Seramai 11 individu bertindak memfailkan saman terhadap kerajaan dan polis berhubung penangkapan dan penahanan mereka yang didakwa secara tidak sah sebelum perhimpunan pada 7 Februari yang dikaitkan dengan Gerakan Anti Rumah Ibadat Haram (Garah) di Kuala Lumpur.
Dalam penyata tuntutan yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, kumpulan tersebut – yang terdiri daripada aktivis, penyelidik dan orang awam – menuntut permohonan maaf rasmi serta ganti rugi atas tindakan yang didakwa “bersifat pencegahan awal dan tidak berperlembagaan” terhadap kebebasan peribadi mereka.
Tujuh defendan dalam tindakan undang-undang itu ialah kerajaan Malaysia, Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Polis Negara Khalid Ismail, Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Sazalee Adam, serta beberapa anggota polis lain.
Para plaintif mendakwa bahawa penahanan mereka pada 7 Februari dilakukan secara mala fide (niat jahat), dengan beberapa daripada mereka menyatakan ditahan berhampiran kompleks beli-belah Sogo, sebelum perhimpunan itu bermula secara rasmi.
Selain berhujah bahawa pihak polis gagal memberikan sebab penangkapan secara serta-merta, yang secara langsung melanggar Perkara 5(3) Perlembagaan Persekutuan, saman yang difailkan melalui Chambers of Zainul Rijal itu turut menyorot beberapa kejadian yang didakwa menyebabkan tekanan fizikal dan emosi.
Plaintif keempat, Monashofian Putra, mendakwa dia ditolak sehingga jatuh dari tangga oleh lima anggota polis ketika mereka cuba menahannya walaupun dia telah menjelaskan bahawa dia hanya berada di situ untuk membeli-belah, menyebabkan kecederaan pada kakinya.
Plaintif kelima, bekas ketua penerangan Bersatu Hulu Langat Shafiq Abdul Halim, menyatakan bahawa sekumpulan polis menahannya ketika dia sedang berjalan meninggalkan lokasi protes, dengan anggota tersebut mendakwa mereka bertindak atas arahan Sazalee.
Plaintif kelapan, Elza Nadiah, mendakwa lengannya dipulas dengan kuat ke belakang sehingga pin tudungnya tercabut, menyebabkan dia berasa “terhina” di hadapan orang ramai, termasuk lelaki.
Plaintif pertama (Esma Hisham Zainul Nor) dan keenam (Jurasmadi Pauzi) pula mendakwa mereka diarahkan menghentikan siaran langsung di TikTok ketika merakam kehadiran polis yang ramai di lokasi tersebut, sebelum dibawa ke IPD Dang Wangi dan dibebaskan dengan jaminan polis pada awal pagi keesokan harinya.
Para plaintif juga merujuk kepada kenyataan Anwar pada hari kejadian, apabila perdana menteri memberi amaran keras bahawa “tindakan maksimum”, termasuk penangkapan, akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba mengganggu keamanan ketika negara sedang menerima tetamu asing.
Para plaintif berhujah bahawa kenyataan perdana menteri itu membawa kepada “misfeasance of public office”, iaitu keadaan di mana pegawai penguat kuasa mengetepikan prosedur undang-undang standard bagi memenuhi arahan eksekutif.
Selain permohonan maaf bertulis kepada setiap plaintif, kumpulan itu turut memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa tindakan Menteri Dalam Negeri dan Perdana Menteri adalah ultra vires (melangkaui kuasa undang-undang) di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012, serta pengisytiharan bahawa penangkapan mereka tidak berperlembagaan dan tidak sah.
Saman tersebut juga menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk (aggravated) dan ganti rugi teladan (exemplary), selain kos guaman serta faedah tahunan lima peratus ke atas jumlah yang diputuskan mahkamah, dikira dari tarikh penghakiman sehingga bayaran penuh dibuat.
