Kemelut terbaharu yang menyelubungi perdagangan global susulan konflik Amerika Syarikat (AS)-Iran bukanlah sesuatu yang mengejutkan.
Apa yang berlaku juga bukanlah perkara asing atau tidak pernah dilihat apabila membabitkan naratif berkaitan dengan gangguan terhadap perdagangan antarabangsa.
Bagaimanapun, kali ini gangguan tersebut bukannya disebabkan oleh virus atau pelaksanaan tarif yang membebankan, sebaliknya serangan ketenteraan yang dilancarkan oleh AS dan Israel ke atas Iran. Iran merupakan sebuah negara di Asia Barat yang mempunyai pengaruh besar ke atas laluan perkapalan di sepanjang Selat Hormuz — laluan minyak paling kritikal di dunia.

Laluan selat tersebut menghubungkan Teluk Parsi ke Teluk Oman dan Laut Arab, dengan 20 hingga 30 peratus daripada dagangan minyak global merentasinya setiap hari.
Sebagaimana konflik lain dalam dunia moden yang saling berkaitan, krisis ini juga tidak mengenal sempadan, termasuk menyaksikan ruang udara beberapa buah negara turut menjadi tapak pelancar peperangan manakala dron serta roket digunakan sehingga menjejaskan industri penerbangan.
Iran telah melancarkan tindak balas terhadap serangan AS dengan membedil pangkalan tentera udara dan kilang penapisan minyak AS di 11 buah negara di rantau Teluk sepanjang 12 hari lepas.
Walaupun perkembangan terkini menyaksikan sebahagian ruang udara kembali beroperasi sepenuhnya atau secara sebahagian, realitinya tempoh beberapa hari diperlukan untuk menyelesaikan kesesakan trafik udara. Lebih sukar lagi, tempoh masa itu bergantung pada selama mana konflik yang bermula pada 28 Februari 2026 serta pengeboman Iran itu akan berlanjutan.

Hal ini tidak hanya menyebabkan peralihan atau lencongan semula kapal tangki, tetapi kos penghantaran barang serta kargo juga meningkat apabila industri penerbangan terpaksa menaikkan surcaj bahan api.
Tindakan itu difahami kerana pasaran dan pihak logistik memberikan reaksi langsung terhadap ketidaktentuan di tengah-tengah kemelut rantaian bekalan global yang masih belum stabil susulan pandemik Covid-19 serta perang tarif sebelum ini.
Apa yang pasti, impaknya bukan setakat itu, malah menyebabkan kerajaan terpaksa mengambil langkah luar biasa dalam usaha mengurus penggunaan tenaga. Negara-negara seperti Bangladesh, Vietnam, dan Thailand misalnya telah mengumumkan langkah pelaksanaan kerja dari rumah serta penggunaan pengangkutan awam bagi menjimatkan bahan api.
Di pelusuk lain, negara yang banyak bergantung pada minyak bertindak menaikkan harga minyak di peringkat pam atau runcit. Lebih memeningkan, tajuk utama mengenai konflik itu juga pantas berubah dalam sekelip mata.

Di tengah-tengah ketidaktentuan, realiti sebenar konflik kali ini bukannya berkisar tentang gangguan itu semata-mata, sebaliknya melibatkan peralihan pusat tumpuan dalam perdagangan global susulan perang tarif. Jelas sekali, sistem global telah berpecah kepada pakatan baharu, koridor bekalan baharu, serta kerjasama ekonomi baharu yang semakin melangkaui pusat kuasa tradisional di Utara.
Ternyata, konflik AS-Iran hanya mempercepat proses ini. Ketika dunia terus tertumpu pada konflik di Asia Barat, secara diam-diam China pada Sabtu lepas mengumumkan kadar tarif sifar ke atas barangan dari 53 buah negara Afrika berkuat kuasa pada 1 Mei 2026.
Langkah ini merupakan pencetus perubahan dalam meningkatkan perdagangan antara China dengan benua Afrika. Langkah tersebut bukan sekadar konsesi perdagangan, tetapi merupakan kenyataan geopolitik terutamanya daripada ekonomi kedua terbesar di dunia. Beijing memberikan isyarat bahawa masa depan perdagangan mungkin ditentukan oleh kerjasama Selatan-Selatan dan bukannya kerangka kerja lama yang dipacu oleh Global Utara.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim telah menjadi individu penggerak bukan sahaja di sebalik inisiatif kerjasama Selatan-Selatan Malaysia, tetapi juga untuk Asean dengan Putrajaya menjadi tuan rumah kepada siri sidang kemuncak kumpulan serantau itu tahun lepas.
"Selatan Global yang diperkasakan, seperti yang saya lihat, sememangnya tidak dapat dielakkan," kata Perdana Menteri selaku pengerusi Asean dalam menggesa kepentingan negara-negara membangun untuk bekerjasama.
Pencapaian perdagangan bagi negara-negara Selatan Global sememangnya amat dikagumi. Pada masa ini, kumpulan itu menyumbang sekitar 40 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia dan mewakili 85 peratus daripada populasi global. Menjelang 2030, tiga daripada empat ekonomi terbesar dunia diunjurkan datang dari Selatan Global, antaranya China, India, dan Indonesia.
Sebagai sebahagian daripada strategi ini, Malaysia kini merupakan salah satu daripada sembilan buah negara rakan kongsi dalam BRICS. Anwar juga telah membuat lawatan penting ke tiga buah negara Afrika tahun lepas, satu bukti komitmen Putrajaya untuk memperkukuh hubungan dengan Selatan Global dan meletakkan Malaysia secara strategik sebagai rakan kongsi yang dipercayai dalam dunia multipolar.

Bagaimanapun, usaha kolektif diperlukan demi memastikan Selatan Global berjaya, dan China atau Malaysia tidak boleh melakukannya secara bersendirian. Seluruh komuniti Selatan Global perlu bersatu ke arah matlamat yang sama.
Gangguan dalam pasaran minyak dan laluan perkapalan mungkin mendominasi tajuk berita hari ini, tetapi di sebalik pergolakan itu terletak transformasi yang lebih mendalam yang akan menentukan siapa yang menetapkan peraturan perdagangan pada masa hadapan.
Kini tiba masanya untuk Asia mencorakkan naratif perdagangan globalnya sendiri dan menentukan masa depannya dalam persekitaran perdagangan antarabangsa yang amat tidak menentu.
- Bernama
