Jemaah Menteri hari ini membincangkan hasil laporan siasatan jawatankuasa khas siasatan yang diketuai peguam negara berhubung isu pemilikan saham melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki.
Jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil, berkata mesyuarat Kabinet juga telah memutuskan bahawa tindakan selanjutnya berkaitan perkara itu diserahkan kepada Ketua Setiausaha Ngeara (KSN), Shamsul Azri Abu Bakar.
Bagaimanapun, Fahmi berkata dia tidak akan mendedahkan butiran hasil laporan tersebut buat masa ini.
“Jemaah Menteri pada hari ini telah menerima dan membincangkan hasil laporan siasatan oleh Peguam Negara dalam isu saham Ketua Pengarah SPRM.
“Jemaah Menteri telah memutuskan bahawa tindakan selanjutnya akan diambil oleh Ketua Setiausaha Negara,” katanya dalam sidang media khas bersama perdana menteri di Putrajaya, hari ini.

Menurutnya, butiran lanjut tidak dapat didedahkan memandangkan terdapat langkah susulan yang perlu dilaksanakan oleh KSN.
“Saya tidak akan nyatakan apa hasil daripada laporan itu memandangkan ada langkah seterusnya yang perlu dilaksanakan oleh Tan Sri KSN.
“Untuk maklumat lanjut, kita tunggu kenyataan daripada Yang Berbahagia Tan Sri (Shamsul Azri),” katanya.
Sebelum ini media antarabangsa Bloomberg dalam laporannya mendakwa Azam memegang jutaan saham dalam sebuah syartikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.

Bagaimanapun, Azam menegaskan pegangan saham miliknya bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dibuat secara telus dan mengikut prosedur.
Kabinet arah siasat ‘mafia korporat’
Sementara itu, dalam sidang media yang sama Fahmi berkata kabinet mengarahkan beberapa agensi penguatkuasaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) supaya meneruskan siasatan berkaitan isu manipulasi korporat.
Siasatan itu, katanya, tidak terhad kepada individu yang kini berada dalam tumpuan siasatan awal sahaja.
“Siasatan secara menyeluruh itu nanti tidak terhad kepada individu-individu yang pada waktu ini dalam tumpuan siasatan awal dan mengambil tindakan-tindakan perundangan yang bersesuaian,” katanya.
Tambahnya, tindakan tersebut termasuk kemungkinan menyita hasil yang dipercayai mempunyai unsur jenayah.
Selain itu, katanya agensi berkaitan juga diminta meneliti sekiranya terdapat sebarang kelompangan dalam undang-undang sedia ada yang mungkin membolehkan aktiviti manipulasi korporat berlaku.
Pada 11 Feb lalu, Bloomberg menerbitkan artikel “Who’s Watching Malaysia’s Anti-Corruption Watchdog?” yang melaporkan dakwaan bahawa sekumpulan ahli perniagaan, dipercayai bekerjasama dengan pegawai SPRM tertentu, menekan tokoh korporat bagi mengambil alih syarikat tertentu, yang kemudian digelar sebagai “mafia korporat”.
Azam menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu dan telah memfailkan saman terhadap Bloomberg bagi menuntut ganti rugi sebanyak RM100 juta.
Pada 24 Februari, SPRM juga menafikan wujudnya “mafia korporat”, dengan menyatakan bahawa dakwaan itu dipercayai berasal daripada sebuah blog yang tiada pemilik, penulis atau akauntabiliti jelas.
Beberapa pepimpin politik menggesa penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat dakwaan “mafia korporat” itu serta isu pemilikan saham Azam.
Terdapat juga desakan supaya Azam digantung sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM sementara siasatan terhadap kontroversi pemilikan saham itu dijalankan.
