Gambaran Perdana Menteri Anwar Ibrahim terhadap keluarga Daim Zainuddin sebagai pihak yang cuba menggugat kestabilan negara melalui campur tangan asing menyamai tindakan keras Najib Abdul Razak terhadap mereka yang lantang mengkritik 1MDB, dakwa anggota PAS, Khairuddin Abu Hassan.
Pada 2015, Khairuddin yang ketika itu merupakan naib ketua Umno Batu Kawan, mengembara ke pelbagai negara untuk membuat laporan mengenai skandal kewangan global tersebut, yang membawa kepada penangkapan dan penahanannya bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
Selain siasatan bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan atas cubaan melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen, Khairuddin juga dituduh bawah Seksyen 124C kerana didakwa melakukan sabotaj terhadap institusi kewangan.
Balu Daim, Na’imah Abdul Khalid, kini sedang disiasat atas dakwaan serupa, bawah Seksyen 124B kerana didakwa mengancam demokrasi berparlimen selepas satu laporan polis mengaitkan dia dalam komplot untuk menjatuhkan kerajaan dengan menggunakan saluran media antarabangsa bagi memberi tekanan kepada Anwar dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki.
Seksyen 124B hingga 124N diperkenalkan ke dalam Kanun Keseksaan pada 2012 semasa kepimpinan Najib. Pemimpin pembangkang dan pengkritik ketika itu mendakwa undang-undang tersebut digunakan secara tidak adil terhadap mereka yang cuba mendedahkan skandal 1MDB.
Sebagai bekas sasaran, Khairuddin berpendapat persamaan antara kesnya dan kes yang dimulakan terhadap keluarga Daim sekarang adalah kedua-dua pihak tidak pernah secara aktif cuba mensabotaj kerajaan yang memerintah.
"Keluarga Daim mahu menyangkal tuduhan terhadapnya dan memelihara nama baiknya - itu tidak ada kaitan dengan menggugat demokrasi," kata anggota jawatankuasa penerangan PAS Melaka itu kepada Malaysiakini.
"(Siasatan terhadap Na’imah menunjukkan bagaimana) undang-undang dan pihak berkuasa digunakan untuk menakut-nakutkan pengkritik dan pesaing politik - polis, SPRM, dan AGC (Pejabat Peguam Negara) digunakan sebagai alat.
"Apa yang berlaku kepada saya adalah bukti perkara itu berlaku pada masa lalu, dan kini ia berlaku lagi," tegasnya.
Na’imah menafikan penglibatan dalam komplot yang didakwa itu, dan menyifatkan kandungan laporan polis tersebut sebagai "palsu dan tidak masuk akal".
Berhujah bahawa masa laporan polis itu dibuat menunjukkan cubaan terdesak untuk mengalihkan perhatian daripada desakan agar Azam disingkirkan, dia juga berkata laporan itu dibuat sejurus selepas salah satu skandal terbesar yang melanda kerajaan.
Pada 2 Mac, bocor satu "pelan komunikasi" 13 halaman yang dikatakan disediakan pada Ogos tahun lepas sebagai sebahagian daripada usaha keluarga Daim untuk memelihara reputasi bekas menteri kewangan itu di tengah-tengah tindakan undang-undang oleh SPRM.
Pelan itu, yang dirancang untuk dua tahun sehingga pilihan raya umum akan datang, menggariskan strategi bertujuan menggugat naratif kerajaan dengan membingkaikan prosiding undang-undang terhadap Daim dan keluarganya sebagai serangan bermotifkan politik, dan bukan usaha membanteras rasuah yang sah.
Selain "taklimat latar belakang dengan media antarabangsa utama" untuk "membantu membentuk perspektif mereka terhadap Malaysia/mempengaruhi penulisan editorial mereka," dokumen itu juga mencadangkan penglibatan dengan anggota parlimen untuk menghasilkan "tekanan dan akauntabiliti".
Kegagalan badan penguat kuasa
Khairuddin, yang membuat laporan terhadap 1MDB kepada Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat tiga tahun selepas penahanan 60 harinya bawah Sosma, menyifatkan tindakan keluarga Daim sebagai kesan daripada apa yang disebutnya sebagai kegagalan badan penguatkuasa negara.
"Apabila institusi domestik lumpuh dan gagal, tindakan mencari remedi antarabangsa adalah satu tindakan patriotisme, bukan tindakan pengkhianatan," katanya.
Dia juga merujuk kepada masa lalu Anwar, terutamanya pemecatannya daripada Umno dan jawatan timbalan perdana menteri pada 1998, ketika Khairuddin secara meluas dilihat sebagai proksi kepada perdana menteri ketika itu, Mahathir Mohamad.
"(Ekoran pemecatannya daripada jawatan) Anwar mengembara ke seluruh dunia untuk meminta bantuan daripada kuasa asing dan media antarabangsa untuk menjatuhkan kepimpinan (Mahathir).
"(Anwar) mengatur protes dan kumpulan demonstrasi jalanan untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat - tiada siapa boleh memadamkan fakta sejarah, tetapi sekarang, lihat siapa yang bercakap tentang betapa tidak beretika dan melanggar undang-undang untuk menjatuhkan kerajaan," kata Khairuddin.
Oleh itu, dia menyamakan amaran berulang kali Anwar terhadap "sabotaj asing" sebagai sebahagian daripada "perang psikologi" menggunakan "propaganda" untuk mewujudkan ketakutan dalam kalangan orang ramai, dan bukannya gambaran kebimbangan keselamatan negara yang tulen.
"Bagi Anwar, bantuan asing adalah baik jika ia memihak kepadanya, tetapi sangat berbahaya jika ia boleh digunakan untuk menjatuhkan kerajaannya," katanya.
Sebelum ini, anggota parlimen pembangkang Shahidan Kassim menyoal Anwar mengenai dakwaan sikap pilih kasihnya dalam hal lobi kuasa asing, dengan anggota parlimen PAS itu merujuk kepada laporan MalaysiaNow mengenai komunikasi PKR pada 2016 dengan firma perunding politik Amerika Syarikat.
Perbincangan itu dikatakan bertujuan untuk membersihkan nama Anwar semasa dia menjalani hukuman penjara kerana liwat dan memberi tekanan kepada kerajaan Najib, yang ketika itu sedang bergelut dengan skandal 1MDB.
Menjawab Shahidan, Anwar memberitahu Dewan Rakyat bahawa keluarga Daim bukan "sekadar melobi untuk kebebasan," sebaliknya mereka "mempersoalkan keseluruhan sistem negara dan mencabar kedudukan kerajaan."
Bekas naib presiden PKR, Sivarasa Rasiah kemudian mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa PKR pernah berhubung dengan firma yang berpangkalan di Washington itu, sambil menambah bahawa melobi untuk pembebasan tahanan politik adalah perkara biasa dan "sepenuhnya boleh diterima".
