Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anak Pahang rakyat M’sia pertama menang Emmy Kanak-Kanak

Komposer kelahiran Pahang, Joy Ngiaw, mencipta sejarah istimewa apabila muncul sebagai rakyat Malaysia pertama memenangi Anugerah Emmy Kanak-Kanak & Keluarga dalam majlis yang berlangsung di New York, AS pada minggu lalu.

Kemenangan itu sekali gus mengangkat nama Malaysia di pentas antarabangsa dalam bidang muzik komposisi bagi produksi animasi.

Ngiaw, 31, meraih kemenangan dalam kategori Pengarahan Muzik dan Komposisi Terbaik bagi Program Animasi menerusi hasil kerjanya dalam siri pengembaraan fiksyen sains, WondLa di platform penstriman Apple TV+.

Mengulas mengenai kejayaan itu, Ngiaw berkata, sehingga kini dia masih berasa seperti tidak percaya apabila namanya diumumkan sebagai pemenang pada majlis yang bersejarah itu.

“Apabila nama saya diumumkan, saya benar-benar terkejut.

“Kategori itu dipenuhi komposer yang sangat saya kagumi, justeru dapat dicalonkan bersama mereka pun sudah menjadi satu penghormatan yang besar,” katanya kepada Malaysiakini.

Menurutnya lagi, kemenangan itu amat bermakna buat dirinya dan diharap menjadi pemangkin kepada generasi muda dalam menceburi bidang gubahan muzik filem.

“Semasa membesar, saya tidak pernah membayangkan perjalanan muzik saya akan membawa kepada detik seperti ini. Saya sangat berterima kasih kepada ibu bapa saya atas pengorbanan mereka dalam menyokong kerjaya muzik saya,

“Saya berharap kejayaan ini juga menunjukkan kepada anak muda Malaysia dan Asia Tenggara bahawa ada ruang untuk cerita dan perspektif kita dalam industri hiburan global,” katanya.

Pengalaman membentuk perspektif

Anugerah Emmy Kanak-Kanak & Keluarga merupakan acara tahunan yang mengiktiraf kecemerlangan dalam kandungan hiburan untuk kanak-kanak dan keluarga, termasuk program animasi, pendidikan serta produksi kreatif yang lain.

Ngiaw berkata minatnya terhadap muzik bermula sejak kecil dan dipupuk oleh keluarganya yang kebetulan memang berminat pada seni.

Pada usia enam tahun, katanya, dia mula mempelajari piano klasik dan menyedari muzik mampu menjadi medium yang berkesan dalam menyampaikan emosi serta bercerita.

Katanya, pada suatu ketika dulu dia dan adik-beradiknya sering mengadakan persembahan kecil di rumah sementara bapanya bermain harmonika.

“Ketika kecil kami tak ada banyak alat muzik, jadi kami selalu menghasilkan muzik menggunakan apa sahaja yang ada di rumah. Pengalaman itu membentuk cara saya melihat muzik hari ini,” katanya.

Tambah Ngiaw, dia turut membesar dengan berulang-alik antara Malaysia dan China kerana belajar di sekolah antarabangsa.

Selain mempelajari piano klasik, dia juga menyertai koir dan orkestra di sekolah dan ketika itulah dia mula menyedari pentingnya bekerjasama dengan pemuzik lain dalam proses penceritaan melalui muzik.

Selepas tamat pengajian dalam bidang skor filem di Berklee College of Music, AS, dia berpindah pula ke Los Angeles dan memulakan kerjaya sebagai pembantu kepada komposer filem dan televisyen.

Menurut Ngiaw, pengalaman itu memberinya peluang memahami selok-belok industri sambil perlahan-lahan membina laluan sendiri sebagai komposer.

“Daripada pengalaman itu, saya mula mendapat peluang untuk menghasilkan muzik bagi projek saya sendiri, termasuk WondLa,” katanya.

Perlu kerja lebih keras

Ngiaw memberitahu titik perubahan penting dalam kerjayanya timbul selepas dia diberi peluang menghasilkan skor untuk filem animasi pendek Blush terbitan Skydance Animation bagi Apple TV+.

Katanya, projek itu membuka peluang kerjasama jangka panjang dengan pasukan Skydance Animation yang akhirnya membawa kepada penglibatannya dalam WondLa.

Ngiaw mengakui untuk bekerja dalam industri muzik filem antarabangsa bukan perkara yang mudah, Namun, katanya, pengalaman itu mengajarnya untuk menjadi lebih yakin dengan suara dan perspektifnya sendiri.

“Apabila berpindah ke Los Angeles, saya perlu bekerja keras untuk membina rangkaian, memahami industri dan membuktikan kemampuan diri sendiri,

“Ada ketika tertentu saya juga merasakan perlu bekerja lebih keras untuk memecahkan stereotaip, terutamanya sebagai komposer wanita Asia,” katanya.

Sepanjang kerjayanya, Ngiaw turut berpeluang bekerjasama dengan tokoh animasi terkenal seperti John Lasseter yang dikenali sebagai individu penting di sebalik kejayaan filem animasi ikonik seperti Toy Story.

Ngiaw menyifatkan pengalaman itu sebagai satu peluang berharga yang banyak membantunya berkembang sebagai komposer.

“Dia seorang pencerita yang hebat. Antara perkara paling penting yang saya pelajari daripada dia ialah sentiasa menggubah muzik untuk membantu menonjolkan emosi paling mendalam,” katanya.

Bercakap tentang siri WondLa, Ngiaw berkata, pendekatan kreatifnya bermula dengan membina tema utama bagi watak Eva Nine yang mencerminkan rasa ingin tahu serta perjalanan emosinya.

Menurut Ngiaw, program animasi muzik bersiri itu perlu terasa epik tetapi pada masa sama dekat dengan peminat elemen fiksyen sains dan pengembaraan.

“Saya menggabungkan orkestra dengan bunyi unik serta instrumen untuk mencerminkan persekitaran dan budaya berbeza dalam siri ini,

“Matlamat saya adalah menghasilkan skor yang luas dan berimaginasi tetapi tetap masih berhubung dengan emosi teras cerita,” katanya.

Ngiaw turut mengakui latar belakang Malaysia yang berbilang budaya banyak mempengaruhi gaya muzik dan perspektif kreatif dalam perjalanan kerjayanya.

Kata Ngiaw, dia gemar memasukkan unsur muzik Asia seperti gayageum dari Korea, liuqin dari China dan koir Mongolia dalam karya apabila ia dirasakan sesuai dan autentik dengan jalan cerita.

“Saya membesar dalam persekitaran yang kaya dengan pelbagai bunyi, alat muzik dan tradisi muzik.

“Itu memberi pengaruh besar terhadap cara saya berfikir tentang muzik,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS