Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Ruang udara UAE ditutup semula susulan gangguan operasi
Diterbitkan:  Mar 17, 2026 9:49 AM
Dikemaskini: 1:53 AM

Penutupan ruang udara Emiriah Arab Bersatu (UAE) dilaksanakan hanya beberapa jam selepas perintah penggantungan ruang udara sebelum ini yang menjejaskan penerbangan komersial ditarik balik.

Stesen televisyen BBC melaporkan syarikat penerbangan Emirates, yang merupakan antara pembawa bendera nasional negara itu, sebelum ini menyambung semula "jadual penerbangan terhad" pada Isnin.

Langkah itu dibuat selepas Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Dubai menggantung sementara penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai sebagai "langkah pencegahan" berikutan satu insiden kebakaran.

Sementara itu, sebuah lagi syarikat penerbangan utama negara tersebut, Etihad Airways, turut mengendalikan "jadual penerbangan komersial yang terhad" dari Abu Dhabi.

Menurut kenyataan syarikat itu, keputusan berkenaan "diambil dengan penyelarasan bersama pihak berkuasa berkaitan selepas penilaian keselamatan dan sekuriti yang menyeluruh dilakukan".

Menurut laporan agensi berita, UAE mengumumkan penutupan sementara dan separa ruang udaranya sebagai langkah berjaga-jaga berikutan serangan peluru berpandu dan dron dilancarkan Iran.

Pengumuman itu dibuat oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Am (GCAA), yang menyatakan bahawa langkah luar biasa itu bertujuan memastikan keselamatan penerbangan, melindungi kru, dan menjaga kedaulatan ruang udara negara susulan peningkatan mendadak risiko keselamatan serantau.

GCAA berkata keputusan itu dibuat selepas penilaian keselamatan yang menyeluruh dan koordinasi dengan pihak berkuasa tempatan serta antarabangsa.

Pada 16 Mac, serangan dron mencetuskan kebakaran berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai, memaksa pihak berkuasa menggantung sementara operasi penerbangan dan mengalihkan beberapa pesawat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Al Maktoum.

Kementerian Pertahanan UAE turut menyatakan bahawa sistem pertahanan udara negara telah memintas puluhan peluru berpandu balistik dan dron sejak perang Amerika Syarikat (AS)-Israel dengan Iran bermula pada 28 Februari.

Dalam satu kes, sebanyak enam peluru berpandu dan 21 dron dipintas pada 16 Mac sahaja.

UAE juga melaporkan bahawa serangan yang lebih besar awal bulan ini menyebabkan penutupan penuh ruang udara selama dua hari, mengakibatkan ribuan penerbangan dibatalkan dan gangguan besar ke atas sektor penerbangan negara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS