Seorang ahli sains politik dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dipanggil polis untuk membantu siasatan terhadap dakwaan cubaan menggulingkan kerajaan, dengan pihak berkuasa memberi tumpuan kepada pandangan yang telah dinyatakannya pada 2024.
Mengesahkan hal itu kepada Malaysiakini, Syaza Shukri memberitahu dia dipanggil ke Bukit Aman pada 10 Mac lalu sebagai sebahagian daripada siasatan balu Daim Zainuddin, Na’imah Abdul Khalid, mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan.
Ia melibatkan kesalahan mengancam demokrasi berparlimen dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun.
Profesor madya itu berkata dia dipanggil kerana pandangan yang dinyatakan dalam laporan South China Morning Post pada 26 Dis 2024 yang berkaitan peranan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad, dalam isu Pulau Batu Puteh.
Dalam laporan itu, Syaza – yang dirujuk atas kapasitinya sebagai Ketua Jabatan Sains Politik UIA – dipetik sebagai berpendapat bahawa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, adalah "musuh nombor satu" bagi Mahathir dan pembangkang.
Dia menambah jika kerajaan meneruskan siasatan terhadap Mahathir, pembangkang "akan mempunyai masa yang banyak untuk memberikan gambaran yang sangat negatif tentang Anwar".
Dihubungi hari ini, Syaza berkata, polis mengemukakan "banyak" soalan kepadanya dalam usaha untuk menentukan sama ada terdapat sebarang kaitan antara dia dan Na'imah atau sebaliknya.
Ahli akademik itu juga berkata polis meminta penjelasan sama ada dia "menerima apa-apa daripada sesiapa" atau tidak semasa membuat kenyataan kepada agensi berita antarabangsa itu.
Sementara itu dalam kenyataan hari ini, Persatuan Pelajar Sains Politik UIA mempersoalkan motif Bukit Aman dengan menegaskan bahawa sebarang komen yang dibuat mengenai perkembangan politik kontemporari, terutamanya mengenai pemimpin politik, tidak seharusnya dilihat sebagai kritikan yang memudaratkan demokrasi berparlimen.
“Ugutan oleh pihak polis terhadap pendapat akademik akan mengancam wacana intelektual negara kita dan berpotensi mendiamkan para sarjana daripada membincangkan isu-isu politik yang menarik minat rakyat,” kata kumpulan itu.
Terdahulu peguam Zaid Malek berkata dua lagi individu – daripada 14 nama secara keseluruhan – yang dinamakan dalam e-mel terkait dakwaan plot mengguling kerajaan dipanggil polis untuk disoal siasat.
Katanya setakat ini sembilan individu dari senarai itu telah dipanggil oleh, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif C4 Center, Pushpan Murugiah.
Peguam Na’imah, Nizamuddin Hamid, yang turut dipanggil hari ini atas kenyataannya mengecam dakwaan terhadap anak guamnya sebagai “fantasi semata-mata” dan mempersoalkan bagaimana seorang balu berusia 70 tahun mempunyai kuasa untuk menggulingkan kerajaan.
