Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penduduk Kg Papan demo depan pejabat pemilik tanah

Sekumpulan penduduk Kampung Papan, Klang berhimpun di pejabat TPPT Sdn Bhd bagi mendesak anak syarikat Bank Negara itu campur tangan secara langsung menyelesaikan kemelut yang membelenggu mereka.

Wakil penduduk, Teoh Ah Guat, 63, berkata mereka akan terus “memperjuangkan hak” sehingga tawaran perumahan baru dimuktamadkan.

"Kami bukan penghuni haram. Kami sudah ada di sini sejak sebelum merdeka.

"TPPT sebagai pemilik tanah asal tidak boleh lepas tangan dan biarkan kami dihalau begitu sahaja," katanya.

Protes turut dihadiri oleh pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Konflik dengan penduduk bermula sejak 1995 lagi apabila kerajaan Selangor dilapor memindahkan hak milik tanah seluas kira-kira 189.67 ekar kepada TPPT–syarikat yang ditubuhkan bagi memulihkan projek perumahan terbengkalai.

Bagaimanapun, pada 2007, TPPT dilapor membawa masuk pemaju swasta, dengan memberikan surat kuasa wakil untuk membangunkan tanah tersebut.

Pada 2020, pemaju mendapatkan perintah mahkamah untuk mengusir penduduk.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan penjelasan TPPT berkaitan perkembangan terbaru ini.

5 persoalan

Terdahulu, Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan dan wakil penduduk turut menyerahkan memorandum lima persoalan kepada TPPT.

Mereka antaranya mahu tahu kepada TPPT tidak membina rumah selepas mendapat tanah dan kepada ia diserahkan kepada pemaju lain.

"Selain itu penduduk juga mahu tahu mengapa TPPT sebagai tuan tanah membenarkan pemaju mendapatkan perintah pengusiran, bukannya menyelesaikan isu perumahan? 

“Dan apakah sebenarnya peranan TPPT syarikat bermotif keuntungan atau badan kebajikan rakyat?”soal Arutchelvan.

Arutchelvan yang juga penasihat Jawatankuasa Bertindak Kampung Papan, menegaskan, penduduk telah bersetuju dengan tawaran penyelesaian ketika Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) pada 2018, yang menawarkan rumah teres 20 x 70 kaki pada harga RM99,000, namun projek itu tidak pernah direalisasikan.

"Ini bukan soal meminta sedekah, tapi menuntut hak yang dijanjikan. 

“TPPT adalah anak syarikat Bank Negara, sebuah institusi kewangan negara. Jika mereka lepas tangan, siapa lagi yang akan mempertanggungjawabkan janji ini?" katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS