Iran menyatakan bahawa dunia perlu bersedia untuk berdepan harga minyak pada paras AS$200 setong ketika negaranya membedil kapal-kapal dagang pada Rabu. Sementara itu, Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) mengesyorkan pelepasan besar-besaran rizab strategik bagi meredakan salah satu "kejutan minyak terburuk sejak 1970-an".
Peperangan yang dicetuskan oleh serangan udara bersama Amerika Syarikat (AS) dan Israel hampir dua minggu lalu setakat ini telah mengorbankan kira-kira 2,000 orang, kebanyakannya warga Iran dan Lubnan, memandangkan konflik telah merebak ke Lubnan serta mengheret pasaran tenaga dan pengangkutan global ke kancah huru-hara.
Reuters melaporkan di sebalik apa yang disifatkan oleh Pentagon sebagai serangan udara paling sengit sejak permulaan perang, Iran masih melancarkan serangan ke arah Israel dan sasaran di seluruh Asia Barat pada Rabu, membuktikan ia masih mampu melawan.

Pada Rabu, tiga kapal dilaporkan terkena bedilan di perairan Teluk ketika Pengawal Revolusi Iran mengesahkan bahawa mereka telah melepaskan tembakan ke arah kapal-kapal yang mengingkari arahan.
‘Kita perlu selesaikan tugas ini’
Presiden AS, Donald Trump, yang belum menetapkan garis masa untuk operasi ketenteraan, memberi bayangan bahawa dia belum bersedia untuk menamatkan peperangan tersebut.
Dalam satu perhimpunan di Kentucky, Trump berkata "kita telah menang" dalam peperangan itu, namun AS tidak mahu terpaksa kembali berperang setiap dua tahun.
"Kita tidak mahu keluar terlalu awal, bukan? Kita kena selesaikan tugas ini," katanya.

Trump juga mendakwa tentera AS telah memusnahkan 58 kapal tentera laut Iran dan harga minyak akan turun, selain memberitahu pemberita di Washington bahawa Iran kini "hampir ke penghujung jalan".
"Ini tidak bermakna kita akan menamatkannya serta-merta, tetapi... Mereka tidak lagi mempunyai tentera laut, tidak ada tentera udara, dan tidak ada sebarang sistem pertahanan udara.
“Kita bebas melakukan apa sahaja di negara itu," katanya.
Hormuz jadi 'Medan Periuk Api'
Menurut Trump lagi, AS kini akan memberi perhatian "sangat serius" terhadap Selat Hormuz, sambil menambah: "Selat itu berada dalam keadaan baik. Kita telah musnahkan semua bot mereka. Mereka mempunyai beberapa peluru berpandu, tetapi tidak banyak."
Walaupun dengan kenyataan Trump itu, belum ada tanda-tanda bahawa kapal-kapal boleh belayar dengan selamat melalui selat berkenaan, iaitu laluan yang kini disekat di sepanjang pantai Iran yang berfungsi sebagai saluran untuk kira-kira satu perlima daripada bekalan minyak dunia.

Seorang jurucakap tentera Iran berkata selat itu "tanpa ragu-ragu" berada di bawah kawalan Iran.
Trump berkata kapal-kapal "sepatutnya" melalui selat itu, namun sumber menyatakan Iran telah memasang kira-kira sedozen periuk api di laluan tersebut, yang merumitkan lagi sekatan berkenaan.
Pada Rabu, kumpulan negara G7 — AS, Kanada, Jepun, Itali, Britain, Jerman dan Perancis — bersetuju untuk meneliti pilihan bagi menyediakan pengiring kepada kapal supaya mereka boleh belayar dengan bebas di Teluk.
FBI - Iran mungkin serang Pantai Barat AS
ABC News melaporkan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) telah memberi amaran tentang kemungkinan dron Iran menyerang Pantai Barat AS, walaupun Trump berkata dia tidak bimbang Iran akan melancarkan serangan di bumi AS.
Jabatan Negara juga memberi amaran bahawa Iran dan kumpulan militia sekutunya mungkin merancang untuk menyasarkan infrastruktur minyak dan tenaga milik AS di Iraq, selain memberi amaran bahawa militia sebelum ini pernah menyasarkan hotel yang dikunjungi oleh warga Amerika.

Pegawai AS dan Israel menyatakan matlamat mereka adalah untuk menamatkan keupayaan Iran menggunakan kekerasan di luar sempadannya dan memusnahkan program nuklearnya.
Harga minyak, yang melonjak awal minggu ini kepada hampir AS$120 setong sebelum kembali stabil sekitar AS$90, meningkat hampir 5 peratus pada Rabu di tengah-tengah kebimbangan baharu mengenai gangguan bekalan, manakala indeks saham utama Wall Street merosot.
Peperangan itu menyaksikan pelabuhan dan bandar-bandar di negara Teluk, serta sasaran di Israel, dibedil oleh serangan dron dan peluru berpandu Iran.
Menurut Reuters, tentera AS turut mengarahkan rakyat Iran supaya menjauhi pelabuhan yang mempunyai kemudahan tentera laut, yang kemudiannya mengundang amaran daripada tentera Iran bahawa jika pelabuhan diancam, pusat ekonomi dan perdagangan di rantau itu akan menjadi "sasaran sah".
Minyak boleh naik AS$200 setong
Dengan harga di pam minyak yang sudah melambung tinggi dan Parti Republikan pimpinan Trump ketinggalan dalam tinjauan pendapat menjelang pilihan raya separuh penggal pada November, harga minyak telah menjadi elemen yang semakin mendesak dalam percaturan di sebalik peperangan tersebut.
IEA, yang terdiri daripada negara penguna minyak utama, mengesyorkan pelepasan 400 juta tong daripada rizab strategik global untuk menstabilkan harga, iaitu campur tangan terbesar dalam sejarah yang kemudiannya disokong pantas oleh Washington.

Trump berkata keputusan IEA akan "mengurangkan harga minyak secara ketara ketika kita menamatkan ancaman ini kepada Amerika dan dunia."
Setiausaha Tenaga AS, Chris Wright berkata Trump telah membenarkan pelepasan 172 juta tong daripada Rizab Petroleum Strategik AS mulai minggu depan.
Kadar kepantasan negara-negara melepaskan rizab strategik adalah berbeza-beza dan jumlah yang dilepaskan hanya merangkumi sebahagian kecil daripada bekalan melalui Selat Hormuz.
Pegawai Iran menjelaskan pada Rabu bahawa mereka berniat untuk mengenakan kejutan ekonomi yang berpanjangan.
"Bersedialah untuk minyak menjadi AS$200 setong, kerana harga minyak bergantung kepada keselamatan serantau, yang telah anda hancurkan," kata Ebrahim Zolfaqari, jurucakap perintah tentera Iran dalam ulasan yang ditujukan kepada Washington.
Selepas pejabat sebuah bank di Tehran terkena bedilan pada malam tadi, Zolfaqari berkata Iran akan membalas dengan serangan ke atas bank-bank yang menjalankan urus niaga dengan AS atau Israel.

Rakyat di seluruh Asia Barat harus berada pada jarak 1,000 meter dari bank, tambahnya.
Misteri Mojtaba Khamenei
Sementara itu, sebuah kapal pengangkut kargo pukal yang mengibarkan bendera Thailand dilaporkan telah terbakar, sehingga memaksa pemindahan kru dengan tiga orang hilang dan dipercayai terperangkap di dalam bilik enjin.
Dua kapal lain, sebuah kapal kontena dengan bendera Jepun dan sebuah kapal pengangkut pukal yang berbendera Kepulauan Marshall, juga dilaporkan mengalami kerosakan akibat projektil, menjadikan jumlah kapal dagang yang terkena bedilan sejak perang bermula kepada 14 kapal.
Di Iran, orang ramai membanjiri jalanan untuk upacara pengebumian komander tertinggi yang terkorban dalam serangan udara. Mereka membawa keranda serta mengibarkan bendera dan potret Pemimpin Agung Ayatollah Ali Khamenei serta anak lelaki dan penggantinya, Mojtaba.

Seorang pegawai Iran memberitahu Reuters bahawa Mojtaba Khamenei telah cedera ringan pada awal peperangan, apabila serangan udara mengorbankan bapa, ibu, isteri dan seorang anak lelakinya.
Dia tidak muncul di khalayak ramai atau mengeluarkan sebarang mesej langsung sejak perang bermula.Walaupun Trump menyeru rakyat Iran untuk bangkit, harapan AS dan Israel agar sistem pemerintahan ulama Iran akan digulingkan melalui protes besar-besaran tidak membuahkan hasil.
Ketua Polis Iran, Ahmadreza Radan, berkata pada Rabu sesiapa sahaja yang turun ke jalanan akan dilayan "sebagai musuh, bukan penunjuk perasaan. Semua pasukan keselamatan kami kini dalam keadaan bersedia untuk melepaskan tembakan".
