Khairy Jamaluddin telah mengemukakan rayuan untuk menyertai semula Umno, tiga tahun selepas dia dipecat daripada parti itu.
Permohonan tersebut diserahkan malam semalam kepada Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi — individu yang menyingkirkan Khairy yang sedang berusaha mencabar jawatan presiden bagi menguasai parti itu pada awal 2023.
Zahid mengumumkan langkah perdamaian itu menerusi hantaran di media sosial hari ini, dengan presiden parti itu kelihatan tersenyum riang menerusi foto yang dikongsikan.

“Inilah antara makna sebenar Rumah Bangsa. Sebuah ikhtiar untuk menemukan semula yang pernah berpisah, merapatkan kembali yang pernah berjauhan, dan menghimpunkan semula kita dalam satu keluarga besar perjuangan.
“Insya-Allah, secara peribadi saya telah menerima permohonan ini dan akan dipanjangkan kepada Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa yang dipengerusikan oleh YB Dato’ Seri Haji Mohamed Khaled Nordin untuk diperhalusi dan diperakukan sewajarnya,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Tambahnya, walaupun telah menerima permohonan tersebut secara peribadi, proses penyertaan semula bekas ahli Parlimen Rembau itu akan melalui saluran rasmi parti untuk penelitian lanjut.
"Permohonan ini akan diperhalusi dan diperakukan sewajarnya oleh jawatankuasa tersebut," katanya.
Mengulas lanjut mengenai dinamika politik dalaman parti, Zahid menegaskan bahawa matlamat utama Umno ketika ini adalah mencari jalan penyatuan dan bukannya membiarkan perpecahan terus berlarutan.
Menggunakan peribahasa 'biduk lalu, kiambang bertaut', dia berharap agar usaha ini dapat memperkukuh semula saf perjuangan parti.
“Dalam perjalanan perjuangan ini, seperti yang sering saya sebut - biduk lalu, kiambang bertaut.
"Yang lebih utama ialah mencari jalan penyatuan, bukan membiarkan perpecahan terus memisahkan kita.
"Mudah-mudahan Rumah Bangsa menjadi asas untuk kita mempertemukan semula hati-hati yang pernah terpisah dan mengembalikan kekuatan Umno sebagai induk politik orang Melayu dan umat Islam di tanah air ini," tegasnya.
Khairy yang juga bekas menteri kesihatan dipecat daripada Umno pada 23 Jan 2023 atas sebab pelanggaran disiplin parti selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Sebelum ini, dia turut mengkritik Umno secara terbuka dengan mendakwa parti itu telah tersasar daripada hala tuju asal, serta lantang mengkritik kepimpinan parti dan menggesa reformasi dalaman termasuk kepimpinan tertinggi parti selepas PRU15.
Selain pernah bertanding bagi kerusi Parlimen Sungai Buloh pada PRU15 atas tiket Barisan Nasional, dia juga pernah bertanding jawatan presiden Umno pada pemilihan parti 2018.
Secara berasingan, Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki turut mengesahkan bahawa bekas Naib Presiden Umno, Hishammuddin Hussein telah mengemukakan rayuan untuk menarik balik penggantungan enam tahunnya daripada parti, yang sepatutnya berakhir pada 2029.
“Berita yang cukup syahdu dan menggembirakan di malam-malam terakhir Ramadan. Selain Khairy, ramai lagi pemimpin-pemimpin yang pernah menabur jasa telah menyerahkan surat permohonan untuk kembali bersama memperkuatkan wadah perjuangan Rumah Bangsa.
“Iini termasuk Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein. Moga-moga Allah memberkati Umno sebagai Rumah Bangsa ini untuk terus memperjuangkan agenda Islam, Melayu dan Negara keseluruhannya.
“Alhamdulillah. Ya Allah Kami bersyukur atas nikmatMu ini!” katanya.
