Abdul Hadi Awang hari ini memberitahu PAS menghantar wakil untuk menyertai pertemuan parti-parti politik Melayu Islam anjuran Umno baru-baru ini sekadar mahu melihat sendiri siapa yang terlibat.
Kata Abdul Hadi, tujuan pertemuan tersebut adalah menganjurkan perpaduan Melayu atas semangat kebangsaan yang tidak berteraskan Islam kerana Umno dianggapnya “berwalak kepada DAP.”
Malah, kata Presiden PAS itu lagi, dia dapat membaca “segala yang tersirat” di sebalik perjumpaan berkenaan walaupun tiada wakil DAP yang hadir.
“Wajib dipastikan siapa yang boleh menjadi kawan yang dipercayai atau lawan yang diragui kerana Allah mewajibkan kita memilih kawan yang soleh serta menjauhkan diri daripada kawan yang merosakkan urusan agama dan dunia yang menjadi jambatan ke akhirat,” katanya dalam hantaran terbaru Minda Presiden di media sosial petang ini.
Dalam pertemuan tersebut, dakwa Abdul Hadi, PAS dapat menyaksikan bahawa Umno sedang dilanda masalah sehingga ramai ahli meninggalkan perjuangan parti terbabit.
“Dapat disaksikan betapa penyakit waswas daripada bisikan syaitan turut mengganggu ahli Umno sendiri, kerana berlawanan dengan perjuangan asal Umno yang meletakkan agama sebahagian daripada dasarnya,” tulis Ahli Parlimen Marang itu lagi.
Umno mengadakan pertemuan dengan pelbagai parti Melayu Islam di ibu pejabat mereka di tengah Kuala Lumpur pada 5 Mac lalu bagi berkongsi serta mengukuhkan agenda nasional kerajaan.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata pertemuan tersebut dibuat bagi memberi penjelasan kepada pemimpin parti terbabit mengenai dasar serta langkah yang dilaksanakan parti-parti Islam dalam kerajaan sepanjang tiga tahun pentadbiran mereka.

“Perkara-perkara ini perlu dikongsi bersama dengan mereka kerana kita tidak mahu ada tanggapan bahawa Melayu tergugat dan Islam terancam… kerana ia merupakan isu bersama.
“Kalau pun terdapat kekurangan, mesti ada cadangan bagaimana ia harus diperkukuh, bukan dengan serangan dari luar berdasarkan ketidakfahaman mengenai isu-isu yang dibangkitkan,” katanya.
Ahmad Zahid berkata pertemuan itu juga bagi memastikan semua pihak ada fakta yang tepat mengenai dasar kerajaan supaya sebarang isu dapat dibincangkan secara konstruktif.
Parti yang terlibat ialah Umno, PAS, PKR, Amanah, Parti Gagasan Rakyat Sabah, Berjasa, Kongres India Muslim Malaysia dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia.
PAS diwakili setiausaha agungnya, Takiyuddin Hassan.
Rumah boleh dimasuki hantu
Abdul Hadi yang juga bekas duta perdana menteri bertaraf menteri dalam kerajaan PN sebelum ini berkata
Dalam perjuangan politik, hanya Islam yang ditakuti oleh “syaitan dan bala tentera hantunya” dan orang Melayu hanya akan selamat bersama agama itu.
“Tanpa Islam, Melayu berada dalam bahaya dan semua kaum tidak akan selamat,” katanya.
Namun, dakwa Abdul Hadi, ada pemimpin Umno yang sanggup berkawan dengan “segala jenis hantu” termasuk pihak yang digelarnya sebagai “hantu raya paling besar” dan “hantu yang bijak berkosmetik Islam” demi mendapatkan kuasa serta harta
“Selain itu, mereka turut dijamukan dengan pesta pemujaan yang dianggap boleh membantu bagi meneruskan kehidupan dan meluaskan rezeki.
“Jamuan tersebut disertai oleh lebai-lebai yang jahil dan kuat beribadat supaya menjadi tukang sembelih yang diharamkan dagingnya, seterusnya mengetuai doa apabila diadakan sembahyang hajat yang bercampur antara doa dengan amalan syirik,” katanya lagi.
Bagi pihak PAS pula, Abdul Hadi berkata, mereka tidak terpengaruh dengan umpan serta tipu daya syaitan dan sekutunya yang menjadi “senjata lapuk” dalam kalangan “Umno yang jahil”
Atas sebab itulah, kata Abdul Hadi, PAS enggan menyertai Rumah Bangsa yang ditawarkan Umno kerana dianggapnya bernaung di bawah bumbung yang tidak selamat atau payung yang buruk.
“Lebih berbahaya lagi kalau menjadi laksana rumah yang tidak beratap dan berdinding, yang dimasuki hantu yang menjadi penunggu sehingga membahayakan penghuninya,” kata Abdul Hadi.
