Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bersih, aktivis kecam k’jaan Anwar bungkam suara rakyat
Diterbitkan:  Mar 16, 2026 12:34 PM
Dikemaskini: 4:34 AM

Kumpulan masyarakat sivil serta individu yang diketuai oleh Bersih mengecam sekeras-kerasnya tindakan pihak polis dan Kerajaan Madani yang menjalankan siasatan terhadap aktivis, ahli akademik, dan pengkaji politik di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan.

Siasatan yang melibatkan alasan "aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen" itu disifatkan sebagai satu bentuk intimidasi dan cubaan serius untuk membungkam suara rakyat daripada mengkritik kerajaan secara sah dan berfakta.

Menurut Bersih, setakat ini seramai 14 orang telah disoal siasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM). Antara yang dipanggil termasuk wakil Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center), Bersih, serta ahli akademik seperti Dr Syaza Shukri (UIA), Dr Mazlan Ali (UTM), dan Aziff Azuddin (Iman Research).

"Kami mendapat maklumat bahawa lebih ramai lagi akan dipanggil dalam masa terdekat.

“Ini menimbulkan kebimbangan bahawa satu operasi yang lebih luas sedang dijalankan untuk menyiasat dan memprofilkan suara-suara kritikal dalam masyarakat sivil dan komuniti akademik," kata kenyataan itu.

Selain Bersih, ia juga dikeluarkan oleh sembilan NGO lain.

Antaranya, Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), Justice for Sisters, Lawyer for Liberty (LFL), Suara Rakyat Malaysia (Suaram), SIS Forum dan Pusat Komas.

Ia juga disokong oleh lebih 50 NGO lain dan beberapa individu.

Menurut kenyataan itu, pihak polis telah mengemukakan kira-kira 80 soalan dalam siasatan mereka.

Soalan-soalan tersebut menyentuh mengenai kritikan terhadap kerajaan, sumber maklumat, sumber pendanaan, serta cubaan mengaitkan aktivis dengan usaha menjatuhkan perdana menteri secara tidak sah.

Kumpulan itu turut mempersoalkan tindakan polis pada 13 Mac lalu yang mendakwa sedang mengesan saksi penting yang dikatakan bergerak ke luar negara.

"Adakah PDRM ingin mewujudkan persepsi seolah-olah saksi-saksi ini mahu melarikan diri kerana melakukan kesalahan?" soal mereka.

Bersih bersama gabungan NGO lain juga menuntut Kerajaan Madani menghentikan segera intimidasi melalui Seksyen 124B kerana ia menekan kebebasan bersuara dan kebebasan akademik yang dilindungi di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Mereka turut mendesak kerajaan agar tidak mempergunakan institusi penguatkuasaan sebagai "senjata" untuk menekan pihak yang tidak sehaluan atau kritikal terhadap dasar kerajaan.

"Penggunaan undang-undang keselamatan negara terhadap aktivis dan ahli akademik hanya mengukuhkan persepsi bahawa kerajaan sedang kembali kepada amalan lama — menggunakan instrumen negara untuk membungkam pengkritik," tegas kenyataan itu.

Kenyataan tersebut turut membidas Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan mengingatkan dirinya bahawa dia sendiri dahulunya merupakan pengkritik kerajaan yang paling lantang.

"Adakah Kerajaan Madani, terutamanya Anwar telah terlupa bahawa beliau suatu ketika dulu dituduh dengan pelbagai gelaran bagi memberi persepsi beliau menggugat keharmonian negara?

“Mengapa kini Kerajaan Madani menggunakan naratif dan taktik yang serupa? Tidakkah ini satu hipokrasi terbesar?" soal mereka.

Gabungan itu menggesa agar kerajaan melakukan reformasi sebenar terhadap institusi penguatkuasaan bagi melindungi rakyat, bukannya "membenamkan belati" kepada mereka yang bersuara demi penambahbaikan demokrasi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS