Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dua bekas pengerusi JPKKP dakwa dana Sejati Madani 'ketirisan'

Sejahtera Komuniti Madani (Sejati Madani) yang dilancarkan pada Mac 2024 menyediakan peruntukan sehingga RM100,000 bagi menyokong aktiviti meningkatkan pembangunan sosioekonomi tempatan.

Ia disasarkan sebagai langkah menyokong pertumbuhan sektor seperti pertanian, penternakan, jahitan dan kraftangan, herba dan kesihatan, pelancongan serta hospitaliti, selain aktiviti berkaitan alam sekitar.

Di sebalik objektif dan matlamat yang begitu baik, wujud dakwaan yang pelaksanaan program itu menjadi ‘lubuk duit’ kepada ahli politik yang menawarkan khidmat sebagai orang tengah atau perunding bagi mendapatkan dana tersebut.

Malaysiakini membawakan kisah didedahkan dua individu yang mendakwa usaha mereka bagaikan dikhianati oleh pihak yang menawarkan khidmat sebagai perunding.

Seorang pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) di Terengganu mendakwa dia dilantik ke jawatan tersebut selepas menyertai sebuah parti politik pada 2024.

Menurut Azman (bukan nama sebenar), dia diberikan penerangan mengenai program Sejati Madani sebelum bersetuju bersama mengusahakan projek tanaman bawang dengan kerjasama ahli jawatankuasa yang kain.

Katanya, beberapa individu yang juga pemimpin parti peringkat negeri menawarkan ‘khidmat perunding’ bagi memohon kelulusan dana berjumlah hampir RM100,000 dengan menyediakan kertas cadangan dan menguruskan permohonan.

Hampir semua kena ambil

Mereka juga, dakwanya, berjanji akan menguruskan penyediaan kemudahan projek tanaman bawang bagi membantu JPKKP.

“Saya dan 20 orang peserta terdiri daripada penduduk kampung bersetuju memberikan komitmen untuk menguruskan projek tanaman ini, sebab kami tak pandai nak buat proposal dan dokumentasi permohonan.

“Sebab itu kami memberikan kepercayaan penuh kepada individu tersebut kerana mereka adalah pimpinan parti yang berjanji nak bantu,” katanya.

Semasa di peringkat awal, kata Azman, 70-an, proses itu berjalan dengan baik dan lancar sehinggalah dana sebanyak hampir RM100,000 diluluskan.

Pada awal Okt 2024, katanya, individu terbabit memberkan tiga invois kepada mereka dan meminta ia dilunaskan segera.

“Dia sendiri tulis tiga keping cek kepada dua syarikat berasingan dengan jumlah keseluruhan RM98,475.50.

“Maksudnya daripada hampir RM100,000 dana yang diterima daripada kerajaan, hampir semua dia ambil dan lebih kurang RM1,000 saja yang tinggal untuk kami dalam akaun JPKKP,” dakwanya.

Tidak saja itu, Azman juga mendakwa, beberapa bulan kemudian dia mendapati kerja-kerja yang berjalan tidak dibuat, manakala barangan yang dipesan tiba tanpa mengikut sebut harga atau harga terlalu tinggi.

“Hasil tuaian tanaman bawang pula hanya memperolehi kutipan puluhan ringgit saja," katanya.

Empat bulan kemudian, dakwa Azman, projek tanaman bawang tersebut tidak dapat diteruskan oleh JPKKP kerana hampir 100 peratus dana diambil oleh individu berkenaan melalui dua syarikat.

Kerana rasa diperdaya, kata Azman, dia menyelidik pemiliki syarikat yang menerima ketiga-tiga keping cek bayaran tersebut dan mendapati ia dimiliki oleh dua pemimpin parti terbabit.

"Susulan itu saya telah membuat satu laporan kepada pihak polis dan juga SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) supaya siasatan dibuat dan tindakan segera diambil.

“Saya juga telah dipanggil memberi keterangan kepada SPRM namun sehingga kini belum dengar sebarang perkembangan," katanya yang dipecat daripada jawatan pengerusi JPKKP selepas membuat laporan terhadap pihak berkuasa.

Rasa tak padan

Terdahulu seorang pemimpin Amanah menggesa SPRM menyiasat dakwaan penyelewengan peruntukan Sejati Madani dengan mendakwa program tersebut disalahgunakan.

Ahli Jawatankuasa Amanah Nasional, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, berkata dia menerima beberapa aduan berkaitan projek tersebut di Terengganu dan mengesyaki ada ahli politik peringkat negeri memanipulasi keadaan dan menyebabkan ketirisan.

Seorang lagi mangsa yang mahu dikenali sebagai Abdullah, 60-an, juga berdepan dengan modus operandi sama dalam usaha dia bersama penduduk kampung untuk menjalankan projek tanaman sayur.

Katanya, sebanyak RM99,858 dana Sejati Madani diambil oleh individu sama melalui dua syarikat yang sama, namun projek tersebut akhirnya gagal diusahakan susulan kehabisan dana.

"Malah kami dapati dana yang kami berikan (melalui akaun JPKKP) kepada mereka hampir RM100,000 iaitu dana Sejati Madani terlalu banyak berbanding apa yang mereka sediakan.

"Boleh dikatakan hampir semua dana digunakan (diambil) sepenuhnya yang disalurkan kepada akaun syarikat mereka.

“Saya rasa sangat tidak berpadanan dengan perkhidmatan dan bekalan peralatan projek yang mereka berikan,” katanya.

Susulan rasa tidak puas hati itu, kata Abdullah, dia membuat laporan kepada SPRM pada Julai tahun lalu.

Katanya agensi antirasuah itu juga sudah mengambil keterangannya.

“Saya memberikan kerjasama sepenuhnya supaya perkara ini disiasat oleh pihak berkuasa dengan telus," katanya.

Malaysiakini juga sedang mendapatkan respon daripada pimpinan parti yang dikaitkan dengan dakwaan tersebut.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, SPRM Terengganu memberitahu mereka sedang mengambil langkah susulan berhubung aduan yang dikemukakan oleh orang awam.

“Kertas siasatan telah dibuka pada tahun lalu dan SPRM mendapati tidak ada sebarang kesalahan yang dilakukan mengikut Akta SPRM 2009,” katanya.

Pengarah SPRM Terengganu Hazrul Shazreen Abd Yazid pula ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

Pada masa sama dia meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mahupun bukti berkaitan isu penyelewengan peruntukan Sejati Madani supaya tampil memberikan kerjasama.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS