Selepas polis mengesahkan aktivis mualaf kontroversi Zamri Vinoth melarikan diri ke negara jiran, seorang peguam tampil menafikan perkara itu.
Aidil Khalid berkata, Zamri sememangnya selalu berulang-alik ke Thailand kerana mempunyai perniagaan antara dua negara.
“Kita tidak bermain di padang yang rata. Bayangkan, tuduhan dibuat, kononnya Zamri lari ke Thailand.
“Sedangkan Zamri memang selalu ulang-alik ke Thailand, sebab beliau ada perniagaan antara dua negara.
“Bila Zamri buat akaun Facebook baru (yang lama kena block), dan jelaskan dia tak lari, dan memang akan hadap pertuduhan, Facebooknya ditutup pula. Penerangannya itu disekat. Semua media sosialnya diturunkan atau disekat,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Aidil merupakan peguam kepada individu yang mendakwa sebagai aktivis tanah, Tamim Dahri Abdul Razak.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan polis mengesahkan Zamri dan Tamim melarikan diri ke Thailand ketika pihak berkuasa semakin hampir mengambil tindakan terhadap mereka atas pertuduhan jenayah, susulan insiden berasingan yang melibatkan provokasi perkauman dan agama.
Dalam kenyataan media lewat malam tadi, Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail, berkata pihaknya sedang bekerjasama secara aktif dengan pihak berkuasa Thailand untuk menjejak serta membawa pulang kedua-dua suspek itu ke negara ini.
Menurutnya, Zamri – atau nama penuhnya Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu – akan berdepan dua pertuduhan berasingan.
“Polis melalui jabatan siasatan jenayah mengesahkan sudah selesai menjalankan siasatan terhadap Zamri Vinoth berhubung kenyataan penganjuran perhimpunan di perkarangan Sogo, Kuala Lumpur pada 7 Feb lalu.
Berhubung siasatan berkaitan kenyataan bersifat menghina terhadap masyarakat India, Khalid berkata, kertas siasatan dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Pulau Pinang untuk arahan pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.
Polis Pulau Pinang sebelum ini menyiasat Zamri atas kesalahan hasutan berhubung satu siaran langsung TikTok pada 8 Mac.
Aidil mendakwa masyarakat cuma dibenar mendengar satu cerita sahaja iaitu kononnya Zamri melarikan diri.
“Dan ingat balik ya, kejadian Zamri diserang dan cermin keretanya dipecahkan. Dia mangsa tapi dia pula yang nak dituduh,” dakwanya.

Sementara itu ketika diminta mengesahkan sama ada benar atau tidak Tamim melarikan diri ke Thailand, Aidil bagaimanapun tidak dapat mengesahkannya.
“Saya tak dapat nak sahkan,” katanya ringkas ketika dihubungi Malaysiakini.
