Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (Mata) memandang serius kenaikan harga diesel sebanyak 80 sen seliter.
Persatuan itu berkata ia memberikan tekanan besar kepada industri pengangkutan bas persiaran dan berpotensi memberi kesan kepada ekosistem pelancongan yang lebih luas susulan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Kenaikan mendadak meningkatkan kos operasi secara substansial, sekali gus memberi tekanan kewangan kepada pengusaha yang masih dalam proses pemulihan daripada kesan pandemik.
Menurut Presiden Mata, Mohd Khalid Harun, kenaikan harga diesel memberi impak langsung dan segera kepada kelestarian syarikat pengangkutan pelancongan.
"Peningkatan 80 sen bagi harga diesel meletakkan tekanan yang sangat serius kepada pengusaha bas persiaran.
“Industri ini amat bergantung kepada penggunaan diesel, terutamanya untuk perjalanan jarak jauh yang melibatkan kumpulan pelancong dan rombongan terancang.
“Apabila harga bahan api meningkat tajam, kos bagi setiap perjalanan meningkat dengan ketara dan menjejaskan kestabilan operasi syarikat pengangkutan secara langsung," katanya.

Baru-baru ini, kerajaan mengumumkan harga runcit petrol dan diesel di stesen minyak di Malaysia akan diselaraskan, sejajar dengan pergerakan harga minyak di pasaran global bagi menangani kesan ketidaktentuan pasaran.
Sehubungan itu, harga runcit RON95 dan RON97 dinaikkan sebanyak 60sen seliter, manakala harga diesel di Semenanjung pula naik 80sen seliter.
Bagaimanapun, kerajaan mengekalkan subsidi RON95 pada RM1.99 seliter dan harga bersubsidi diesel pada RM2.15 dan RM1.88 seliter.
Dalam kenyataan hari ini, Mohd Khalid menjelaskan bahawa kebanyakan tempahan bas disahkan lebih awal pada kadar harga yang dipersetujui sebelum ini.
Dalam situasi sedemikian, katanya, pengusaha mempunyai sedikit atau tiada fleksibiliti untuk melaraskan harga apabila berlaku peningkatan kos secara mendadak.
"Ramai pengusaha kini terpaksa menanggung kos tambahan kerana harga tempahan dipersetujui lebih awal.
“Ini mengurangkan margin keuntungan secara signifikan, dan dalam sesetengah kes, pengusaha beroperasi dengan margin yang minimum atau tiada margin langsung," tambahnya.
Selain kos bahan api, kata Mata, syarikat bas persiaran juga perlu menanggung perbelanjaan operasi lain termasuk penyelenggaraan kenderaan, gaji pemandu, bayaran tol, permit dan perlindungan insurans.
Kenaikan harga diesel secara serentak meningkatkan keseluruhan kos operasi dan memberi tekanan lanjut kepada aliran tunai syarikat.
Justeru, katanya, jika situasi ini berterusan, pengusaha mungkin terpaksa meningkatkan kadar sewa bas bagi menampung kos operasi yang kian meningkat.
Bagaimanapun Mohd Khalid memberi amaran ia menjejaskan sektor pelancongan, rombongan sekolah, perjalanan korporat dan penganjur acara yang bergantung kepada perkhidmatan bas persiaran sebagai mod pengangkutan utama secara langsung.
Mata menggesa kerajaan mempertimbangkan langkah-langkah sokongan bagi membantu pengusaha pengangkutan pelancongan menguruskan peningkatan kos operasi, termasuk mekanisme yang boleh membantu memastikan kelestarian industri serta kestabilan sektor pelancongan negara.
