Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bersatulah tamatkan pengaruh saya dalam bola sepak - TMJ cabar pengkritik
Diterbitkan:  Mar 11, 2026 8:57 PM
Dikemaskini: 12:57 PM

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, mencabar para pengkritiknya supaya menamatkan pengaruh beliau dalam dunia bola sepak susulan skandal pemain “warisan”.

"Ingin saya mengambil peluang ini untuk menyeru kepada semua pihak yang kurang senang dengan saya dalam industri bolasepak. Inilah masanya untuk tamatkan influence dan credibility saya dalam industry bola sepak tempatan mahupun internationally secara total.

"Saya dilabel oleh majoriti penyokong pasukan lawan sebagai individu yang bertangggungjawab sepenuhnya terhadap isu tujuh pemain yang digantung,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.

Tunku Ismail menegaskan para pengkritiknya perlu mengambil peluang ini dengan menggerakkan “jentera mereka di media sosial, media arus perdana, badan induk, saluran undang-undang dan sebagainya”.

"Saya berharap anda buat lebih baik. Gunakan masa dan peluang ini sepenuhnya. Must finish me once and for all in football (Mesti habiskan saya sekali gus dalam bola sepak.

"Setakat bercakap atau menulis sahaja is not going to change anything (takkan mengubah apa-apa. Please stand as one, and put in more effort (Sila bersatu dan berusaha lebih lagi,” tambah Tunku Ismail.

Semalam, Tunku Ismail yang lebih dikenali sebagai TMJ mendakwa dijadikan kambing hitam selepas Mahkamah Timbang Tara Sukan mengekalkan keputusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) yang mengekalkan penggantungan 12 bulan terhadap pemain terlibat – namun hanya bagi perlawanan rasmi.

Putera mahkota itu berdepan kritikan susulan dakwaan peranannya dalam pengambilan pemain “warisan” berkenaan, yang digantung selepas Fifa mendapati kewarganegaraan Malaysia mereka diperoleh berasaskan dokumen palsu.

Tunku Ismail sebelum ini memainkan peranan penting mengenal pasti pemain berkenaan dan menggesa kerajaan memberikan kewarganegaraan kepada mereka.

‘Pegawai FAM tidak berpuas hati’

Bagaimanapun, Tunku Ismail menyalahkan individu dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), dengan mendakwa mereka menyimpan rasa tidak puas hati terhadapnya berkaitan isu kewangan.

Tunku Ismail mendakwa beberapa pegawai FAM pernah mendekatinya berhubung projek tertentu serta perkara lain termasuk mengelakkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurutnya, individu berkenaan juga tidak berpuas hati apabila kerajaan menyalurkan peruntukan kepada pasukan bola sepak kebangsaan, yang didakwa berpunca daripada mereka tidak mendapat bahagian daripada peruntukan tersebut.

Tunku Ismail kemudian mendakwa individu tersebut bertemu media, peminat tegar bola sepak dan pempengaruh media sosial untuk melancarkan kempen sabotaj menggunakan pelbagai naratif.

Sementara itu, Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi, tampil mempertahankan Tunku Ismail dengan mengatakan banyak inisiatif Tunku Mahkota itu lahir daripada hasrat untuk melihat Johor lebih maju, berdaya saing dan rakyatnya menikmati kehidupan lebih baik.

“Ramai melihat Tunku Ismail hanya melalui ketegasan tuanku dalam mempertahankan standard bola sepak.

“Tetapi jika dilihat secara lebih menyeluruh, visi tuanku terhadap Johor sebenarnya melangkaui sukan semata-mata, ia meliputi pendidikan, pembangunan belia, ekonomi yang lebih kukuh serta kesejahteraan rakyat,” kata Onn dalam hantaran Facebook.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS