FBI memberi amaran kepada agensi penguat kuasa undang-undang di California mengenai kemungkinan Iran melancarkan serangan dron ke Pantai Baray negeri itu, menurut satu buletin keselamatan yang dilihat oleh ABC News.
"Kami baru-baru ini memperoleh maklumat bahawa setakat awal Februari 2026, Iran didakwa bercita-cita melancarkan serangan mengejut menggunakan kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) dari sebuah kapal di laut terhadap sasaran di California sekiranya AS menyerang Iran,” menurut buletin keselamatan yang diedarkan pada akhir Februari itu.
"Kami tidak mempunyai maklumat tambahan mengenai masa, kaedah, sasaran, atau pelaku serangan yang didakwa ini."
Amaran itu muncul ketika pentadbiran Trump melancarkan serangan berterusan terhadap Republik Islam tersebut. Iran telah membalas dengan serangan dron terhadap sasaran di seluruh Asia Barat.
Maklumat mengenai hasrat Iran untuk melakukan serangan dron mengejut di Pantai Barat California itu diperoleh sebelum AS dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran.

Seorang pegawai kanan penguatkuasa undang-undang berkata pengeboman selama 12 hari itu dipercayai telah menjejaskan keupayaan Iran secara serius untuk melaksanakan serangan sedemikian.
Seorang jurucakap pejabat FBI di Los Angeles (LA) enggan mengulas lanjut.
Menurut ABC News, pihak White House pula tidak memberikan maklum balas segera terhadap permintaannya untuk ulasan.
Menurut laporan itu, pegawai perisikan AS juga semakin bimbang dalam beberapa bulan kebelakangan ini mengenai peluasan penggunaan dron oleh kartel dadah Mexico serta kemungkinan teknologi tersebut digunakan untuk menyerang pasukan dan kakitangan AS berhampiran sempadan Mexico.

"Laporan yang belum disahkan mencadangkan bahawa pemimpin kartel Mexico yang tidak dikenal pasti telah membenarkan serangan menggunakan UAS (dron) yang membawa bahan letupan terhadap penguatkuasa undang-undang AS dan kakitangan tentera AS di sepanjang sempadan AS-Mexico," menurut buletin September 2025 yang dilihat oleh ABC News.
"Serangan jenis ini terhadap kakitangan atau kepentingan AS di dalam negara ini belum pernah terjadi sebelum ini tetapi menunjukkan senario yang munasabah, walaupun (kartel) biasanya mengelakkan tindakan yang akan mengakibatkan perhatian atau tindak balas yang tidak diingini daripada pihak berkuasa."
Pejabat Gabenor California Gavin Newsom memberitahu ABC News: "Pejabat Perkhidmatan Kecemasan Gabenor sedang bekerjasama secara aktif dengan pegawai keselamatan negeri, tempatan dan persekutuan untuk melindungi komuniti kita."
Manakala Jabatan Syerif LA menyatakan bahawa "berdasarkan peristiwa global semasa", pihaknya mengekalkan "tahap kesediaan yang tinggi."
"Atas dasar berwaspada, dan memandangkan sambutan keagamaan sedang berlangsung, jabatan ini telah meneruskan rondaan yang ditingkatkan di sekitar tempat ibadat, institusi budaya, dan lokasi terkemuka lain di seluruh daerah," kata jabatan itu dalam satu kenyataan.
"Kami telah menyemak rancangan penempatan secara proaktif, mempertingkatkan penyelarasan dengan balai rondaan kami, dan memastikan sumber tambahan tersedia sekiranya diperlukan."
Penyumbang ABC News, John Cohen, yang juga bekas ketua perisikan Jabatan Keselamatan Tanah Air, berkata dia bimbang tentang kemungkinan peperangan dron yang datang dari kedua-dua arah, iaitu Pasifik dan Mexico.
