Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) berpendapat cadangan memperluaskan amalan bekerja dari rumah (BDR) tidak wajar dilaksanakan secara menyeluruh kerana kesesuaiannya berbeza mengikut sektor industri.
Presidennya, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata kebanyakan industri seperti pembuatan, perkilangan, logistik, peruncitan dan perkhidmatan fizikal memerlukan kehadiran pekerja di tempat kerja dan tidak boleh beroperasi sepenuhnya secara jarak jauh.
Beliau berkata keputusan melaksanakan BDR wajar kekal sebagai prerogatif majikan berdasarkan keperluan operasi, tahap digitalisasi syarikat dan sifat pekerjaan.
“Pendekatan one-size-fits-all berpotensi menjejaskan kelancaran operasi perniagaan dan daya saing syarikat, terutamanya bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang mempunyai kapasiti teknologi dan sumber terhad,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan beberapa pihak supaya pengaturan BDR diperluaskan bagi menghadapi ketidaktentuan global selain mengurangkan pergerakan harian rakyat, sekali gus menjimatkan penggunaan petrol serta mengurangkan tekanan terhadap subsidi bahan api, khususnya RON95.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI pada sidang media pasca Mesyuarat Kabinet Khas mengenai impak konflik di Asia Barat hari ini, berkata Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz akan meneliti cadangan BDR bagi sektor awam.
Sementara itu, Syed Hussain berkata sekiranya cadangan BDR dikaitkan dengan kemungkinan gangguan bekalan tenaga atau peningkatan kos akibat konflik geopolitik di Asia Barat, langkah tersebut bukan penyelesaian utama kepada isu berkenaan.
Beliau berkata kesan konflik geopolitik lazimnya memberi kesan kepada rantaian bekalan global serta meningkatkan kos bahan api dan pengeluaran, yang tidak semestinya dapat ditangani melalui pengaturan kerja dari rumah.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan sekiranya kerajaan mahu menggalakkan BDR, pendekatan yang diambil perlu berbentuk garis panduan flexibel dan bukannya mandatori.
“Garis panduan tersebut perlu mengambil kira aspek seperti pengukuran produktiviti, keselamatan data, waktu kerja, serta tanggungjawab majikan dan pekerja agar pelaksanaan BDR tidak menimbulkan ketidakpastian perundangan atau isu pengurusan prestasi,” katanya.
MEF turut berpandangan sebarang cadangan dasar berkaitan peluasan BDR perlu dibincangkan melalui mekanisme dialog tiga pihak antara kerajaan, majikan dan pekerja atau kesatuan bagi memastikan dasar diperkenalkan praktikal, realistik dan tidak menambah beban kos atau pentadbiran kepada perniagaan.
- Bernama
