Di universiti, pena sepatutnya menjadi alat untuk berfikir, menyoal, dan menulis secara kritikal. Namun di Malaysia, semakin kerap kita melihat satu fenomena yang membimbangkan di mana penulisan akademik, analisis awam, dan kenyataan ilmiah kepada media boleh membawa seorang sarjana ke balai polis. Situasi ini menimbulkan persoalan yang lebih besar, apakah ruang sebenar untuk kebebasan akademik di negara ini?
Kes terbaru yang dilaporkan oleh media menunjukkan seorang ahli akademik dipanggil memberi keterangan kepada polis berhubung pandangannya di South China Morning Post pada tahun 2024. Sebelum ini, beberapa sarjana juga pernah melalui pengalaman yang sama, bukan kerana melakukan jenayah, tetapi kerana menulis, memberi pandangan kepada media, dan mengambil bahagian dalam wacana awam.
Dalam konteks ini, kes mantan Profesor Madya Undang-Undang Universiti Malaya, Dr Azmi Sharom, sering menjadi rujukan penting. Pada tahun 2014, beliau didakwa di bawah Akta Hasutan kerana memberi pandangan akademik mengenai krisis perlembagaan Perak 2009 dalam satu wawancara media. Kes tersebut menjadi simbol kepada apa yang digelar oleh banyak pihak sebagai “sedition dragnet”, iaitu gelombang siasatan dan pendakwaan terhadap individu yang menyuarakan pandangan kritikal.

Apa yang menarik tentang kes Azmi Sharom ialah beliau tidak berucap di jalanan atau mengetuai demonstrasi. Beliau hanya menjelaskan pandangan akademik tentang isu perlembagaan dalam konteks wawancara media, sesuatu yang sepatutnya menjadi sebahagian daripada peranan seorang sarjana dalam masyarakat. Namun kenyataan itu akhirnya membawa beliau ke mahkamah.
Kes tersebut membuka perbincangan yang lebih luas tentang peranan universiti dalam masyarakat. Universiti bukan sekadar institusi untuk menghasilkan graduan. Ia adalah ruang di mana idea diperdebatkan, teori diuji, dan kuasa dipersoalkan secara intelektual. Tanpa kebebasan akademik, universiti akan kehilangan fungsi utamanya sebagai pusat pemikiran kritikal.
Namun Azmi Sharom bukan satu-satunya contoh. Dalam pengalaman peribadi saya sendiri sebagai ahli akademik dan penulis, saya juga pernah dipanggil oleh pihak polis untuk memberi keterangan berhubung sebuah artikel yang saya tulis serta pandangan yang saya nyatakan dalam ruang awam.
Pada ketika itu, iaitu pada tahun 2015, analisis tersebut hanyalah komentar kritikal terhadap satu siri tangkapan yang berlaku susulan perhimpunan #KitaLawan, sesuatu yang lazim dalam penulisan akademik atau wawancara media. Namun begitu, siasatan tetap dijalankan di bawah peruntukan undang-undang berkaitan fitnah.

Pengalaman ini menunjukkan satu realiti penting. Di Malaysia, garis antara wacana akademik dan siasatan undang-undang kadangkala menjadi sangat kabur. Seorang sarjana boleh dipanggil ke balai polis bukan kerana melakukan kesalahan jenayah yang jelas, tetapi kerana menulis atau memberi pandangan kepada media mengenai isu awam.
Di sinilah timbul persoalan asas tentang kebebasan akademik. Kebebasan akademik bukan bermaksud kebebasan tanpa tanggungjawab. Seorang ahli akademik tetap terikat kepada etika penyelidikan, integriti ilmiah, dan fakta yang boleh dipertanggungjawabkan. Namun kebebasan akademik bermaksud sarjana mempunyai ruang untuk menyuarakan analisis kritikal, sama ada melalui tulisan, penyelidikan, atau kenyataan kepada media, tanpa takut kepada tekanan politik atau ancaman undang-undang yang berlebihan.

Masalahnya, dalam banyak keadaan di Malaysia, undang-undang yang wujud seperti Akta Hasutan atau peruntukan lain yang berkaitan dengan ucapan boleh mencipta kesan “chilling effect”. Kesan ini berlaku apabila ahli akademik mula menapis diri sendiri kerana bimbang akan implikasi undang-undang atau institusi.
Akibatnya, banyak soalan penting tidak lagi ditanya. Banyak isu sensitif tidak lagi dianalisis secara terbuka. Dan wacana intelektual menjadi semakin sempit.
Ini sangat bertentangan dengan tujuan sebenar universiti. Universiti sepatutnya menjadi ruang paling selamat untuk perdebatan idea, termasuk idea yang tidak selesa. Jika universiti sendiri tidak boleh menampung perbincangan kritikal, maka masyarakat akan kehilangan satu ruang penting untuk memahami realiti politik dan sosial secara lebih mendalam.
Lebih membimbangkan lagi ialah simbolisme di sebalik kes-kes ini. Apabila seorang ahli akademik dipanggil memberi keterangan kerana tulisan atau pandangannya kepada media, mesej yang dihantar kepada masyarakat akademik adalah jelas, berhati-hatilah dengan apa yang anda tulis dan katakan.
Dalam jangka panjang, ini boleh mengubah budaya intelektual sesebuah negara. Generasi sarjana muda mungkin memilih untuk mengelakkan topik kontroversi. Penyelidikan menjadi lebih selamat tetapi kurang bermakna. Dan universiti perlahan-lahan berubah daripada ruang pemikiran kritikal kepada institusi yang hanya menghasilkan pengetahuan yang “tidak berbahaya”.
Ironinya, banyak negara kini berlumba-lumba untuk menjadi hab pendidikan global. Malaysia juga mempunyai aspirasi yang sama. Namun reputasi akademik sesebuah negara tidak hanya bergantung kepada ranking universiti atau bilangan pelajar antarabangsa. Ia juga bergantung kepada sejauh mana kebebasan intelektual dilindungi.
Kes Syaza Shukri, Azmi Sharom, pengalaman saya sendiri, dan beberapa kes lain menunjukkan satu perkara yang jelas. Di Malaysia, krisis kebebasan akademik sering berlaku secara senyap. Ia tidak selalu muncul sebagai larangan rasmi terhadap penyelidikan. Sebaliknya, ia muncul melalui siasatan, tekanan institusi, atau ancaman undang-undang yang membuatkan sarjana berfikir dua kali sebelum menulis atau bercakap secara terbuka dalam ruang awam.
Namun sejarah menunjukkan bahawa idea tidak boleh dikawal sepenuhnya. Sarjana menulis dan bersuara kerana itu adalah tanggungjawab intelektual mereka. Universiti wujud kerana masyarakat memerlukan ruang untuk memahami dunia secara kritikal.
Akhirnya, persoalannya bukan sekadar tentang seorang sarjana yang dipanggil polis atau satu artikel yang dipersoalkan. Persoalannya lebih besar, adakah kita mahu universiti yang hanya mengulang naratif rasmi, atau universiti yang berani bertanya soalan yang sukar?
Jika pena dan suara seorang sarjana pun boleh menjadi bahan siasatan, maka kita harus bertanya, apakah sebenarnya yang paling ditakuti oleh kuasa?
Bukan tulisan itu sendiri. Tetapi idea yang terkandung di dalamnya.
KHOO YING HOOI ialah Profesor Madya di Universiti Malaya dan juga antara pengasas Southeast Asia Coalition on Academic Freedom (SEACAF).
