Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KJ hebat ke? - Ibrahim Ali bidas Rumah Bangsa Umno
Diterbitkan:  Mar 16, 2026 11:26 AM
Dikemaskini: 4:43 AM
1

Presiden Parti Putra, Ibrahim Ali menyelar cadangan membawa semula bekas pemimpin Umno seperti Khairy Jamaluddin dan Hishammuddin Hussein untuk pulang semula ke pangkuan Umno melalui inisiatif "Rumah Bangsa" .

Ibrahim, yang juga bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dan ahli parlimen parti itu berkata, tindakan berkenaan sekadar "kosmetik politik" yang tidak akan memulihkan keyakinan rakyat.

Dia khususnya mempersoalkan kredibiliti Khairy Jamaluddin atau dikenali sebagai KJ dengan membangkitkan sejarah "Tingkat 4" yang dikaitkan dengan pengaruh menantu bekas perdana menteri Adullah Ahmad Badawi ketika berkuasa dahulu.

"Hebat ke KJ itu? KJ Tingkat 4, rakyat dan saya tidak lupa. Saya Melayu yang tidak pernah lupa.

"KJ jika tidak kerana menantu perdana menteri, mungkin ketua cawangan pun sukar menang. Dah jadi menteri pun kalah PRU (pilihan raya umum). DJ radio bukan pejuang politik," sindirnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ibrahim, populariti yang bersandarkan hiburan tidak akan membantu Umno kerana orang Melayu memerlukan "pejuang bangsa" yang tulen untuk memulihkan sokongan.

Ibrahim turut melontarkan beberapa "soalan cepu emas" kepada kepimpinan Umno bagi membuktikan sama ada parti itu benar-benar mahu berubah atau sekadar mahu kembali berkuasa.

“Adakah keyakinan rakyat terhadap Umno runtuh kerana kekurangan tokoh, atau kerana krisis integriti yang melanda kepimpinan parti itu sendiri?” katanya.

Dia mendakwa imej Umno sebagai parti "kleptokrasi" masih melekat di hati rakyat, terutama apabila presiden parti Ahmad Zahid Hamidi dikaitkan dengan 47 kes prima facie walaupun telah diberikan keputusan melepas tanpa dibebaskan (DNAA).

"Adakah rakyat akan lupa bahawa Umno hari ini dipimpin oleh seorang presiden yang membawa imej 47 kes prima facie? Yang memberi DNAA ialah peguam negara, bukan rakyat atau pengundi.

"Mindset rakyat ketika ini ialah Umno sebuah parti kleptokrasi setelah dilanda isu 1MDB," tegasnya.

Pada 6 Mac lalu, Zahid memaklumkan Umno membuka pintu seluas-luasnya kepada bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung keahlian, serta mana-mana individu yang ingin kembali bersama dalam perjuangan parti tersebut.

Presiden Umno berkata langkah itu diambil selaras dengan semangat Ramadan yang menekankan rahmat dan keampunan, sekali gus memberi ruang kepada semua pihak untuk melupakan perbezaan lalu dan membuka lembaran baru dalam usaha memperkukuh kembali kekuatan Umno.

Dia turut berkata Jawatankuasa Rumah Bangsa yang dipengerusikan Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin akan menyelaraskan proses berkenaan melalui tatacara bersesuaian menurut Perlembagaan parti.

Khairy pula sehari selepas itu menyatakan hasrat untuk kembali menyertai Umno susulan pengumuman Ahmad Zahid mengenai "membuka pintu seluas-luasnya" kepada bekas ahli yang pernah digantung atau dipecat.

Sementara itu, Ibrahim yang juga bekas ahli parlimen Pasir Mas turut menyentuh soal maruah politik Melayu dengan mempersoalkan kerjasama Umno bersama DAP dalam kerajaan pusat, yang menurutnya bertentangan dengan sumpah "No Anwar, No DAP" sebelum ini.

“Jika benar Umno mahu memulihkan keyakinan rakyat, adakah kepimpinan parti sanggup melakukan reformasi sebenar termasuk membersihkan kepimpinan yang kotor dan hipokrit?

“Sanggupkah berundur dan memberi laluan kepada pemimpin yang dilihat bersih demi masa depan Umno? Buktikan keikhlasan dan buang kepentingan diri.

“Rumah Bangsa ada dalam roh diri yang ikhlas, bukan retorik atau upah orang membina rumah yang tidak ada tiang seri yang akhirnya dilihat sebagai rumah hantu,” katanya.

Menceritakan latar belakangnya dalam Umno, Ibrahim mendedahkan rasa "jelik" terhadap budaya politik parti itu yang didakwanya penuh dengan amalan politik wang, cemburu, dan dengki.

Dia juga mengimbau kembali pemecatannya sebagai ketua bahagian Pasir Mas pada tahun 2003 oleh Abdullah Badawi pada bulan Ramadan tanpa sebarang sebab yang jelas.

"Masih ada 'iblis-iblis' pada bulan Ramadan yang menasihat dan menghasut supaya saya dipecat.

"Politik Umno adalah politik wang, cemburu dan dengki sesama sendiri, adu domba serta pijak kepala kawan untuk naik.

“Sebab itulah saya menjadi jelik dengan Umno dan tidak akan berlaku lagi pisang berbuah dua kali," katanya.

Dia turut memberi amaran bahawa Umno akan menjadi seperti "barang antik" yang tidak berguna lagi jika gagal melakukan reformasi sebenar, termasuk membersihkan kepimpinan yang dianggap kotor dan hipokrit.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS