mk-logo
Berita
'Makanan cukup tapi tak boleh leka': Mat Sabu jawab sindiran Wan Saiful
Diterbitkan:  Mar 15, 2026 5:40 PM
Dikemaskini: 9:40 AM

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, mempertahankan seruan kerajaan agar orang ramai menanam sayur-sayuran sendiri, dengan mengatakan bahawa inisiatif itu adalah sebahagian daripada strategi yang lebih luas untuk memperkukuhkan keterjaminan makanan Malaysia.

Dalam catatan Facebook, Mohamad menjawab kritikan daripada Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, yang dirujuknya sebagai "seorang Ahli Parlimen yang dipecat oleh partinya".

"Memang benar, dua pokok cili tidak akan menurunkan harga minyak dunia. Sepasu kangkung tidak akan menstabilkan harga urea global. Itu saya pun tahu.

"Mungkin beliau terlepas pandang laporan berita mengenai tindakan KPKM yang sedang memantau dan telah mengambil langkah awal ekoran konflik geopolitik di Timur Tengah yang berpotensi menjejaskan rantaian bekalan global,” katanya.

Presiden Amanah itu berkata berdasarkan pemantauan yang dijalankan setakat ini, dia boleh memberi jaminan bahawa bekalan makanan negara kekal stabil dan mencukupi.

Namun, tambanya, pihaknya tidak boleh leka.

Jumaat lalu, Mohamad menyarankan kakitangan kementeriannya menanam sayur-sayuran di rumah sebagai sebahagian daripada langkah Putrajaya untuk memperkukuh bekalan makanan negara di tengah-tengah konflik global.

Secara berasingan, Timbalan Setiausaha Organisasi MCA, Kang Meng Fuat, juga menyifatkan cadangan Mohamad sebagai sangat tidak bertanggungjawab, mengalihkan beban isu makanan kepada rakyat.

Dia berhujah bahawa sebagai seorang menteri, Mohamad pada dasarnya menerima gaji kerana tidak melakukan apa-apa, dan ini tidak menangani masalah asas keselamatan makanan negara dan kestabilan harga.

“Keterjaminan makanan moden bergantung pada sistem pengeluaran pertanian yang lengkap, rantaian bekalan yang stabil, persekitaran dasar yang munasabah, dan pelaburan jangka panjang dalam industri pertanian.

“Memindahkan tanggungjawab kepada penjawat awam atau rakyat biasa tidak benar-benar mengurangkan tekanan semasa kenaikan harga makanan,” tegas Kang.

Dia mengaitkan cabaran yang dihadapi oleh bekalan makanan negara dengan isu struktur peringkat dasar, seperti kelewatan pembaharuan lesen bot nelayan kelas B dan larangan kerajaan Selangor terkini terhadap penternakan babi.

“Tanpa pembaharuan institusi di sumber pengeluaran pertanian, bergantung semata-mata kepada menggalakkan penanaman sayur-sayuran isi rumah jelas tidak mencukupi untuk mencapai matlamat keselamatan makanan negara,” tegasnya.

Namun, Mohamad hari ini menegaskan bahawa kementerian telah mengambil langkah mitigasi risiko awal, termasuk meningkatkan stok penimbal beras negara melalui Padiberas Nasional Berhad (Bernas) daripada 200,000 tan metrik kepada 300,000 tan metrik dan melibatkan Petronas untuk memastikan bekalan urea yang mencukupi pada harga terkawal.

Kementerian juga sedang memperkukuh program di bawah taman kekal pengeluaran makanan (TKPM), zon industri akuakultur (ZIA), kawasan pembangunan pertanian bersepadu (IADA), dan organisasi petani untuk meningkatkan pengeluaran domestik.

Selain itu, Mohamad berkata kementerian sedang merangka pelan tindakan pengurusan krisis dan mencadangkan penubuhan Zon Pengeluaran Makanan Negara.

"Dalam jangka panjang pula, kita akan melaksanakan sembilan hala tuju strategik termasuk pengeluaran jagung bijian tempatan, pengukuhan industri ruminan, pembangunan baka Ayam Saga, peningkatan produktiviti padi dan pengukuhan industri akuakultur.

"Semua ini pelan besar. Ada angka. Ada peruntukan. Ada KPI,” katanya.

"Jadi apabila kementerian menggalakkan rakyat menanam sayur melalui program Kebuniti dan Kebun Dapur Isirumah, itu bukan kerana kerajaan tiada strategi.

"Ia kerana kita faham keterjaminan makanan mesti dibina secara berlapis," jelasnya.

Mohamad memetik negara-negara seperti Singapura, yang menggunakan kurang daripada 1 peratus tanah untuk pertanian tetapi banyak melabur dalam pertanian bandar di bawah sasaran pengeluaran makanan “30 by 30”, dan Jepun, yang terus menggalakkan pertanian komuniti walaupun mempunyai dasar makanan negara yang kukuh.

"Kerana dalam dunia yang tidak menentu, berdikari bukan slogan. Ia strategi," tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS