Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pergolakan dalam lembaga pengarah gegar syarikat pembekal MyKad, pasport
Diterbitkan:  Mar 11, 2026 8:34 PM
Dikemaskini: 12:34 PM

Satu kemelut melibatkan individu berprofil tinggi dan mereka yang dikaitkan dengan beberapa skandal melanda NexG Berhad – syarikat yang memegang kontrak kerajaan bernilai RM2.4 bilion bagi membekalkan MyKad dan pasport.

Minggu lalu, lembaga pengarah syarikat itu menggantung pengasas, pengerusi eksekutif dan ketua pegawai eksekutifnya, Abu Hanifah Noordin, yang dikatakan bagi membantu siasatan terhadap beberapa pelaburan syarikat dalam syarikat tersenarai awam.

Pelaburan yang dimaksudkan dipercayai termasuk pelaburan NexG dalam MMAG Holdings pada Mac 2025 – bulan yang sama ahli perniagaan Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menjadi pemegang saham terbesar syarikat itu – serta pelaburan dalam Classita Holdings Bhd, yang kini dikenali sebagai NexG Bina Bhd.

Kedua-dua pelaburan tersebut dilaporkan mengalami kerugian.

Bagaimanapun, The Edge melaporkan penggantungan itu akibat perebutan kuasa dalam lembaga pengarah selepas Raya Aviation Holdings memperoleh pegangan sebanyak 20.4 peratus dalam NexG, sekali gus menjadi pemegang saham terbesar.

Menurut akhbar perniagaan itu, Hanifah mahu ahli perniagaan Ishak Ismail – yang anak-anaknya mengawal Raya Aviation – dilantik sebagai ahli lembaga pengarah bersama seorang daripada anaknya. Anak perempuan Ishak, Siti Nur Aisyah, juga merupakan pemegang saham NexG yang bersekutu dengan Hanifah.

Turut dilaporkan bersama Hanifah ialah Velocity Capital Berhad – cabang pembiayaan kepada Velocity Capital Partners Berhad, iaitu syarikat yang sahamnya pernah dimiliki oleh ketua pesuruhjaya SPRM, Azam Baki.

Hanifah, Siti Nur Aisyah dan Velocity Capital bersama-sama memegang sekurang-kurangnya 10 peratus pegangan dalam NexG.

Ishak pula dikenali sebagai sekutu Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada era 1990-an. Bagaimanapun, Anwar mendakwa hubungan mereka renggang selepas 1998.

Pada 2014, bekas menteri luar Anifah Aman mendakwa di mahkamah bahawa Anwar menggunakan Ishak sebagai orang tengah untuk menawarkan rasuah kepada Ahli Parlimen Kimanis ketika itu bagi berpaling tadah dan menjatuhkan kerajaan BN selepas Pilihan Raya Umum 2008. Anwar dan Ishak bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.

Singkir tujuh pengarah

Laporan The Edge turut menyatakan bahawa rancangan Hanifah untuk melantik Ishak serta beberapa individu lain ke dalam lembaga pengarah memerlukan penyingkiran tujuh pengarah sedia ada.

Antara yang dikatakan bakal disingkirkan ialah peguam Chong Loong Men.

Sebelum ini, laporan Bloomberg mengenai apa yang digelar sebagai “mafia korporat” mendakwa ahli perniagaan yang bersekongkol dengan SPRM untuk menekan pesaing perniagaan kadangkala menggunakan khidmat Chong.

Peguam Chong bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dalam maklum balas kepada Bloomberg, termasuk menolak sebarang penglibatan dalam “mafia korporat” atau salah laku lain.

Chong kemudian meletakkan jawatan sebagai pengarah dan pengarah eksekutif NexG pada 8 Mac atas alasan peribadi.

Pengambilalihan lembaga pengarah itu merupakan agenda dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa yang dicadangkan oleh Hanifah bersama sekutunya.

Dalam satu kenyataan pada malam Selasa, Hanifah mendakwa penggantungan terhadapnya berlaku kerana dia membantah dan cuba melindungi NexG daripada “dirompak secara terang-terangan”.

Dia mendakwa lembaga pengarah bercadang untuk mensubkontrakkan dua komponen utama teknologi NexG, iaitu Sistem Operasi Cip (COS) bagi aplikasi Secure ID dan Projek Integrasi Identiti Digital Kod QR, kepada sebuah syarikat pesaing.

Mr X yang ada hubungan politik

Hanifah turut mendakwa seorang ahli lembaga dan seorang penasihat syarikat telah campur tangan dalam urusan perolehan serta operasi teknikal.

Dia juga mendakwa seorang “tokoh yang mempunyai kaitan politik yang sangat kuat”, yang hanya dikenal pasti sebagai Mr X, bersama seorang ahli lembaga telah memberi tekanan kepada beberapa pengarah serta anggota pengurusan utama NexG supaya meninggalkan syarikat itu di bawah paksaan.

“Saya dimaklumkan bahawa representasi dan ugutan didakwa telah dibuat kepada individu tertentu bahawa mereka mungkin berdepan siasatan pihak berkuasa, termasuk tindakan berkaitan polis dan pengubahan wang haram, sekiranya enggan melepaskan jawatan masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Hanifah turut mendakwa pelaburan NexG dalam NexG Bina juga dipengaruhi oleh Mr X.

Dia turut mendedahkan bahawa akaun NexG Bina dan MMAG telah dibekukan. Kedua-dua syarikat itu kemudian mengesahkan bahawa pembekuan oleh pihak polis itu telah berkuat kuasa sejak November bagi membantu siasatan pengubahan wang haram.

Hanifah bagaimanapun mempertahankan pelaburan dalam MMAG dan NexG Bina dengan menyatakan ia merupakan keputusan strategik yang dibuat secara kolektif oleh lembaga pengarah pada ketika itu, serta disokong oleh penilaian sewajarnya, perbincangan lembaga dan justifikasi yang didokumentasikan.

Kenyataan Hanifah itu diikuti perkembangan pantas pada Rabu.

Enam lagi ahli lembaga pengarah yang sebelum ini ingin disingkirkannya telah meletakkan jawatan secara beramai-ramai, manakala lembaga pengarah mengembalikan semula kuasa eksekutif ketua pegawai eksekutif NexG.

“Pemulihan semula ini dibuat selepas pertimbangan lanjut oleh lembaga pengarah dan setelah mengambil kira perkembangan terkini proses semakan,” menurut syarikat itu dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia hari ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS