Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump terus menggesa sekutu Eropah agar "bertindak lebih lagi" bagi membantu membuka semula Selat Hormuz, menurut Rumah Putih pada Isnin, sambil membandingkan rayuan itu dengan desakan beliau sebelum ini agar anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) meningkatkan perbelanjaan pertahanan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
"Negara-negara ini sememangnya mendapat manfaat daripada usaha memastikan Iran tidak akan memperoleh senjata nuklear," kata jurucakap Rumah Putih Karoline Leavitt kepada wartawan.
"Ini adalah sesuatu yang dipersetujui bukan sahaja oleh Amerika Syarikat, tetapi seluruh dunia Barat sejak bertahun-tahun lamanya. Jadi saya fikir presiden amat wajar menggesa negara-negara ini untuk berbuat lebih lagi bagi membantu Amerika Syarikat membuka semula Selat Hormuz," katanya.
Leavitt berkata negara-negara seperti United Kingdom (UK) yang sangat bergantung kepada penghantaran tenaga melalui selat itu, turut mendapat manfaat daripada usaha mengawal keselamatan laluan air berkenaan.
"Presiden telah menyentuh mengenai perkara itu malam tadi. Beliau menyatakan harapannya agar UK bertindak lebih awal dan lebih pantas," katanya.
"Beliau terus berbincang dengan sekutu kami di Eropah dan menggesa mereka melakukan lebih lagi, sama seperti yang dilakukannya ketika menggesa mereka meningkatkan perbelanjaan pertahanan dalam NATO," katanya.

Pada Ahad, Trump menyeru China, Perancis, Jepun, Korea Selatan dan UK untuk menyertai apa yang disifatkannya sebagai "usaha berpasukan" bagi memastikan Selat Hormuz kekal terbuka dengan menghantar kapal perang, namun setakat ini belum ada negara yang menyatakan komitmen terhadap rancangan itu.
Perdana Menteri UK Keir Starmer pada Isnin berkata Britain "tidak akan diheret ke dalam kancah peperangan yang lebih luas", sambil menegaskan bahawa penghantaran tentera mestilah berdasarkan mandat undang-undang.
Menteri Luar Jerman Johann Wadephul turut menyatakan nada berhati-hati dengan berkata Berlin setakat ini tidak melihat sebarang keputusan NATO untuk mengambil tanggungjawab bagi mengawal keselamatan di Selat Hormuz.
- Bernama - Anadolu
