Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kes Muhyiddin: Video suntingan keputusan saya, bukan Azam Baki'
Diterbitkan:  Mar 11, 2026 1:38 PM
Dikemaskini: 5:38 AM

Ketua pendakwaan dalam perbicaraan kes rasuah Muhyiddin Yassin mempertahankan penggunaan video yang disunting dalam kesnya terhadap presiden Bersatu itu, susulan kritikan berhubung tanggapan wujudnya amalan dwi-standard oleh SPRM.

Ini berlaku selepas Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center) semalam menggesa SPRM menjelaskan pendiriannya mengenai penggunaan video yang disunting sebagai bahan bukti dalam siasatan.

Timbalan Ketua II Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang baharu dilantik, Wan Shaharuddin Wan Ladin, berkata penggunaan video suntingan dalam perbicaraan Muhyiddin adalah keputusannya sendiri dan bukannya keputusan Azam.

Wan Shaharuddin Wan Ladin

"Saya rasa C4 Center patut berlaku adil kepada (Ketua Pesuruhjaya SPRM) Azam Baki. Ini di luar kawalan beliau. Itu adalah keputusan saya memandangkan perbicaraan telah bermula. Dan saya rasa saya tidak perlu menjawab kepada C4 Center," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Tambahnya, video tersebut digunakan untuk menunjukkan Muhyiddin mengakui bahawa dana telah disalurkan kepada Bersatu dan dia tidak memasukkan wang itu ke dalam poket sendiri, dian akan disusuli dengan bukti lain termasuk keterangan daripada pegawai bank.

Ketua Pegawai Eksekutif C4 Center, Pushpan Murugiah semalam berkata tindakan pihak pendakwaan mengemukakan video suntingan sebagai bahan bukti tidak seharusnya dikritik, kerana ia mungkin mempunyai nilai pembuktian yang boleh disandarkan oleh mahkamah jika video tersebut dianggap boleh diterima.

Bagaimanapun, katanya, hal itu menimbulkan keraguan besar terhadap pendirian Azam sebelum ini mengenai video skandal rasuah Sabah, yang dianggap tidak boleh digunakan dan tidak kredibel kerana telah disunting.

Pushpan Murugiah

Ini merujuk kepada video perbualan oleh pemberi rasuah yang kini menjadi pemberi maklumat, yang mendedahkan dakwaan rasuah melibatkan beberapa ahli politik Sabah.

Versi video yang tidak disunting telah diserahkan kepada SPRM, walaupun hanya dua ahli politik yang telah didakwa setakat ini.

Percanggahan pendirian SPRM ini turut dibangkitkan oleh peguam bela Muhyiddin semasa perbicaraan.

Apabila diminta memberikan perspektifnya mengenai percanggahan penggunaan video suntingan tersebut, Wan Shaharuddin berkata ini kerana pihak pendakwa dan agensi penguatkuasaan mempunyai matlamat yang berbeza.

"Ia mudah. Siasatan mempunyai satu objektif, dan pendakwaan mempunyai objektif yang lain.

“Kami hanya mendakwa kes yang mempunyai 99 peratus peluang untuk menang. Baki satu peratus lagi adalah ketentuan Tuhan dan mahkamah," katanya.

Muhyiddin sedang dibicarakan atas tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan RM225.3 juta.

Pertuduhan tersebut berkaitan dengan program Jana Wibawa, yang diperkenalkan ketika beliau menjadi perdana menteri antara 2020 dan 2021 untuk mempercepatkan pelaksanaan projek dan merangsang ekonomi negara semasa pandemik Covid-19.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS