Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pasaran minyak bergejolak: AS dakwa Iran pasang periuk api di Hormuz
Diterbitkan:  Mar 11, 2026 10:05 AM
Dikemaskini: 2:14 AM

Iran dilaporkan telah mula memasang periuk api di Selat Hormuz, laluan tenaga paling penting di dunia yang mengendalikan kira-kira satu perlima daripada keseluruhan bekalan minyak mentah.

Menurut CNN yang memetik dua individu yang mempunyai maklumat mengenai laporan perisikan Amerika Syarikat (AS), aktiviti pemasangan periuk api itu belum lagi meluas, dengan hanya puluhan dipasang dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini.

Bagaimanapun, seorang sumber berkata, bahawa Iran masih mengekalkan lebih 80 peratus hingga 90 peratus bot kecil dan kapal penyebar periuk apinya, maka mereka secara teknikal mampu memasang beratus-ratus periuk api di laluan air tersebut.

Menurut laporan itu, Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran, yang kini mengawal selat Hormuz secara efektif bersama tentera laut Iran, mempunyai keupayaan untuk mengerahkan lebih banyak kapal penyebar periuk api, bot sarat bahan letupan, dan bateri peluru berpandu berpangkalan di darat ke kawasan berkenaan.

Presiden Donald Trump dalam satu hantaran di Truth Social pada Selasa berkata, "jika Iran telah memasang periuk api di Selat Hormuz, dan kami tidak mempunyai laporan mereka berbuat demikian, kami mahu ia dialihkan, serta-merta!"

Katanya, jika periuk api tersebut dipasang dan tidak dialihkan, Iran akan berhadapan dengan kesan "pada tahap yang tidak pernah dilihat sebelum ini." Bagaimanapun, dia berkata jika Tehran mengalihkan "apa yang mungkin telah dipasang, ia akan menjadi langkah besar ke arah yang betul!"

Susulan hantaran Trump, Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth memuat naik di laman X bahawa atas arahan Trump, Markas Pemerintahan Pusat AS (Centcom) "telah menghapuskan kapal penyebar periuk api yang tidak aktif di Selat Hormuz — memusnahkan mereka dengan ketepatan yang kejam. Kami tidak akan membiarkan pengganas menjadikan Selat Hormuz sebagai tebusan."

Centcom dalam satu hantaran media sosial lewat Selasa menyatakan bahawa pihak tentera telah memusnahkan pelbagai kapal tentera laut Iran — termasuk 16 kapal penyebar periuk api — berhampiran Selat Hormuz.

IRGC sebelum ini memberi amaran bahawa mana-mana kapal yang melalui selat itu akan diserang, dan laluan tersebut secara efektif telah ditutup sejak permulaan perang.

Keadaan di selat itu disifatkan kepada CNN sebagai "lembah kematian" memandangkan risiko tinggi yang terlibat dalam transit tersebut.

Pegawai AS berkata pada Selasa bahawa Tentera Laut AS tidak lagi mengiringi mana-mana kapal melalui selat itu, walaupun Trump berkata pada Isnin bahawa pentadbirannya sedang melihat pilihan untuk berbuat demikian.

Trump juga semasa sidang akhbar Isnin lalu berkata, bahawa “Selat Hormuz akan kekal selamat. Kami mempunyai banyak kapal Tentera Laut di sana. Kami mempunyai peralatan terbaik di dunia untuk memeriksa periuk api.”

Menurut CNN pengeluaran minyak mentah hampir 15 juta tong sehari, ditambah lagi 4.5 juta tong sehari bahan api bertapis, kini secara efektif "tersadai" di Teluk, dan pengeluar seperti Iraq dan Kuwait tidak mempunyai alternatif lain untuk menghantar minyak selain melalui Hormuz.

Kumpulan ekonomi besar G7 juga telah memberi bayangan bahawa ia mungkin akan mengeluarkan lebih banyak bekalan minyak untuk cuba mengimbangi kekurangan tersebut.

Ketidaktentuan yang menyelubungi keupayaan untuk membawa minyak melalui laluan itu telah menyebabkan turun naik yang teruk dalam pasaran minyak mentah pada Selasa, dengan harga setong turun naik antara lebih AS$90 dan kurang daripada AS$80 dalam siri kenaikan dan kejatuhan yang mendadak.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS