mk-logo
Berita
WFH bakal kembali? Kerajaan sasar jimat belanja esok
Diterbitkan:  Mar 12, 2026 3:49 PM
Dikemaskini: 8:20 AM

Kerajaan Malaysia dijangka meneliti cadangan pelaksanaan kerja dari rumah (WFH) dalam Mesyuarat Jemaah Menteri Khas esok sebagai sebahagian daripada langkah penyelarasan ekonomi susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat yang kian meruncing.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, langkah tersebut merupakan antara perkara yang bakal dipertimbangkan selepas mengambil kira indikator ekonomi dunia yang tidak menentu ketika ini.

Menurutnya, kerajaan maklum bahawa banyak syarikat swasta telah mengadaptasi budaya kerja hibrid sejak pasca pandemik, namun untuk sektor awam, penelitian mendalam diperlukan.

"Kita akan teliti kesesuaian WFH ini, mungkin dibincangkan esok. Fokus utama kita adalah melihat angka-angka ekonomi dunia dan apa tindakan susulan yang wajar diambil kerajaan," katanya selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi, hari ini.

Kenyataan Fahmi itu hadir sebagai maklum balas terhadap langkah drastik Thailand yang mewajibkan agensi kerajaan dan perusahaan negeri melaksanakan WFH bagi mengurangkan penggunaan tenaga memandangkan krisis di Asia Barat menjejaskan pasaran minyak.

Krisis yang bermula sejak 28 Februari lalu melibatkan serangan bersama AS-Israel ke atas Iran telah menyebabkan Selat Hormuz — laluan utama tenaga dunia — kini berada di bawah kawalan ketat Iran.

Kawal belanja, lindungi PMKS

Selain isu WFH, Mesyuarat Jemaah Menteri Khas esok turut akan memantau rapat pergerakan harga minyak mentah Brent dan bahan api penerbangan.

Fahmi menegaskan bahawa kerajaan komited untuk mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu tanpa merencatkan pertumbuhan ekonomi negara.

"Kita tidak mahu ambil tindakan melulu tanpa mengetahui kesannya. Kerajaan akan pastikan sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) terus disokong kerana mereka adalah nadi ekonomi kita, terutamanya dalam aspek eksport dan perkhidmatan," tambahnya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa setakat ini bekalan barangan asas dan bahan api seperti RON95 dalam negara masih mencukupi dan tidak berdepan masalah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS