Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Cuti mengejut ‘tabiat ekonomi tak sihat’, kata persatuan PKS
Diterbitkan:  Mar 16, 2026 12:31 PM
Dikemaskini: 4:57 AM

Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (Samenta) menggesa kerajaan supaya berhenti mengumumkan cuti umum secara "mengejut", dengan menyifatkannya sebagai "tabiat ekonomi tidak sihat" yang memberi beban kewangan besar kepada perniagaan.

Gesaan itu dibuat susulan pengumuman Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam mengenai cuti tambahan sehari bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Presiden Samenta William Ng berkata trend berulang mengumumkan cuti dalam tempoh singkat menambah kos yang tidak boleh dielakkan kepada sektor perniagaan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang bergelut dengan ekonomi tidak menentu.

"Perniagaan dibina atas keupayaan untuk merancang," kata Ng dalam kenyataan yang dilaporkan Malay Mail.

"Apabila cuti diisytiharkan secara tiba-tiba, pengilang berdepan penalti dan perlu membayar gaji tiga kali ganda untuk memenuhi kewajipan kontrak sedia ada. 

“Sektor perkhidmatan, peruncitan serta makanan dan minuman (F&B) amat terdedah, kerana stok barangan mudah rosak atau jadual penghantaran terganggu."

Anwar Ibrahim

Kerajaan semalam bersetuju memberikan cuti tambahan sehari bersempena dengan sambutan Aidilfitri bagi menghargai usaha dan dedikasi rakyat yang bekerja keras sepanjang Ramadan.

Anwar berkata sekiranya Aidilfitri disambut pada Jumaat (20 Mac), kerajaan akan menetapkan Isnin (23 Mac) sebagai cuti tambahan.

Sebaliknya, jika hari raya jatuh pada Sabtu (21 Mac), cuti tambahan ialah pada Jumaat (20 Mac).

Sementara itu, Ng memetik kajian Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA), yang mencadangkan peraturan "Optimal 10" untuk cuti umum.

Dia berkata kajian itu mendapati produktiviti ekonomi memuncak pada sekitar 10 hari cuti yang diwartakan setahun, dan melebihi jumlah ini membawa kepada pulangan yang berkurangan disebabkan gangguan dan kos tenaga kerja yang lebih tinggi.

"Malaysia sudah pun mempunyai antara jumlah cuti umum tertinggi di rantau ini. Dengan menambah hari yang tidak dijadualkan, kita menolak ekonomi kita lebih jauh ke bawah lengkung pulangan yang berkurangan," katanya.

Hadkan kuasa isytihar cuti

Sementara itu, Samenta juga mencadangkan kerajaan supaya meminda Akta Hari Kelepasan 1951 bagi mengehadkan kuasa menteri untuk mengisytiharkan cuti secara tiba-tiba hanya kepada “kecemasan nasional yang sebenar” atau peristiwa besar seperti pertabalan Yang di-Pertuan Agong.

Samenta turut mencadangkan supaya tempoh notis minimum sekurang-kurangnya tiga bulan diinstitusikan bagi sebarang cuti tambahan bukan kecemasan untuk membolehkan perniagaan merancang sewajarnya.

"PKS bersedia bekerja keras untuk membina semula ekonomi kita, tetapi kita perlukan kerajaan faham bahawa mesej yang disampaikan adalah sama penting dengan niat tersebut," kata Ng.

"Mengisytiharkan cuti tambahan ketika kita sedang berjuang untuk terus hidup adalah mesej yang salah, tanpa mengira apa pun niatnya."


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS