saya akhiri dengan satu pengakuan lembut: saya tidak menyesal. Dua tawaran PR itu menjadi bahan cerita yang saya gemari ketika berbual di warung, ketika generasi baru bertanya tentang zaman muda saya.
Mereka membantu saya mengira apa yang benar-benar bernilai bukan taraf hidup yang diukur gaji, tetapi rasa pulang yang ditempelkan di atas dada seperti lencana kecil. New Zealand tetap tempat yang saya cintai; ia sebuah pulau yang pernah menawarkan tempat berteduh.
Tetapi saya memilih untuk terus menjadi pengembara yang pulang membawa potongan dunia lain di dalam hati, sambil menikmati durian di halaman sendiri pada petang yang lembap.
Begitulah, antara dua tawaran yang saya tolak, saya memilih untuk hidup dengan kenangan sebagai kompas. Kenangan itu berbisik lembut pada saya setiap petang: rumah adalah suara yang kita bawa, dan kadang-kadang, memilih untuk pulang adalah keberanian yang tenang.
Dan saya menolak tawaran ketiga untuk menjadi PR Kanada tetapi anak saya sudah menjadi PR Kanada!
MOHD FUDZAIL MOHD NOR pernah bermastautin di UAE, Arab Saudi dan New Zealand. Dia pernah bekerja di TV3, menjadi usahawan serta CEO dan pengarah beberapa syarikat antarabangsa.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
