Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Suami pelakon didakwa tipu jual tanah kurniaan, darjah kebesaran
Diterbitkan:  Mar 11, 2026 1:50 PM
Dikemaskini: 5:50 AM

Suami kepada seorang pelakon mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan memperdaya seorang lelaki bagi mendapatkan tanah kurniaan yang tidak wujud membabitkan kerugian RM270,811 pada tahun lalu.

Mohd Apri Hazreen Mohd Aziz, 41, membuat pengakuan itu di hadapan hakim Mohamad Kamil Nizam.

Mengikut pertuduhan, Mohd Apri Hazreen didakwa menipu lelaki berusia 56 tahun berkenaan untuk membayar RM270,811 ke akaun seorang wanita berumur 35 tahun pada 2 April hingga 12 Nov 2025 di sebuah bank di Seremban.

Bayaran itu bertujuan mendapatkan tanah kurniaan Selangor yang tidak wujud, dengan mangsa tidak akan menyerahkan wang tersebut sekiranya tidak diperdayakan.

Timbalan Pendakwa Raya Nadia Ezzati Mohamad Zainal menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin yang bukan isteri tertuduh berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah, tidak mengganggu saksi serta melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan paling minimum atas alasan dia menghidap empat penyakit termasuk jantung dan kencing manis, selain perlu menanggung sembilan anak, isteri yang tidak bekerja dan ibu.

Sementara itu di Mahkamah Majistret Seremban, Mohd Apri Hazreen turut mengaku tidak bersalah di hadapan majistret Nurul Saqinah Rosli atas pertuduhan memperdaya seorang lelaki berusia 49 tahun bagi mendapatkan darjah kebesaran membawa gelaran ‘Datuk’ yang tidak wujud membabitkan kerugian RM23,120 antara 22 Jan hingga 9 Nov 2025 di sebuah pejabat di Seremban 2.

Bagi kedua-dua pertuduhan berkenaan, Mohd Apri Hazreen didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun serta sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah sesyen menetapkan jaminan sebanyak RM25,000 dan bersetuju dengan semua syarat dikemukakan pihak pendakwaan, manakala mahkamah majistret mengenakan jaminan RM3,000.

Mahkamah turut menetapkan 15 April untuk sebutan semula kes.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS