Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Perang Iran: Lapan tentera AS parah, Trump beri isyarat bercelaru
Diterbitkan:  Mar 11, 2026 9:23 AM
Dikemaskini: 2:05 AM

Amerika Syarikat (AS) mengesahkan bahawa sekitar 140 anggota tenteranya telah cedera sejak bermulanya perang menentang Iran pada 28 Februari lalu.

AlJazeera yang memetik Pentagon melaporkan bahawa sebahagian besar kecederaan yang dialami adalah kecederaan ringan.

"Sejak bermulanya Operasi Epic Fury, kira-kira 140 anggota tentera AS telah cedera sepanjang 10 hari serangan berterusan," kata jurucakap Pentagon, Sean Parnell dalam satu kenyataan pada Selasa.

"Sebahagian besar daripada kecederaan ini adalah ringan, dan 108 anggota tentera telah pun kembali bertugas. Lapan anggota tentera masih disenaraikan sebagai cedera parah dan sedang menerima rawatan perubatan tahap tertinggi."

Kenyataan itu dikeluarkan selepas agensi berita Reuters menerbitkan laporan yang memetik dua pegawai yang tidak dikenali sebagai berkata bahawa 150 anggota tentera cedera dalam tempoh 10 hari pertama peperangan tersebut.

AlJazeera turut menyebut tentera AS telah mengesahkan tujuh kematian akibat serangan Iran di seluruh rantau berkenaan.

Pada Isnin, pihak tentera memaklumkan bahawa anggota kelapan meninggal dunia akibat "insiden berkaitan kesihatan" di Kuwait.

Iran bertindak balas terhadap kempen pengeboman AS-Israel yang mengorbankan Pemimpin Agung Ali Khamenei dan lebih 1,250 orang lain dengan serangan peluru berpandu dan dron ke atas Israel serta pangkalan AS di Asia Barat.

Presiden AS, Donald Trump tidak menolak kemungkinan untuk mengerahkan tentera darat AS ke Iran.

Pada Isnin, Presiden AS itu menyifatkan peperangan tersebut sebagai "sangat lengkap" dan akan berakhir tidak lama lagi.

Bagaimanapun, pembantu-pembantunya berkata bahawa kempen ketenteraan itu baru sahaja bermula dan akan diteruskan sehingga semua objektif AS tercapai.

Ditanya mengenai penilaian mana yang benar, Trump memberitahu wartawan pada Isnin: "Saya fikir anda boleh katakan kedua-duanya sekali."


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS