Seorang bekas pengarah SRC International Sdn Bhd berkata beliau tidak terlibat dalam proses memperoleh kelulusan pinjaman RM4 bilion syarikat itu daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) kerana belum dilantik ke jawatan berkenaan.
Datuk Che Abdullah@Rashidi Che Omar, 77, yang menyertai syarikat itu pada Ogos 2011, berkata beliau hanya mengetahui mengenai pinjaman itu selepas ia diluluskan dan dibentang pada mesyuarat Lembaga Pengarah SRC.
“Saya bukan pengarah (ketika permohonan pinjaman pada Jun 2011)... jadi, saya tidak terlibat dan tidak boleh dilibatkan dalam permohonan atau kelulusan pinjaman itu,” katanya ketika membaca pernyataan saksi pada perbicaraan saman RM42 juta yang difailkan terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak oleh SRC dan anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd.
Bagaimanapun, beliau berkata pada pandangannya, Najib adalah faktor utama jika bukan satu-satunya faktor, yang membolehkan SRC memperoleh pinjaman itu.
"Penglibatan saya hanya terhad kepada meluluskan resolusi pemegang saham yang dibentangkan kepada Lembaga Pengarah SRC. Pada masa itu, semua keputusan dicadang, dibuat dan diluluskan oleh pemegang saham tunggal SRC (Menteri Kewangan Diperbadankan) tanpa budi bicara Lembaga Pengarah (BOD).
"Saya tidak fikir BOD boleh membantah atau menolak resolusi pemegang saham kerana ia sentiasa mengatasi keputusan BOD. Ini kerana resolusi itu bukan sahaja keputusan pemegang saham tetapi juga keputusan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada ketika itu, yang boleh ditafsirkan sebagai keputusan kerajaan," katanya.
Che Abdullah berkata struktur korporat syarikat ketika itu menyebabkan BOD lazimnya menyokong dan meluluskan arahan yang dikeluarkan oleh Najib dalam kapasitinya sebagai Penasihat Emeritus ketika beliau memegang jawatan sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Beliau juga tidak mempunyai pengetahuan secara peribadi mengenai pemindahan wang sebanyak RM123 juta daripada SRC atau anak syarikatnya, Gandingan Mentari kepada Ihsan Perdana Sdn Bhd, di mana RM42 juta kemudian dipindahkan kepada Najib.
"Meskipun transaksi itu berlaku semasa saya menjadi Pengarah SRC, saya bukanlah pihak yang menandatangani atau meluluskannya.
"Pemindahan dana daripada SRC kepada Gandingan Mentari tidak pernah diluluskan oleh BOD atau dibentang di hadapan BOD pada masa itu untuk dibincangkan. Justeru, saya tidak mempunyai pengetahuan secara peribadi mengenai transaksi ini dan perkara ini tidak dibawa kepada saya sebagai Pengarah untuk sebarang pertimbangan, penilaian atau kebenaran," katanya.
Beliau juga tidak bersetuju dengan dakwaan Najib bahawa bekas Perdana Menteri itu tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan atau tidak terlibat dalam proses membuat keputusan di pihak SRC, dan berkata struktur syarikat berkenaan memberikan Najib kuasa yang besar sebagai Penasihat Emeritus.
Che Abdullah juga menolak dakwaan bahawa kerugian yang didakwa dialami oleh SRC dan Gandingan Mentari adalah berpunca daripada kecuaian di pihaknya sebagai Pengarah, dan berkata sebarang keputusan berkaitan penggunaan atau pemindahan pinjaman KWAP dibuat oleh pemegang saham SRC.
SRC dan Gandingan Mentari, yang memfailkan saman itu pada 2021, memohon deklarasi bahawa Najib bertanggungjawab terhadap ke atas dana RM42 juta berkenaan serta menuntut ganti rugi atas penerimaan dengan pengetahuan, bantuan secara tidak jujur, salah laku dalam jawatan awam serta penyalahgunaan kuasa.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan berakhir hari ini dengan Che Abdullah sebagai saksi terakhir.
Mahkamah menetapkan 7 Ogos ini untuk kedua-dua pihak berhujah.
- Bernama
