Seorang peguam menggesa pihak polis menyiasat apa yang berlaku kepada anak guamnya, yang hadir ke mahkamah dengan kesan kecederaan selepas sehari berada dalam tahanan polis Serdang.
Menurut S Vinesh, anak guamnya dalam keadaan sihat sejahtera ketika ditahan pada Sabtu bagi membantu siasatan kes serangan dan khianat api terhadap pempengaruh media sosial, 'Cikgu Chandra'.
Bagaimanapun, pengusaha trak tunda berusia 40 tahun itu mengalami lebam pada anggota badan dan kelihatan “sangat tidak bermaya serta sangat lemah" apabila suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada keesokan paginya (Ahad) bagi pendengaran permohonan reman.

"Soalan saya sebagai peguamnya hanya satu: Macam mana anak guam saya yang sihat pada hari pertama ditangkap dan dibawa ke mahkamah.
“Hari kedua dibawa untuk sambung reman, tak boleh jalan dengan betul, kaki tangan bengkak, kepala bengkak, tidak boleh bernafas. Apa yang telah berlaku dalam jangka masa satu hari tersebut.
“Pihak kami bukan nak salahkan PDRM, tapi kami nak tahu apa berlaku pada dia. Kami mahu polis menyiasat siapa yang mungkin menyebabkan perkara ini, dan mengapa dia tidak segera dibawa ke hospital?" kata peguam itu kepada Malaysiakini.
Vinesh berkata polis menahan anak guamnya di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan (khianat dengan api) bagi membantu siasatan kes pembakaran di rumah Cikgu Chandra, dan pada mulanya menerima perintah reman selama dua hari.
Pihak berkuasa membawa lelaki itu ke mahkamah pada Ahad untuk memohon pelanjutan, namun Vinesh berkata majistret menolak permohonan polis dan sebaliknya memerintahkan lelaki itu dibawa ke hospital untuk pemeriksaan.
Di sebalik keputusan itu, peguam itu berkata polis menahan semula anak guamnya bagi membantu satu lagi siasatan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan (khianat yang menyebabkan kerosakan harta benda), yang juga berkaitan dengan serangan ke atas pempengaruh media sosial berkenaan.

Isteri suspek juga telah membuat laporan polis semalam berhubung keadaan lelaki itu, dan merayu pihak berkuasa agar membenarkannya mendapatkan rawatan perubatan.
Dalam laporan yang dilihat oleh Malaysiakini, suri rumah itu berkata suaminya mempunyai beberapa masalah kesihatan termasuk darah tinggi, gastrik, dan kadangkala mengalami kesukaran bernafas.
“Saya tidak mahu apa-apa perkara yang tidak diingini berlaku kepada suami saya ketika berada dalam tahanan.
“Saya berharap perkara ini akan diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa yang berkenaan dan sekiranya apa-apa berlaku kepada beliau, PDRM harus bertanggungjawab,” katanya.
Malaysiakini telah menghubungi Ketua Polis Daerah Serdang Muhamad Farid Ahmad dan Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar untuk mendapatkan ulasan.
Farid mengesahkan pihak polis telah menerima laporan suri rumah berkenaan, namun enggan mengulas lanjut dan meminta Malaysiakini merujuk perkara itu kepada Shazeli.
Anak guam Vinesh adalah antara 12 individu yang telah ditahan polis setakat ini berhubung kejadian awal bulan ini melibatkan Chandrasegaran.

Pada 10 Mac, Malaysiakini melaporkan bahawa tiga buah kereta milik Chandrasegaran telah dibakar dalam satu kejadian awal pagi di rumahnya.
Sehari sebelum itu, dia memuat naik sebuah video mendakwa pintu pagar rumah dan keretanya dirosakkan oleh individu bertopeng yang bersenjatakan parang.
Pagi tadi, Shazeli dalam satu sidang media berkata 12 suspek berusia antara 30 dan 40 tahun, termasuk seorang wanita, telah ditangkap di beberapa lokasi termasuk Banting, Subang, dan Serdang antara Khamis dan Ahad (semalam).
Menurut Shazeli, polis telah mengenal pasti bahawa tujuh daripada suspek didakwa mempunyai kaitan langsung dengan kejadian tersebut, termasuk dalang utamanya.
“Daripada 12 individu yang ditangkap, tujuh suspek dikenal pasti mempunyai kaitan langsung dengan kejadian dan masih direman bagi membantu siasatan.
“Lima lagi telah dibebaskan dengan jaminan polis termasuk wanita terbabit yang merupakan isteri seorang suspek.
"Dengan tangkapan itu, kami juga telah memberkas suspek utama yang merancang kejadian tersebut. Siasatan juga mendapati bahawa kejadian itu bermotifkan rasa tidak puas hati dan sakit hati,",” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di Shah Alam hari ini.
