Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dari Serbia ke M’sia, Dijana Stena jatuh cinta pada lagu Melayu

Beberapa tahun lalu, penyanyi dan penulis lirik asal Serbia, Dijana Stena mencuri perhatian warganet apabila dia fasih menyanyikan beberapa lagu Melayu di laman Tiktok miliknya.

Antaranya lagu Isabella (Search), Cintamu Mekar Di Hati (May) dan Suci Dalam Debu (Iklim) serta Bintang nyanyian kumpulan Budak Kacamata.

Pemilihan lagu-lagu Melayu itu berjaya mencuri perhatian rakyat Malaysia dan menuai pujian ramai kerana sebutan lirik Bahasa Melayu yang jelas dan kedengaran hampir sempurna.

Bagaimanapun, hingga ke hari ini, masih tidak jelas bagaimana kecintaannya kepada lagu Melayu itu terpupuk? 

Malaysiakini baru-baru ini mewanwancara Stena yang kini berada di Kuala Lumpur.

Dia mendedahkah, dalam 100 lagu Melayu yang didendangkannya di media sosial sejak 2023, lagu yang paling digemarinya ialah Untukmu Sayang nyanyian Febians.

“Lirik lagu Untukmu Sayang sangat puitis, indah dan sentimental,” katanya.

Tambah Stena, dia gemar menyanyikan lagu Melayu daripada era 1970-an hingga 1990-an kerana lirik yang kaya dengan emosi serta susunan melodi yang kuat.

Lagu Melayu pertama yang benar-benar menarik perhatiannya ialah Tiada Lagi versi Amy Search.

Selepas memahami maksud lirik lagu itu, dia mula tertarik dengan keindahan bahasa serta emosi yang disampaikan dalam lagu Melayu.

“Apabila saya memahami maksud liriknya, saya dapati lagu itu sangat indah dan penuh emosi. Dari situ saya mula ingin mengenali lebih banyak lagu Melayu,” katanya.

Selain bernyanyi dalam bahasa Melayu, dia juga boleh bernyanyi dalam Bahasa Itali dan Arab.

Stena berkata minatnya terhadap muzik bermula sejak usia tujuh tahun dan bakatnya mula terserlah selepas memenangi pertandingan nyanyian dalam sebuah festival sekolah.

Ayahnya yang juga seorang pemuzik mendorongnya untuk mengikuti jejak langkahnya dalam bidang seni. Selain menyanyi, Stena turut belajar bermain gitar dan mula menulis serta menggubah lagu sejak berusia 11 tahun.

Pada peringkat awal, dia menghasilkan lagu dalam Bahasa Serbia sebelum mula menulis lirik dalam Bahasa Itali.

Walaupun memiliki latar belakang akademik dalam bidang undang-undang dan merupakan graduan dari University of Novi Sad, di negaranya, Stena mengakui muzik sentiasa menjadi minat utamanya.

Dari peguam ke penyanyi

Stena berkata pada awalnya dia datang ke Malaysia hanya untuk melancong.

Menurutnya, perkenalan dengan Malaysia bermula secara tidak dirancang ketika mencari destinasi percutian selepas sekatan perjalanan antarabangsa dibuka semula selepas pandemik Covid-19.

Ketika itu, katanya dia baru sahaja selesai menduduki peperiksaan dan mahu menghadiahkan dirinya percutian ke sebuah destinasi tropika.

“Saya melihat gambar di Instagram milik seorang rakan yang sedang bercuti di Pulau Tioman. Dari situ saya tertarik untuk melancong ke Malaysia,” katanya.

Stena melancong ke negara ini selama kira-kira sebulan. 

Sepanjang tempoh itu, dia melawat beberapa destinasi pelancongan terkenal seperti Kuala Lumpur, Penang, Pulau Tioman serta Cameron Highlands.

Menurutnya, keindahan alam semula jadi dan suasana tropika membuatkannya jatuh cinta dengan negara ini.

Selepas pulang ke Serbia, Stena kembali bekerja sebagai peguam. Namun, rasa ingin tahu tentang Malaysia mendorongnya untuk datang semula ke negara ini bagi meneroka lebih banyak pengalaman baharu.

“Apa saja yang boleh saya buat di pejabat? Saya rasa bekerja sebagai peguam tidak sesuai bagi saya,” katanya.

Belajar Bahasa Melayu

Menceritakan proses rakaman, Stena berkata sebelum menyanyikan sesebuah lagu dia akan menghafal melodi dan bagi memastikan sebutannya tepat dan jelas.

Dia juga akan memahami maksud lirik terlebih dahulu.

Proses itu biasanya dilakukan dengan bertanya kepada rakan-rakan atau melalui carian di internet.

Stena juga mempelajari bahasa Melayu dengan mengikuti kelas akademik serta berlatih bersama rakan-rakan di Malaysia.

“Pada awalnya sangat sukar untuk belajar Bahasa Melayu kerana sebutannya sangat berbeza daripada bahasa yang digunakan di Eropah,” katanya.

Minat yang semakin mendalam terhadap muzik tempatan turut mendorong Stena menghasilkan karya sendiri dalam Bahasa Melayu.

Antara lagu ciptaannya ialah Lelayang yang diterbitkan pada 2024 serta Satu Jiwa pada 2025.

Menurutnya, dia cuba menggabungkan elemen melodi Balkan atau Eropah dengan lirik dalam Bahasa Melayu sebagai satu eksperimen muzik.

Kini, Stena berkata dia bercadang untuk terus menetap di Malaysia bagi mengembangkan kerjaya nyanyiannya di negara ini.

“Saya datang ke Malaysia pada awalnya hanya untuk melancong, tetapi akhirnya saya menemui sesuatu yang sangat bermakna melalui muzik,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS