Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes Cikgu Chandra: Polis kata ada perkembangan positif

Polis Selangor berkata terdapat “perkembangan positif” dalam siasatan berhubung insiden serangan terhadap rumah pempengaruh S Chandrasegaran di Taman Kinrara, Puchong, semalam.

Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar memaklumkan, pihaknya telah membuka dua kertas siasatan berkaitan kejadian pada 9 dan 10 Mac lalu itu, namun enggan mendedahkan butiran terperinci siasatan bagi menjaga kerahsiaan kes.

"Setakat maklumat ini, telah ditaklimatkan. Alhamdulillah ada perkembangan yang positif bagi kedua-dua kes tersebut.

"Namun saya tidak akan kongsikan butiran siasatan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor, di Shah Alam, pagi tadi.

Semalam, tular insiden membabitkan Chandrasegaran yang tiga keretanya dibakar oleh sekumpulan individu bertopeng. Sehari sebelum itu pagar rumah dan keretanya dirosakkan, juga oleh pihak tidak dikenali.

Semalam Shazeli menjelaskan bahawa dua laporan polis diterima berhubung kejadian itu.

Bagi insiden pertama yang dilaporkan pada 9 Mac, kes disiasat bawah Seksyen 427 (khianat) dan Seksyen 506 (ugutan jenayah) Kanun Keseksaan. 

Bagi insiden kedua pada 10 Mac, satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan berhubung perbuatan khianat dengan api yang membabitkan kenderaan.

Sementara itu, Shazeli turut menyeru orang ramai tidak membuat spekulasi atau provokasi yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan ketenteraman awam, terutamanya yang menyentuh isu-isu sensitif 3R (agama, kaum dan institusi diraja).

"Saya faham pada masa sekarang isu berkaitan dengan bangsa dan agama sedang hangat.

"Saya menyeru kepada masyarakat supaya diberhentikan tindakan tersebut kerana kita bimbang jika tidak dikawal, kemelut yang lebih buruk akan berlaku," katanya.

Chandrasegaran terkenal susulan pendirian kerasnya terhadap pembinaan kuil secara haram.

Bulan lalu, dia ditahan pihak polis bagi membantu siasatan berhubung hantaran di media sosial yang didakwa mengandungi kenyataan merendah-rendahkan komuniti India dalam isu berkaitan kuil.

Kenyataan itu disifatkan sebagai bersifat menghasut, menghina dan menyakitkan hati dengan niat mengganggu ketenteraman awam serta berpotensi mendorong tindakan di luar kawalan undang-undang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS