Sewa bilik di Lembah Klang yang menerima penyewa India menelan kos purata 11.2 peratus lebih tinggi (sekitar RM74 tambahan) berbanding bilik yang mengecualikan komuniti itu, sekali gus mengenakan "premium diskriminasi", menurut laporan Architects of Diversity (AOD).
Laporan yang meneliti diskriminasi sewa di sekitar Lembah Klang itu menyatakan bahawa bilik termurah juga merupakan yang paling diskriminatif secara terang-terangan terhadap kaum India, dengan 43.7 peratus senarai bawah RM400 sengaja mengecualikan mereka.
Situasi serupa dialami penyewa Cina yang dikecualikan daripada 26.6 peratus senarai dalam kategori harga yang sama. Sebaliknya, penyewa Melayu mengalami corak diskriminasi berbeza dengan pengecualian yang konsisten merentasi pelbagai harga bilik pada kadar 5.5 hingga 8.5 peratus.
"Apa yang dimaksudkan dalam amalan ini ialah perumahan paling mampu milik, segmen yang kritikal untuk penyewa berpendapatan rendah, juga merupakan yang paling diskriminatif, terutamanya bagi penyewa India yang paling terbeban," kata Pengarah Eksekutif AOD, Jason Wee semasa pelancaran laporan itu di sidang media dalam talian pagi tadi.

Data pengecualian kaum
Secara umum, penyewa India menghadapi pengecualian paling buruk pada kadar 31.7 peratus, diikuti oleh Melayu (7.6 peratus) dan Cina (3.9 peratus).
"Apabila kita melihat gabungan diskriminasi, kita dapati kebanyakan diskriminasi berlaku apabila penyewa India dikecualikan, tetapi mereka menerima penyewa Melayu dan Cina," kata Wee sambil menambah bahawa ini berlaku dalam 23.1 peratus senarai.
Data dalam laporan itu dikumpul menggunakan scraper untuk menyasarkan senarai awam di Ibilik, sebuah platform sewa yang membenarkan pemilik rumah dan ejen menandakan pilihan kaum untuk penyewa. Malaysiakini sedang menghubungi Ibilik mengenai amalan ini.
43 peratus senarai amal diskriminasi kaum
Berdasarkan data dari scraper, laporan itu mendapati 42.8 peratus daripada 35,367 senarai yang dianalisis mengecualikan sekurang-kurangnya satu kumpulan kaum, menjadikan diskriminasi sebagai pendirian pemilik rumah yang paling biasa di platform tersebut.
Faktor utama yang dikenal pasti ialah lokasi, dengan kadar diskriminasi yang berbeza mengikut kawasan sewaan:
Ampang | 57.5%
Taman Desa | 56.2%
Klang | 54.8%
Setapak | 51.1%
Bangi | 50.5%
Apabila dipecahkan mengikut kaum, Taman Desa paling mendiskriminasi penyewa India (47.1 peratus) dan Melayu (23.1 peratus), manakala penyewa Cina (23.8 peratus) paling banyak dikecualikan di Bangi.
Walau bagaimanapun, laporan itu menekankan bahawa diskriminasi terhadap India tetap berterusan walaupun di kawasan yang mempunyai kadar rendah. Sentul, kawasan dengan kadar terendah, masih merekodkan 8.5 peratus pengecualian penyewa India.
Hanya 'satu lapisan' rasisme sewaan didedahkan
Apabila ditanya mengenai insiden tinggi diskriminasi sewa terhadap kaum India, Wee berkata beberapa pemilik rumah yang ditemu bual tidak melihat pilihan kaum sebagai diskriminasi.
"Kami dapati ini agak membimbangkan kerana kami percaya literasi diskriminasi masih agak rendah," tambah dia.
Wee menekankan bahawa laporan ini hanya mendedahkan sebahagian kecil masalah, kerana banyak lapisan rasisme sewaan — seperti diskriminasi yang berlaku semasa menghubungi ejen atau pemilik — tidak termasuk dalam data. Namun, data ini tetap bermakna kerana ia mengukur diskriminasi yang pemilik dan ejen sanggup nyatakan secara terbuka dalam senarai awam.
Dia kemudian menyeru pelaksanaan Akta Sewaan Kediaman (RTA) dan menyatakan isu sewaan boleh ditangani dengan lebih berkesan melalui peraturan. Dia berkata RTA mesti memasukkan klausa melarang diskriminasi kaum di semua peringkat proses penyewaan.
"Akta itu juga membolehkan penyewa yang didiskriminasi untuk menuntut keadilan di tribunal atau mahkamah. Itu amat kritikal untuk membantu mewujudkan norma tanpa diskriminasi yang lebih baik, kuat, dan saksama di Malaysia," ulasnya.
Bulan lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata RTA mungkin dibentangkan lewat tahun ini. Menurut The Edge, Nga berkata perundangan itu berada dalam fasa draf akhir dan dia akan menelitinya sebelum menyerahkan kepada kabinet untuk kelulusan.
