Ahli perniagaan Albert Tei, yang mendedahkan skandal perlombongan Sabah, membuat laporan polis dengan mendakwa dia memperoleh imej yang dikatakan menunjukkan anggota SPRM bersenjata berada di rumahnya semasa tangkapannya pada November lalu.
Tei, yang membuat laporan itu di balai polis Bandar Puteri di Puchong hari ini, berkata imej tersebut dihantar kepadanya pada 9 Mac melalui WhatsApp oleh individu tidak dikenali menggunakan nombor telefon bimbit yang didaftarkan di Kemboja.
“Saya tanya beberapa kali siapa pengirimnya, bagaimana dia dapat dua imej tersebut, dan sama ada dia seorang anggota SPRM, tetapi saya tak terima sebarang jawapan.
“Saya mengecam dan mengesahkan bahawa lokasi yang ditunjukkan dalam kedua-dua imej itu adalah halaman tepi rumah saya dan anjing German Shepherd saya ada dalam salah satu imej tersebut,” tambahnya.
Susulan penangkapannya, Tei mendakwa anggota SPRM yang memakai topeng muka mengacukan pistol ke arahnya, isteri, ibu mertua dan pembantu rumah keluarganya. Isterinya kemudian membuat laporan polis berhubung insiden tersebut.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki menafikan bahawa senjata api diacukan ke kepala Tei semasa penangkapannya, dan suruhanjaya itu membuat laporan polis terhadap "fitnah" berkenaan.
Dalam laporan polisnya, Tei mendakwa imej yang diterimanya "mengesahkan" dakwaannya dan dia juga mengesyaki imej tersebut dirakam daripada satu rakaman video.
Ahli perniagaan itu percaya rakaman tersebut mungkin berasal daripada kamera badan yang dipakai oleh anggota pasukan serbuan.
“Oleh itu, saya gesa SPRM mendedahkan segera semua rakaman video daripada kamera badan anggota yang menyerbu rumah saya supaya kebenaran dan keadilan dapat diketahui umum, sekali gus membolehkan SPRM membersihkan reputasi, maruah dan integriti agensi penguatkuasaan tersebut.
“Selain itu, saya ingin mengesahkan bahawa tiada kamera CCTV di rumah saya yang menghala ke arah lokasi yang ditunjukkan dalam imej yang saya terima. Dekoder CCTV di rumah saya disita oleh SPRM semasa serbuan dan sehingga hari ini saya tidak tahu di bawah kuasa apa SPRM menyita dekoder CCTV tersebut, mahupun di mana ia berada sekarang.
“Saya berulang kali menggesa SPRM dan polis supaya memulangkan dekoder CCTV itu dengan segera kerana rakaman di dalamnya akan mendedahkan semua fakta dan kebenaran.
“Bagaimanapun, 105 hari berlalu dan SPRM serta polis masih tidak mahu memulangkan dekoder CCTV tersebut, yang menimbulkan banyak kecurigaan,” tambahnya.
Tei ditangkap selepas pendedahannya mengenai bekas pembantu Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Shamsul Iskandar Md Akin, yang didakwa ahli perniagaan itu bahawa dia membelanjakan RM629,000 untuknya.
Shamsul dikatakan memberi jaminan kepada Tei bahawa dia boleh mendapatkan semula wang yang disalurkan kepada ahli politik di Sabah.
Kedua-dua Tei dan Shamsul kemudiannya didakwa di mahkamah.
