Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Konflik Asia Barat: Pelan mitigasi kerajaan masih samar

ULASAN | Saya mengikuti perkembangan konflik di Asia Barat yang sedang memuncak, dan terpanggil untuk mengulas respon di pihak Kerajaan terhadap impaknya ke atas ekonomi Malaysia.

Kita sedia maklum bahawa konflik di Asia Barat yang tercetus pada 28 Februari lalu berpotensi memberi tekanan kepada ekonomi global melalui kenaikan harga bahan api khususnya petroleum, di samping gangguan rantaian bekalan serta peningkatan kos logistik dan pengangkutan.

Selat Hormuz yang terletak berhampiran kawasan konflik merupakan laluan bagi hampir satu perlima perdagangan minyak dan gas asli cecair (LNG) dunia, justeru sebarang gangguan di laluan ini boleh memberi kesan besar kepada keterjaminan tenaga global.

Malaysia tidak terkecuali daripada tempias ‘bahang’ konflik tersebut, yang pastinya akan menjejaskan prospek pertumbuhan ekonomi dan kestabilan harga pasaran, termasuklah impak terhadap sektor isi rumah dan perniagaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS).

Tidak dinafikan kerajaan telah mengeluarkan kenyataan awal berhubung konflik ini, antaranya berkaitan penerusan subsidi petrol dan diesel serta beberapa langkah penjimatan di pihak Kerajaan.

Turut dibangkitkan cadangan bekerja dan pembelajaran dari rumah bagi tujuan menjimatkan penggunaan tenaga di sektor awam.

Namun setelah lebih dua minggu konflik tercetus, kerajaan dilihat masih samar dalam menilai impak ekonomi secara menyeluruh, tanpa memberi petunjuk yang lebih konkrit berhubung langkah mitigasi yang boleh diambil bagi menyerap impak jangka pendek, sederhana, dan panjang terhadap ekonomi negara.

Tekanan pada harga barang

Kenyataan Menteri Kewangan dan Menteri Ekonomi setakat ini lebih bersifat ulasan dari sudut kenaikan harga minyak, tekanan inflasi, serta gangguan rantaian bekalan, namun tidak memberi petunjuk yang jelas tentang langkah mitigasi atau rangsangan fiskal sekiranya konflik berlarutan.

Kejelasan dasar ini penting bagi memastikan keyakinan rakyat, pelabur dan pasaran terhadap keupayaan negara mengurus ketidaktentuan ekonomi global.

Malah kenaikan harga minyak tidak semestinya menguntungkan negara secara bersih, kerana kos subsidi bahan api juga boleh meningkat dan memberi tekanan kepada kedudukan fiskal kerajaan.

Keadaan ini seterusnya boleh memberi tekanan kepada kestabilan harga barangan, peningkatan kos pengeluaran di pihak majikan dan peniaga, serta menjejaskan kelangsungan dan kesejahteraan ekonomi rakyat secara keseluruhan.

3M - Menyerap, Melindung, Memperkasa

Dalam hal ini, kerajaan perlu segera mengenal pasti dan menggariskan langkah dasar yang lebih jelas dalam kerangka “3M”, iaitu menyerap kejutan, melindungi rakyat seterusnya memperkasa ekonomi negara.

Pertama, langkah ‘menyerap’ kejutan ekonomi melalui mekanisme penstabil harga, sama ada melibatkan pengawalan subsidi di pihak pengguna dan industri, serta pelepasan stok bekalan makanan dan rizab simpanan tenaga, melalui pengurusan yang lebih fleksibel serta pemantauan bekalan strategik bagi tempoh jangka pendek dan sederhana.

Kedua, langkah ‘melindungi’ rakyat dan PMKS daripada tekanan kos melalui insentif sokongan dan bantuan yang bersasar, termasuklah melibatkan peranan institusi kewangan. Pengalaman negara mengemudi impak pandemik wajar menjadi ukuran.

Ketiga, langkah ‘memperkasa’ daya tahan ekonomi domestik melalui pengukuhan rantaian bekalan, keterjaminan bekalan makanan, keselamatan bekalan tenaga, serta sokongan kepada sektor PMKS dan keusahawanan.

Jangan pindahkan beban kepada rakyat

Pada masa yang sama, kerajaan hendaklah memastikan langkah menangani kejutan ekonomi tidak akhirnya memindahkan beban kepada rakyat dan peniaga, antaranya melalui peluasan cukai, mekanisme silang-subsidi, atau pengenalan dasar baharu yang menambah tekanan kepada majikan dan sektor swasta.

Justeru rakyat berhak mengetahui apakah pelan mitigasi ekonomi yang sedang disediakan oleh Kerajaan sekiranya konflik ini berlarutan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Perlu dipertegaskan, apa jua langkah mitigasi yang bakal diumumkan kelak, secara prinsipnya Kerajaan tidak boleh memindahkan beban krisis kepada rakyat.

Dalam keadaan konflik yang semakin memuncak, rakyat perlu diyakinkan bahawa kerajaan mempunyai pelan yang jelas dan langkah mitigasi yang konkrit untuk menyerap kejutan, melindungi rakyat, seterusnya memperkasa ekonomi negara.

SYAHIR SULAIMAN ialah Ahli Parlimen Bachok.

Tulisan ini tidak semestinya mecerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS