Rafizi Ramli menggesa supaya peranan NexG Berhad diletakkan di bawah kawalan kerajaan, susulan dakwaan pergolakan dalam syarikat yang dilantik Putrajaya untuk membekalkan MyKad dan pasport itu.
Bercakap dalam podcast “Yang Berhenti Menteri” malam tadi, bekas menteri ekonomi itu berkata memandangkan NexG mengurus aset keselamatan negara yang sangat sensitif, tugas yang diberikan kepada syarikat itu terlalu kritikal untuk dibiarkan di tangan pihak swasta yang terdedah kepada manipulasi.
“Ini soal keselamatan negara. Bukankah lebih baik jika ia dikendalikan terus oleh kerajaan? Apa yang susah sangat? Itu soalan paling asas.
“Apabila ada syarikat yang mempunyai kontrak bernilai berbilion ringgit dan perniagaan yang terjamin… setiap kali kerajaan bertukar, ia akan menjadi sasaran perebutan korporat seperti ini.
“Semua orang di sekeliling perdana menteri akan mahukan sebahagian daripada NexG,” tambahnya.
Ketika menggesa supaya kontrak kerajaan yang diberikan kepada NexG dikaji semula dan tugasnya dipindahkan kepada syarikat milik kerajaan, Rafizi mengakui langkah itu kemungkinan besar tidak akan berlaku kerana “terlalu banyak wang yang akan hilang”.
“Itulah bahayanya — apabila kepimpinan baru (dalam kerajaan) masuk, mereka mungkin berkata: ‘jika kita buat begitu, kita tak dapat satu sen pun, tetapi jika kita kekalkan (seperti sekarang), mungkin saya boleh dapat RM200 juta’. Itulah masalahnya,” katanya.
Bekas timbalan presiden PKR itu berkata demikian ketika muncul dakwaan bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah campur tangan dalam usaha yang didakwa dilakukan ahli perniagaan Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak untuk “mengambil alih kawalan” terhadap NexG.

Pada 12 Mac, Channel News Asia (CNA) melaporkan bahawa “arahan” yang didakwa datang daripada Anwar kepada bekas setiausaha politiknya itu dikeluarkan awal minggu ini, dengan arahan itu dikatakan bertujuan membuka laluan kepada ahli perniagaan Ishak Ismail untuk mengetuai NexG.
Laporan itu menambah walaupun Farhash tidak memiliki pegangan ekuiti secara langsung dalam NexG, dia mempunyai kepentingan 20 peratus dalam MMAG Holdings Berhad, sebuah firma logistik di mana NexG memegang 10 peratus kepentingan.
Farhash menafikan dakwaan dalam laporan tersebut dan mengeluarkan surat tuntutan kepada agensi berita asing itu, namun NexG semalam mengumumkan bahawa Ishak dan anaknya, Mohamed Najib Ishak, telah menyertai lembaga pengarah syarikat sebagai pengarah bukan eksekutif.
Pelantikan mereka ke dalam lembaga pengarah berlaku selepas mereka muncul sebagai pemegang saham terbesar syarikat melalui Raya Aviation Holdings Berhad pada 4 Mac.
Dalam pemfailan kepada bursa, lembaga pengarah juga menegaskan bahawa pelaburan terdahulu dalam saham tersenarai, yang masih sedang disemak oleh lembaga terdahulu, dibuat selaras dengan undang-undang dan keperluan penyenaraian yang berkuat kuasa.
“Pengarah eksekutif syarikat percaya pelaburan ini merupakan sebahagian penting daripada transformasi strategik dan rancangan pengembangan syarikat,” menurut pemfailan oleh lembaga baru itu.
Pergolakan lembaga pengarah
Minggu lalu, NexG menggantung sementara kuasa pengerusi eksekutif dan ketua pegawai eksekutifnya, Abu Hanifah Noordin, yang dikatakan bagi membantu siasatan terhadap beberapa pelaburan syarikat itu dalam syarikat tersenarai awam.
Ini dipercayai termasuk pelaburan NexG yang mengalami kerugian dalam MMAG pada Mac 2025, bulan yang sama Farhash menjadi pemegang saham terbesar syarikat itu, serta pelaburan dalam Classita Holdings Berhad yang kini dikenali sebagai NexG Bina Berhad.
The Edge melaporkan bahawa Hanifah mahu Ishak, yang anak-anaknya mengawal Raya Aviation, dilantik sebagai ahli lembaga pengarah NexG bersama seorang lagi anak Ishak.
Anak perempuan Ishak, Siti Nur Aisyah, juga merupakan pemegang saham NexG yang bersekutu dengan Hanifah.
Turut dilaporkan bersekutu dengan Hanifah ialah Velocity Capital Berhad — cabang pembiayaan kepada Velocity Capital Partners Berhad, iaitu syarikat yang pernah dimiliki sahamnya oleh ketua pesuruhjaya SPRM, Azam Baki.
Rancangan Hanifah untuk melantik Ishak dan beberapa individu lain ke lembaga NexG didakwa memerlukan penyingkiran tujuh pengarah, termasuk peguam Chong Loong Men, yang sebelum ini dikaitkan dalam laporan Bloomberg berkaitan “mafia korporat”.
Kuasa Hanifah Noordin dikembalikan semula selepas lembaga pengarah sebelum ini - yang dikatakan berpihak kepada Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak — meletak jawatan secara beramai-ramai, namun dia sebelum ini mendakwa penggantungannya berlaku kerana dia membantah dan cuba melindungi NexG Berhad daripada “dirompak di siang hari”.
Dia mendakwa seorang “tokoh yang sangat berkait dengan politik”, yang hanya dikenal pasti sebagai Mr X, bersama seorang ahli lembaga NexG, telah memberi tekanan kepada beberapa pengarah dan anggota penting pengurusan NexG supaya meninggalkan syarikat itu secara paksaan.
Keperluan RCI
Mengulas mengenai rangkaian korporat NexG yang rumit melibatkan individu berprofil tinggi serta dakwaan yang berpotensi serius - Rafizi berkata perebutan itu hanya menegaskan lagi keperluan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan berkaitan “mafia korporat”.
“Apabila Bloomberg mula melaporkan tentang ‘mafia korporat’, mereka yang pada masa sama menuduh saya rasuah dan mengambil projek bernilai RM3 bilion dan sebagainya - inilah sebenarnya yang mereka cuba sembunyikan,” dakwa Rafizi.
Ahli Parlimen Pandan itu sebelum ini mengkritik dua siasatan yang sedang dijalankan oleh SPRM terhadap dakwaan salah laku kewangan melibatkan dirinya ketika berada dalam kabinet, dengan berkata bahawa masa siasatan itu — selepas dia menggesa Azam digantung susulan laporan Bloomberg — menunjukkan risiko penyalahgunaan kuasa.

Dalam podcastnya malam tadi, Rafizi juga menegaskan dengan laporan terbaru CNA itu, kerajaan tidak lagi boleh menolak dakwaan berkaitan NexG sebagai sekadar spekulasi, kerana laporan tersebut menimbulkan persoalan tentang apa yang diketahui oleh kepimpinan tertinggi negara mengenai perkara itu.
“Dengan laporan CNA itu, bagaimana kita mahu sembunyikannya lagi? Tak boleh. Ini bermakna Anwar tahu apa yang Farhash lakukan. Anwar tahu apa yang berlaku dengan kontrak (yang diberikan kepada NexG), dengan pendedahan yang melibatkan keselamatan negara.
“Jadi apa sahaja yang kita mahu katakan tentang mafia korporat ini, kita tidak boleh lari daripada menjawab hakikat bahawa bukan sahaja ia berlaku di bawah pemerhatian kita, tetapi kepimpinan utama dilihat sebagai pemain utama di dalamnya,” dakwanya.
