Pemimpin Agung baharu Iran, Mojtaba Khamenei, mengumumkan pada Khamis bahawa Selat Hormuz mesti kekal ditutup sebagai tindakan balas terhadap serangan Amerika Syarikat (AS)-Israel yang bermula pada 28 Feb, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik media tempatan.
"Keinginan rakyat jelata adalah untuk meneruskan pertahanan yang berkesan dan mendatangkan kekesalan (kepada musuh)," kata Khamenei dalam mesej awam pertamanya sejak dilantik sebagai pemimpin agung, menurut media kendalian kerajaan Iran.
Khamenei menarik perhatian bahawa Iran telah membuat penilaian untuk membuka barisan hadapan lain sebagai sebahagian daripada konflik yang sedang berlaku, "di mana pihak musuh mempunyai sedikit pengalaman dan berada dalam keadaan yang sangat terdedah."
Mengaktifkan barisan hadapan ini mungkin berlaku "jika situasi perang berlarutan dan selaras dengan pertimbangan kepentingan nasional," katanya, sambil turut menyeru penyertaan dalam upacara Hari Quds "di mana semangat penentangan terhadap musuh harus ditekankan."
Tehran akan "menuntut bela atas tumpahnya darah rakyat Iran" yang terkorban semasa serangan itu, katanya lagi.
Ketegangan menyelubungi Asia Barat selepas Israel dan AS melancarkan serangan bersama ke atas Iran pada 28 Feb yang setakat ini telah mengorbankan lebih 1,300 orang, termasuk Ali Khamenei, bekas pemimpin agung negara itu, serta lebih 150 murid sekolah perempuan.
Lebih 10,000 orang turut cedera dalam serangan Israel dan AS itu.
Tehran membalas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, Jordan, Iraq, dan beberapa negara Teluk yang menempatkan aset tentera AS. Seramai lapan anggota tentera AS terkorban sejak perang bermula.
Mojtaba diisytiharkan awal minggu ini sebagai pengganti bapanya, Ayatollah Ali Khamenei.
- Bernama - Anadolu
