Seorang pemimpin MIC hari ini berkata parti itu mengalu-alukan keputusan BN untuk menyasarkan 115 kerusi parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang sambil menyeru kepimpinan gabungan agar segera melantik penyelaras di setiap kerusi bagi memulakan persiapan awal.
Pengarah Strategi Nasional MIC Sivaraj Chandran berkata langkah proaktif itu akan menunjukkan komitmen dan kesungguhan BN untuk bertanding dan memenangi 115 kerusi parlimen, sekali gus membolehkan jentera gabungan bergerak secara strategik di setiap kawasan.
"Saya menyeru kepimpinan BN supaya memulakan tahap kesiapsiagaan menghadapi PRU dengan menamakan penyelaras pilihan raya bagi 115 kerusi Parlimen serta kerusi-kerusi DUN yang akan ditandingi dengan segera.
"Dalam politik, time is of the essence (masa adalah penting). Oleh itu, kepimpinan BN perlu segera melantik penyelaras-penyelaras parlimen dan DUN bagi memulakan kerja-kerja persiapan pilihan raya dari sekarang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahli Dewan Negara itu berkata demikian susulan pemukiman tertutup BN di Putrajaya baru-baru ini, dengan kepimpinan gabungan mencapai kata sepakat untuk memperkukuh gabungan dan bersedia bertanding 115 kerusi parlimen serta lebih banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan BN berhasrat untuk bertanding sekurang-kurangnya 115 kerusi Parlimen pada PRU16 bagi memastikan gabungan itu kembali menerajui kerajaan pusat.
Hasrat itu dizahirkan Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi, dalam sesi pemukiman tertutup yang berlangsung di kediaman rasminya di Sri Satria, Putrajaya baru baru ini.
Sementara itu, Sivaraj berkata, pelantikan penyelaras parlimen dan DUN dengan segera akan memberi keyakinan kepada semua parti komponen dan sekutu BN bahawa keputusan bertanding 115 kerusi itu adalah komitmen serius, sekali gus mempamerkan kesungguhan BN untuk bekerja kuat bagi menghadapi PRU akan datang.
"Langkah ini merupakan pendekatan penting bagi BN meyakinkan rakyat bahawa gabungan ini benar-benar bersedia dan komited untuk menerajui negara selepas PRU nanti," katanya.
Untuk rekod, kerjasama antara BN dan PH bermula selepas keputusan PRU15 pada November 2022 menyaksikan parlimen tergantung apabila tiada mana-mana gabungan mendapat majoriti mudah iaitu 112 kerusi.
BN yang hanya memenangi 30 kerusi dan merekodkan keputusan terburuk dalam sejarahnya akhirnya menjadi penyokong utama untuk membentuk kerajaan selepas Zahid menerajui rundingan menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri.
Langkah itu mengejutkan ramai pihak memandangkan sebelum pilihan raya tersebut, Umno telah meluluskan usul "No DAP, No Anwar" dalam Perhimpunan Agung Umno.
Zahid dalam pelbagai kenyataan sebelum ini sering mempertahankan Anwar dan menyifatkan kerjasama BN-PH sebagai formula terbaik untuk kestabilan negara, malah pernah memberi bayangan kerjasama itu akan diteruskan ke PRU16.
Namun, perkembangan terbaru dalam pemukiman itu menunjukkan BN kini mula menyusun langkah untuk kembali menjadi dominan dan tidak lagi mahu sekadar menumpang kekuatan PH.
