Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Cikgu Chandra dakwa diugut depan rumah, adukan ke polis

Pempengaruh media sosial S Chandrasegaran – atau dikenali Cikgu Chandra - membuat laporan polis selepas mendakwa diugut seorang lelaki di hadapan rumahnya awal pagi tadi.

Chandrasegaran berkata kejadian itu berlaku sekitar jam 8.15 pagi dan berlangsung selama kira-kira 30 minit di hadapan kediamannya di Puchong.

Dalam laporan polis yang dilihat Malaysiakini, Chandrasegaran berkata, seorang lelaki dikenali sebagai Awtar Singh tiba dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda merah sebelum memberhentikan kenderaan itu berhampiran rumahnya.

Dakwa Chandrasegaran, lelaki terbabit kemudian menurunkan cermin tingkap kenderaan dan memanggilnya sebelum mengeluarkan kata-kata yang disifatkannya sebagai ugutan sambil menuding jari ke arahnya.

Dia turut mendakwa lelaki berkenaan berada di kawasan itu kira-kira setengah jam dan sempat merakam video menggunakan telefon bimbit sebelum diarahkan polis supaya beredar.

“Tujuan saya buat laporan untuk melindungi keselamatan diri dan keluarga kerana saya takut perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya dalam laporan itu.

Chandrasegaran

Terdahulu, Chandrasegaran mendakwa lelaki terbabit datang ke hadapan rumahnya dan cuba mencetuskan provokasi walaupun terdapat anggota polis di situ.

“Awtar Singh datang ke depan rumah saya dan ugut saya. Polis pun ada di sana. Terlalu melampau,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Chandrasegaran, keadaan ketika itu terkawal kerana terdapat kira-kira 15 anggota keselamatan di kawasan rumahnya bagi tujuan perlindungan.

Insiden tersebut berlaku beberapa hari selepas tiga kenderaan milik Chandrasegaran dibakar.

Susahkan jiran, pihak berkuasa

Sementara itu Awtar yang juga bekas Pengerusi MIC Selangor ketika dihubungi menafikan dakwaan bahawa dia melakukan provokasi terhadap Chandrasegaran.

Sebaliknya, Awtar berkata kehadirannya di kawasan tersebut adalah untuk merakam video selepas dimaklumkan terdapat kira-kira 20 anggota polis ditempatkan di hadapan rumah Chandrasegaran.

“Itu berlaku di hadapan polis. Polis boleh sahkan sama ada itu provokasi atau tidak,” katanya kepada Malaysiakini.

Awtar berkata dia juga sebelum ini turut memuat naik satu video di TikTok bagi mempersoalkan kehadiran anggota polis di hadapan rumah Chandrasegaran.

“Dalam video itu, saya kata dia (Chandrasegaran) jerit-jerit tanya mana polis, mana KDN (Kementerian Dalam Negeri) selepas rumah dia dipecah dan kereta dibakar pada waktu malam.

“Jadi saya buat TikTok dan tanya dia: ‘Awak ini siapa sampai polis kena bagi perlindungan? Awak bapa kemerdekaan Malaysia ke, bekas perdana menteri ke, atau ketua pembangkang?

“Saya juga diberitahu oleh seorang kawan bahawa kira-kira 20 anggota polis berada di hadapan rumah dia,” katanya.

Menurut Awtar, ketika tiba di lokasi dia melihat Chandrasegaran berdiri di luar rumah bersama anggota polis sebelum menegurnya dari dalam kereta.

“Saya turunkan cermin kereta dan saya cakap: ‘Chandra, mulut jaga sikit. Sekarang awak menyusahkan jiran dan juga anggota polis di sini’.

“Itu saja yang saya cakap,” katanya.

Menurut Awtar, selepas teguran itu Chandrasegaran mula menjerit dan mendakwa dirinya diugut.

Sedangkan, dakwa Awtar, Chandrasegaran sendiri yang menjerit memberitahu kena ugut.

“Saya tanya dia, faham tak bahasa Melayu, apa itu ugutan dan apa itu nasihat,” katanya.

Jadi kemarahan penganut Hindu

Tegas Awtar, tindakannya hanya sekadar memberi nasihat berhubung kenyataan Chandrasegaran yang didakwanya telah menimbulkan kemarahan orang ramai khususnya masyarakat India.

“Saya bagi dia nasihat kerana dia mengacau dan mengganggu jiran sehingga kereta dia dibakar, pasal mulut dia tak berhenti.

“Dia keluarkan kenyataan-kenyataan yang menyakiti hati orang ramai, penganut agama Hindu dan India.

“Dia tak berhenti-berhenti dan dia masih panggil (orang India) botol kicap dalam video-video Tiktok dia.

“Apa yang orang Hindu dan India marah sangat dengan dia ialah itu kes kuil di Rawang yang sudah dirobohkan sebelum ini, dia pergi sana dia pegang tukul besi dan dia pecah satu batang (tiang) lagi,” katanya.

Pada 10 Mac lalu, Malaysiakini melaporkan tiga kereta Chandrasegaran dibakar dalam kejadian awal pagi di rumahnya.

Sehari sebelum itu dia memuat naik satu video yang mendakwa pagar rumah serta keretanya dirosakkan oleh individu bertopeng dan bersenjata parang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS