Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ULASAN | Gen Z adalah realiti baru, bukan sekadar angka

Teringat kembali pengalaman saya hampir 20 bulan menerajui Kementerian Pendidikan. Bukan mudah menjadi "Pak Menteri" yang cuba membawa reformasi, berdepan dengan budaya deep state dan little Napoleon yang selesa dengan status quo.

Saya belajar bahawa perubahan sebenar memerlukan keberanian untuk mendengar, khususnya mendengar suara mereka yang sering dianggap "belum cukup umur" untuk berbicara tentang masa depan, iaitu Generasi Z.

Dalam wacana politik dan ekonomi arus perdana, saya sering melihat kecenderungan yang agak merisaukan. Generasi Z (mereka yang lahir antara 1997 hingga 2012) sering diredusikan kepada dua entiti semata-mata: angka di kertas undi dan prospek pengguna untuk industri.

Kita terlalu selesa melihat mereka melalui lensa demografi sempit, lupa bahawa di sebalik data mentah itu tersembunyi kuasa besar yang sedang membentuk semula wajah dunia. Seperti yang saya tulis dalam Memori Bukan Memoir, pendidikan adalah rahmat yang membuka mata kita kepada realiti. Dan realiti hari ini ialah “Gen Z sedang membuka mata kita.”

Pendekatan begini bukan sahaja rabun, malah berbahaya. Rabun kerana kita gagal melihat potensi jangka panjang mereka. Berbahaya kerana kita sengaja mengabaikan kuasa disruptif yang sedang mengubah lanskap global. 

“Gen Z bukan sekadar statistik. Mereka adalah realiti baharu.” 

Mereka perlu didengari, dilibatkan dalam proses pembuatan polisi, dan diberikan panduan dan hikmah yang membina. Jika tidak, kita bukan sahaja akan kehilangan sentuhan dengan realiti, tetapi berisiko melahirkan generasi yang merasa terpinggir dan akhirnya mencari jalan sendiri di luar sistem.

Kuasa Sebenar di pentas dunia

Untuk sekian lama, kita mudah memperlekehkan penglibatan digital Gen Z sebagai sekadar slacktivism (aktivisme malas di hujung jari yang tidak membawa perubahan bermakna). Saya sendiri pernah berhadapan dengan skeptisisme sebegini ketika mengatakan bahawa kita perlu mendominasi gajet dan alam digital untuk pendidikan sewaktu di kementerian dahulu. Ramai yang kata "anak muda ni suka sangat main telefon", tapi mereka lupa, telefon pintar adalah jendela dunia buat generasi ini.

Apa yang berlaku di pentas global membuktikan sebaliknya. Apa yang bermula sebagai perkongsian video pendek di TikTok, Threads atau Instagram, rupanya mampu bertukar menjadi gelombang perubahan politik yang menggoncang struktur kuasa tradisional.

Lihat saja apa yang berlaku di Bangladesh pada pertengahan tahun 2024. Tunjuk perasaan yang dipelopori pelajar dan belia berjaya menumbangkan rejim Sheikh Hasina yang telah berkuasa selama 15 tahun, memaksanya terbang meninggalkan negara. Apa yang bermula sebagai bantahan terhadap sistem kuota pekerjaan sektor awam, akhirnya bertukar menjadi revolusi penuh. Bipss merumuskan bahawa kebangkitan ini bukan sekadar reaksi terhadap isu dasar terpencil, tetapi manifestasi "kemarahan terhadap kegagalan tadbir urus" secara menyeluruh.

Di Nepal, tekanan daripada protes belia terhadap bancian kerajaan dan isu rasuah menyaksikan Perdana Menteri Khadga Prasad Oli kehilangan majoriti dan terpaksa meletak jawatan. Fenomena yang sama berlaku di Bulgaria, yang kebangkitan belia terhadap rasuah dan ketidakadilan menjadi pemangkin perubahan politik. Di Kenya dan Peru, generasi muda turun ke jalan raya bukan kerana agenda parti politik, tetapi kerana rasa kecewa terhadap prospek ekonomi yang suram dan kurangnya akauntabiliti pemimpin.

Apa yang membezakan gelombang ini daripada protes generasi sebelumnya?

Gerakan ini tidak lagi bergantung kepada kepimpinan berkarisma tunggal. Ia tersusun secara organik, didorong oleh algoritma dan solidariti digital. Ia gerakan tanpa ketua, tetapi tetap fokus pada matlamat. Inilah realiti baharu yang perlu kita fahami.

Sentimen global pro-Palestin: Makmal ujian moral sejagat

Namun mungkin bukti paling jelas tentang kuasa moral Gen Z adalah dalam respons mereka terhadap perang di Gaza. Isu Palestin, yang selama beberapa dekad dilihat oleh masyarakat Barat sebagai "konflik kompleks" yang memerlukan pendekatan diplomatik berhati-hati, telah ditafsir semula oleh Gen Z sebagai "ujikaji litmus moral" untuk ketelusan masyarakat antarabangsa.

Saya menulis tentang Hamas sejak tahun 2006 lagi, mengikuti perjuangan rakyat Palestin dari dekat. Tetapi apa yang berlaku hari ini berbeza. Generasi ini terdedah kepada user-generated content yang mentah dan tidak ditapis di TikTok, Instagram, dan X. Remaja di Kuala Lumpur, London, mahupun New York dapat menyaksikan sendiri realiti serangan di Gaza dalam masa nyata. Mereka melihat sendiri apa yang media arus perdana enggan tonjolkan. Ini mengubah persepsi mereka secara radikal.

Data dari pelbagai sumber mengesahkan peralihan seismik ini. Sebuah poll Harvard/Harris pada Ogos 2025 mendapati bahawa 60% pengundi Amerika berusia 18-24 menyokong Hamas berbanding Israel. Angka ini sangat kontras dengan sokongan orang ramai secara keseluruhan yang mencatatkan 74% menyokong Israel. Gallup pula merekodkan bahawa sokongan terhadap tindakan ketenteraan Israel di Gaza dalam kalangan dewasa Amerika menjunam kepada hanya 32%, satu paras terendah sepanjang zaman. Lebih kritikal, hanya 9% rakyat Amerika di bawah umur 35 tahun yang bersetuju dengan tindakan Israel.

Di Eropah, trendnya sama. Yougov mencatatkan 73% belia Britain berumur 18-24 menyokong gencatan senjata segera, berbanding hanya 36% bagi mereka yang berusia 65 tahun ke atas. Di Jerman, yang dasar menyokong Israel menjadi polisi rasmi negara, lebih separuh rakyat kini menyokong pengiktirafan negara Palestin.

Perubahan ini bukan sekadar simpati di media sosial. Ia diterjemahkan kepada tindakan nyata. Gerakan encampment di universiti-universiti terkemuka dunia dari Columbia ke Sciences Po, dari Oxford ke Uc Berkeley adalah manifestasi fizikal daripada konsensus digital ini. Mereka menuntut divestment dan ketelusan kewangan. Mereka membaca laporan kewangan universiti, meneliti pelaburan dana endowmen, dan menekan lembaga pemegang amanah. Ini bukan sekadar aktivisme emosional; ia menunjukkan pemahaman strategik yang mendalam tentang cara menjatuhkan tekanan ekonomi ke atas institusi.

Agenda perubahan iklim: antara kelestarian dan kelangsungan hidup

Di luar politik kepartian dan konflik antarabangsa, isu perubahan iklim juga menjadi teras perjuangan generasi ini. Berbeza dengan generasi terdahulu yang melihat isu alam sekitar sebagai isu pinggiran, Gen Z melihatnya sebagai ancaman eksistensi yang mesti diatasi segera.

Digerakkan oleh suara ikonik seperti Greta Thunberg, mereka bukan sahaja menuntut tindakan tegas daripada kerajaan dan syarikat korporat, tetapi turut mengubah tingkah laku pengguna dan pilihan kerjaya ke arah kelestarian. Mereka boikot syarikat yang tidak mesra alam. Mereka pilih kerjaya dalam sektor tenaga boleh baharu. Mereka desak institusi kewangan menarik pelaburan daripada industri bahan api fosil.

Greta Thunberg

Tuntutan mereka jelas dan tidak boleh ditawar:“Para pemimpin dunia mesti mendengar sains, bukan sekadar bercakap kosong di pentas antarabangsa.” 

Mereka tidak mahu lagi melihat janji manis yang tidak ditepati. Mereka mahukan tindakan, bukan retorik.

Bukan "kepada" Mereka, Tapi "bersama" Mereka

Realiti ini membawa kita kepada persoalan besar:

“Bagaimanakah pihak berkuasa, pembuat polisi, dan pemimpin masyarakat perlu berkomunikasi dengan kuasa baru ini?”

Pengalaman saya di Kementerian Pendidikan mengajar saya satu perkara penting, anda tidak boleh bercakap kepada mereka, anda perlu bercakap bersama mereka.

Saya masih ingat ketika cuba memperkenalkan konsep "Kasih Sayang, Kegembiraan dan Saling Menghormati" dalam sistem pendidikan. Ramai yang skeptikal, kata konsep ini terlalu lembut. Tetapi saya lihat sendiri bagaimana pelajar-pelajar kita responsif apabila kita layan mereka dengan hormat, apabila kita dengar apa mereka mahu. Gen Z tidak mahu diceramahi; mereka mahu diajak berbincang.

Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman saya, terdapat beberapa prinsip utama yang perlu kita pegang.

Pertama, autentik sebelum segalanya.

Gen Z amat peka terhadap kepura-puraan. Mereka mempunyai radar yang sangat tajam untuk mengesan manipulasi dan retorik kosong. Pengalaman saya berdepan dengan pelajar-pelajar di sekolah dan universiti mengajar saya bahawa mereka skeptikal terhadap ucapan-ucapan manis dan tidak sabar dengan sikap tidak konsisten. Sebarang percubaan untuk "mengambil kesempatan" ke atas sentimen mereka tanpa komitmen substantif akan menjadi bumerang. Mereka akan dedah, mereka akan viralkan, mereka akan hukum.

Kedua, bahasa yang relevan, saluran yang tepat. Kejayaan kempen Zohran Mamdani dalam pilihan raya Datuk Bandar New York baru-baru ini patut kita teladani. Beliau tidak menggunakan jargon politik tradisional yang membosankan. Sebaliknya, beliau mencipta istilah "Halal-flation" untuk menjelaskan inflasi kepada komuniti Islam. Beliau merakam video parodi filem Mean Girls untuk mendaftar pengundi muda. Beliau melancarkan Savings Calculator yang membolehkan pengunjung laman webnya mengira sendiri berapa banyak wang yang dapat dijimatkan di bawah dasarnya. Ini pendekatan yang relevan, interaktif, dan peribadi. Ia bercakap dalam bahasa mereka, di platform mereka.

Ketiga, influencer sebagai rakan strategik. Pada era ini, perbincangan polisi tidak lagi bermula di media arus perdana atau sidang Dewan. Ia bermula di TikTok, Instagram, dan Substack. Pihak berkuasa perlu bekerjasama dengan penggiat media sosial yang telah membina kepercayaan dengan audiens mereka. Ini bukan soal menggunakan mereka sebagai corong semata-mata, tetapi melibatkan mereka sebagai rakan kongsi dalam membentuk naratif dan dasar. Kegagalan berbuat demikian bermakna kita menyerahkan ruang publik kepada anasir yang tidak bertanggungjawab.

Keempat, literasi struktural sebagai benteng. Saya selalu tekankan semasa menjadi menteri: pendidikan bukan sekadar menghafal fakta, tetapi membina keupayaan berfikir. Jika Gen Z hanya dibiarkan terdedah kepada "emosi tanpa sebab", mereka mudah menjadi mangsa politik simplifikasi dan penyebaran maklumat salah. Di sinilah pentingnya peranan kerajaan dan institusi pendidikan membina literasi struktural. Ini bukan indoktrinasi. Ini adalah usaha membina keupayaan analitis untuk membezakan polisi daripada propaganda, bukti daripada manipulasi emosi. Mereka perlu dilatih untuk tidak hanya menjadi pengguna maklumat pasif, tetapi juga pengkritik maklumat yang kritis.

Antara pembaharuan dan pengulangan sejarah

Gen Z hadir dengan tenaga moral yang tinggi. Mereka menuntut ketulenan, keadilan, dan ketelusan. Mereka tidak mahu menjadi "instrumen mobilisasi" yang hanya diingati ketika musim pilihan raya. Mereka mahu menjadi "rakan arkitek" dalam membentuk naratif global yang lebih adil dan saksama.

Baru-baru ini, ketika kes kematian Zara Qairina di Sabah, saya menyeru agar kita hentikan budaya diam. 

"Zara tidak akan kembali. Tetapi kita boleh pastikan tiada anak lain yang menjadi Zara berikutnya," saya tulis ketika itu. 

Begitu jugalah dengan Gen Z secara keseluruhannya. Mereka mewarisi dunia yang carut-marut akibat salah urus generasi sebelumnya. Krisis iklim, ketidaksamaan ekonomi yang mencengkam, sistem politik yang kian rapuh, dan konflik antarabangsa yang tidak berkesudahan. Kesemua ini adalah warisan yang terpaksa mereka tanggung. Namun mereka tidak hanya duduk meratap. Mereka bangun, mereka susun strategi, mereka bergerak.

Jika kita gagal memahami realiti ini, kita akan terus menyaksikan gelombang ketidakstabilan. Seperti amaran seorang aktivis Nepal baru-baru ini: jika para pemimpin terus mengabaikan impian dan kekecewaan anak muda, peristiwa seperti di Bangladesh dan Nepal akan berulang di banyak negara di rantau ini.

Sebaliknya, jika kita mendekati mereka dengan penuh hormat, melibatkan mereka dalam proses polisi, dan membimbing mereka dengan ilmu, mereka mampu menjadi generasi yang bukan sahaja menyelamatkan demokrasi, malah mematangkannya.

Tugas kita bukanlah untuk mengawal Gen Z, tetapi untuk mengangkat mereka. Saya berkesempatan bertemu ramai anak muda yang membaca buku saya, yang dahagakan ilmu. Saya nasihatkan mereka, kurang cakap hal sia-sia, tingkatkan ilmu pengetahuan. Kerana dengan ilmu, mereka dapat membezakan mana yang benar dan mana yang palsu. Dengan ilmu, suara mereka bukan sekadar bising di media sosial, tetapi punya hujah dan asas yang kukuh.

Bukan untuk membungkam suara mereka, tetapi untuk memastikan suara itu didengar dalam ruang yang betul dan dengan cara yang membina. Bukan untuk memperalatkan idealisme mereka, tetapi untuk menyalurkannya ke saluran yang membawa manfaat kepada semua.

Kerana hakikatnya, mereka bukan sekadar angka dalam kertas undi. Mereka bukan sekadar target pemasaran industri. Mereka adalah arkitek realiti masa hadapan. Dan masa hadapan itu samada kita suka atau tidak, bermula sekarang!


MASZLEE MALIK adalah bekas perdana menteri pendidikan Malaysia (2018-2020) dan kini Pengerusi Iais Malaysia. Beliau adalah pengarang Memori bukan Memoir: 20 bulan reformasi pendidikan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS