Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Garis panduan isu tapak keagamaan bukan Islam akan dibentang - Loke
Diterbitkan:  Mar 13, 2026 4:52 PM
Dikemaskini: 8:52 AM

Kerajaan persekutuan sedang bersedia untuk membentangkan garis panduan mengenai penyelesaian isu tanah yang menjejaskan tapak keagamaan bukan Islam di Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan, kata Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

Dalam satu temu bual dengan The Keywords, Loke berkata Menteri Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming telah memberi taklimat kepada kabinet mengenai perkara itu, dan rangka kerja itu telah siap.

"Jadi apa yang kami harap dapat lakukan sekarang ialah menyelesaikan isu tanah ini secara beransur-ansur. Bantu mereka mengesahkan status mereka, bantu mereka menyelesaikan masalah, dan bagi lokasi yang benar-benar tidak sesuai, bantu mereka berpindah.

"Walau bagaimanapun, ini adalah isu yang sangat besar. Ia wujud di setiap negeri. Setiap negeri boleh mempunyai ratusan struktur sedemikian yang perlu ditangani. Mencari tapak yang sesuai juga bukan perkara yang mudah, tetapi ia pastinya sesuatu yang mesti dilakukan dan mesti ditangani.

"Jadi kami berharap orang ramai dapat melihat komitmen kami di sini. Kami tidak cuba mengetepikan masalah tersebut. Apabila kami menangani isu-isu ini, kami berharap dapat mencari penyelesaian yang lebih bersifat jangka panjang.

"Pendekatan bukan jangka panjang adalah dengan hanya menyekat segala-galanya dan menghentikan semua tindakan penguatkuasaan, tetapi menghentikan semua tindakan penguatkuasaan tidak bermakna premis tersebut akan dihalalkan serta-merta," tambahnya.

Loke yang juga Menteri Pengangkutan, berkata bahawa garis panduan itu, setelah dibentangkan, akan mewajibkan semua pihak berkuasa tempatan di setiap negeri untuk mematuhinya.

Dia mengakui bahawa kerajaan boleh mengambil jalan mudah dan popular dengan menggunakan pengaruh politiknya menekan majlis-majlis tempatan supaya menghentikan semua tindakan penguatkuasaan terhadap tempat-tempat keagamaan bukan Islam.

Namun, tambahnya, berbuat demikian hanya menawarkan bantuan jangka pendek kepada komuniti yang terjejas.

"Jadi apa yang kami harap dapat lakukan melalui semua ini adalah untuk mencari penyelesaian yang betul. Satu set dasar kerajaan, satu set garis panduan, tentang cara menyelesaikan isu-isu yang telah lama berlarutan ini.

"Hakikat bahawa kerajaan terdahulu tidak menangani masalah ini tidak bermakna kita harus melakukan perkara yang sama. Jika sekadar menyekatnya hanya menangguhkan masalah, ia tidak menyelesaikannya. Jadi kami berharap orang ramai dapat melihatnya (komitmen) daripada kami," tambahnya.

Isu kuil dan tapak keagamaan yang menjadi pertikaian kerana status kesahihannya telah timbul dengan kekerapan yang semakin meningkat kebelakangan ini, mencetuskan ketegangan kaum.

Beberapa minggu kebelakangan ini telah menyaksikan beberapa siri insiden berunsur keagamaan yang telah meningkatkan ketegangan di seluruh negara. Antara yang disasarkan ialah pendakwah Islam kontroversi Zamri Vinoth dan personaliti media sosial S Chandrasegaran, lebih dikenali sebagai Cikgu Chandra.

Zamri diserang semasa memandu keretanya, manakala rumah Cikgu Chandra diserbu dan tiga kenderaannya dibakar.

Polis Pulau Pinang juga sedang menyiasat Zamri atas kesalahan hasutan, berhubung siaran langsung TikTok pada 8 Mac, di mana dia didakwa membuat kenyataan yang mengancam, provokatif, menghina dan bersifat perkauman.

Di samping itu, dua kes menghina al-Quran juga direkodkan. Selain itu, seorang aktivis kempen antirumah ibadat haram, Tamim Dahri Abdul Razak dirakam memijak simbol Hindu, yang mendapat kecaman meluas.

Tamim menafikan dakwaan bahawa dia menghina 'soolam' - simbol yang dianggap suci oleh penganut Hindu. Dalam Facebook, dia mendakwa bahawa dia menyangka objek yang dirakam dipijaknya hanyalah sekeping logam berkarat di kawasan lapang yang tidak diduduki. Menurut Tamim, kejadian itu berlaku di Langkawi, semasa lawatannya beberapa hari lalu untuk melegakan tekanan kerja.

Walau bagaimanapun, aktivis komuniti India Umagandhan Krishnan mempertikaikan penjelasan Tamim.

Dia berkata bahawa 'soolam; itu adalah sebahagian daripada kuil Shree Muniswarar Alayam Langkawi, yang didakwanya terletak di atas tanah persendirian milik sebuah syarikat automotif.

Dia juga berkata terdapat papan tanda besar yang menyatakan ia adalah tanah kuil.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS