Pempengaruh media sosial S Chandrasegaran – atau lebih dikenali sebagai Cikgu Chandra – berharap pihak berkuasa mengambil tindakan segera menahan individu yang terlibat dalam insiden serangan ke atasnya, termasuk yang terbaru melibatkan pembakaran tiga kenderaan semalam.
Ketika dihubungi Malaysiakini, Chandrasegaran berkata, harapan itu dibuat susulan maklumat yang diterimanya bahawa polis sudah memperoleh beberapa petunjuk berkaitan kejadian tersebut.
“Beberapa petunjuk dah ada dan saya berharap dalam masa terdekat Polis Diraja Malaysia akan buat beberapa tangkapan segera,” katanya.
Chandrasegaran berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan terkini melibatkan diri dan keluarganya selepas beberapa kejadian yang menimpa mereka kebelakangan ini.
Semalam Malaysiakini melaporkan tiga kereta Chandrasegaran dibakar dalam kejadian awal pagi di Taman Kinrara, Puchong, Selangor.
Petang kelmarin pula, dia memuat naik satu video yang mendakwa pagar rumah serta keretanya dirosakkan oleh individu bertopeng dan bersenjata parang.
Insiden tersebut berlaku hanya beberapa hari selepas personaliti berpengaruh, Zamri Vinoth, dilaporkan diserang sekumpulan lelaki ketika berada di dalam kereta.
Chandrasegaran sebelum ini sering menjadi perhatian susulan pendiriannya yang lantang berhubung isu pembinaan kuil secara haram.
Akan terus bersuara
Mengulas keadaan keluarganya, Chandrasegaran berkata anaknya masih mengalami sedikit trauma akibat kejadian yang berlaku semalam namun secara keseluruhan keadaan semakin pulih.
“Semasa kejadian semalam memang sangat trauma. Saya risau keselamatan diri dan keluarga, tapi sekarang keadaan semakin baik, lebih-lebih lagi apabila kerajaan sudah ambil beberapa tindakan untuk melindungi saya dan keluarga.
“Cuma anak saya masih trauma sedikit.
“Sekarang semuanya semakin kembali OK. Polis juga melakukan pemantauan keselamatan 24 jam di kawasan kediaman dan rumah saya,” katanya.
Menurut Chandrasegaran, walaupun berdepan ancaman, dia memilih untuk terus tinggal di rumah sekarang kerana yakin kepada perlindungan yang diberikan pihak berkuasa.

“Saya rasa kita sudah ada perlindungan, jadi kenapa perlu lari dari sini,” katanya.
Chandrasegaran turut menegaskan dia tidak akan berhenti bersuara mengenai isu yang dibangkitkan sebelum ini, khususnya berkaitan pencerobohan tanah dan kegiatan gangsterisme.
Cuma, tambahnya, dia mungkin berehat sedikit untuk memberikan lebih fokus kepada keluarga.
Menurutnya lagi, dia tidak bercadang berubah kerana yakin tidak melakukan sebarang kesalahan, bahkan percaya suaranya diperlukan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat.
“Kalau saya diam, saya tidak tahu jika perkara seperti ini akan berulang dan mungkin lebih ramai akan menjadi mangsa.
“Keluarga juga memberikan saya kekuatan untuk terus bersuara mengenai isu ini,” katanya.
Bulan lalu, Chandrasegaran ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung hantaran di media sosial yang didakwa mengandungi kenyataan merendah-rendahkan komuniti India dalam isu berkaitan kuil.
Kenyataan tersebut disifatkan sebagai bersifat menghasut, menghina dan menyakitkan hati dengan niat mengganggu ketenteraman awam serta berpotensi mendorong tindakan di luar kawalan undang-undang.
