Lelaki yang mendakwa sebagai aktivis tanah, Tamim Dahri Abdul Razak, mendakwa dia “tidak terfikir langsung” dia menggunakan kaki ke atas simbol keagamaan Hindu dalam klip video yang tular dan mengundang kemarahan penganut agama berkenaan baru-baru ini.
Katanya, kejadian itu berlaku ketika dia bersiar-siar untuk meredakan tekanan sewaktu kunjungan kerja di Langkawi beberapa hari lalu.
Disebabkan tekanan kerja, dakwanya, dia memilih untuk meneroka tempat-tempat langka yang ada di pulau pelancongan berkenaan.

“Aku sewa kereta dan pusing sekeliling pulau. Sampai satu tempat berdekatan gua-gua, aku berhenti untuk singgah. Kawasan tu penuh dengan monyet-monyet liar dan aku ambil kesempatan untuk beri makan.
“Dalam masa yang sama, aku ternampak ada batang besi konkrit yang tajam.
“Tidak terfikir langsung itu adalah lambang keagamaan memandangkan ia hanya besi berkarat yang tajam. Itu juga bukan rumah anutan kerana tiada bangunan dan kawasan sekitar adalah lapang,” dakwanya melalui hantaran di Facebook malam tadi.
Justeru dakwanya dia mengalihkan “besi berkarat” itu – antara lain – untuk mengalakkan bahaya kepada orang lain yang datang ke situ.

“Dan yang paling penting, perbuatan mengalihkan benda yang menyakiti di jalan adalah sedekah,” katanya lagi.
Tamim Dahri juga meminta orang ramai “menilai sendiri” besi yang dipijaknya itu dengan trisula digunakan penganut Hindu kerana dianggap “jauh berbeza” antara satu sama lain.
Dalam hantaran sama dia turut melampirkan imej yang dimuat naik aktivis Hindu, Arun Dorasamy, yang menunjukkan batang logam bercabang tiga – dinamakan soolam oleh penganut agama itu – serta gambar trisula yang lebih kompleks.
Dalam video yang dimuat naik sendiri sebelum ini, Tamim Dahri dilihat memijak objek tersebut. Mengiringi hantaran tersebut ialah kapsyen , “aktiviti masa lapang.”
Tamim Dahri kini menjadi antara watak utama gerakan membangkitkan isu kuil-kuil Hindu yang dibina tanpa mendapat kelulusan atau kebenaran yang sepatutnya.
Bulan lalu, dia ditahan polis bersama tiga yang lain untuk disiasat berhubung insiden merosakkan salah satu kuil haram di Rawang. Binaan itu dibina di atas tanah milik Yayasan Kubra.
Sangkal dakwaan Tamim
Dalam sebuah video Facebook yang berasingan, aktivis masyarakat India, Umagandhan Krishnan, menyangkal versi kejadian yang diceritakan oleh Tamim.
Katanya, soolam (trisula) tersebut adalah sebahagian daripada kuil Langkawi Shree Muniswarar Alayam, yang menurutnya, dibina dengan kebenaran di atas tanah persendirian milik sebuah syarikat automotif.
Menurutnya bahawa terdapat papan tanda besar yang menyatakan kawasan tersebut adalah tanah kuil.
Umagandhan menjelaskan bahawa kawasan lokasi soolam tersebut dirosakkan bukanlah tapak ritual utama, namun penganut Hindu ada menyalakan lampu minyak di trisula berkenaan.
Tamim merupakan seorang penyokong tegar gerakan meruntuhkan kuil-kuil Hindu yang tidak mendapat kebenaran di negara ini.

Bulan lalu, dia antara empat individu yang ditangkap kerana merosakkan sebuah kuil sedemikian di Rawang.
Pelbagai laporan polis telah dibuat terhadap dirinya berhubung dakwaan insiden penghinaan soolam tersebut.
Insiden ini berlaku hanya seminggu selepas kemarahan masyarakat Melayu / Islam tercetus akibat tindakan seorang pelajar berusia 21 tahun yang menghina Al-Quran — yang menyaksikan tindakan undang-undang telah diambil dengan segera.
