GLOBAL | Jabatan Negara AS hari ini mengumumkan ganjaran sehingga AS$10 juta untuk mendapatkan maklumat yang membawa kepada pengenalpastian atau lokasi pemimpin utama Iran, termasuk pemimpin agung baru negara itu, Mojtaba Khamenei.
Anadolu Ajansi melaporkan pengumuman itu dikeluarkan menerusi program Rewards for Justice Jabatan Negara AS.
Ia menyatakan bahawa individu yang disasarkan itu “memerintah dan mengarahkan pelbagai elemen dalam Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC)” dan didakwa Washington sebarang merancang serta melaksanakan serangan di seluruh dunia.
Selain Mojtaba, individu lain yang disenaraikan dalam notis itu ialah Timbalan Ketua Turus di pejabat pemimpin agung, Ali Asghar Hejazi; serta penasihat kanan ketenteraan kepada pemimpin agung berkenaan, Yahya Rahim Safavi.
Terdahulu pada hari yang sama, Setiausaha Pertahanan AS Pete Hegseth mendakwa Mojtaba “cedera” dan “berkemungkinan cacat” ketika Washington dan Tel Aviv terus melancarkan serangan ke atas Iran.
Ketegangan di Asia Barat semakin memuncak sejak Israel dan AS melancarkan serangan bersama ke atas Iran pada 28 Feb lalu. Setakat ini krisis tersebut mengorbankan kira-kira 1,300 orang termasuk bapa Mojtaba, Ali Khamenei yang menjadi Pemimpin Agung Iran pada ketika itu.
Tehran bertindak balas dengan melancarkan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, Jordan, Iraq serta beberapa negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS, mengakibatkan kemalangan jiwa serta kerosakan terhadap infrastruktur awam selain menjejaskan pasaran global dan sektor penerbangan.
- Bernama/Anadolu
