Pendakwah bebas, Zamri Vinoth dan aktivis, Arun Dorasamy, masing-masing mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berasingan hari ini.
Zamri Vinoth, 42, atau nama sebenarnya Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pagi tadi mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman terhadap kenyataan yang dibuat dengan niat menyebabkan, atau mungkin mencetuskan kegentaran awam.
Dia dituduh melakukan kesalahan tersebut menerusi satu hantaran di Facebook pada 3 Feb lalu berhubung satu perhimpunan melibatkan "kuil haram".

Pendakwah bebas itu yang memakai kot warna biru dan berseluar hitam kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Faezahnoor Hassan, dan memohon dibicarakan.
“Faham pertuduhan, mengaku tidak bersalah,” katanya yang berada di kandang tertuduh.
Jika disabitkan kesalahan itu, Zamri boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau dengan kedua-duanya sekali.
Jaminan RM4,500 dengan seorang penjamin
Mengikut pertuduhan, Zamri Vinoth didakwa telah membuat kenyataan di akaun Facebook miliknya "Zamri Vinoth", pada 12.22 tengah hari, 3 Feb lepas, yang mungkin menimbulkan kegentaran awam yang boleh mendorong mana-mana orang supaya melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.
Kenyataan itu telah dilihat dan didengar oleh seorang lelaki berusia 45 tahun di Restoran Nasi Kandar Kudu, Jalan Tunku Abdul Rahman.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan [Akta 574] yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 April ini untuk sebutan kes.
Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nordin Ismail, Izzat Amir Idham dan Nur Farhana Mohamad Poad manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Hariz Md Yusoff.
Bukan ditangkap
Terdahulu, Mohd Nordin menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh kerana jumlah jaminan itu adalah munasabah.
"Lebih kurang 100 laporan polis telah dibuat hingga 3 Feb lepas...jadi ini yang kita katakan bahawa perkara menyebabkan kegentaran awam.
“Jumlah jaminan bukan satu kekangan kepada tertuduh, namun kami serahkan kepada budi bicara mahkamah," katanya.
Muhammad Hariz pula memohon jumlah jaminan minimum atas alasan kehadiran anak guamnya ke mahkamah hari ini adalah dengan kerelaan hati, bukan ditangkap.
"Anak guam saya tidak pernah menerima sebarang notis yang memerlukannya hadir ke balai polis untuk memberi keterangan atau dikehendaki menghadapi pertuduhan hingga dia dilarang ke luar negara," katanya.
Menurut peguam itu, Zamri Vinoth pergi ke Thailand pada 9 Mac lepas bukan untuk melarikan diri, sebaliknya berada di negara jiran bagi menguruskan pernikahan pasangan dan pulang ke Malaysia pada 12 Mac iaitu sehari sebelum Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail mengeluarkan kenyataan media.

Sementara itu, Arumugam Dorasamy atau juga dikenali sebagai Arun, 56, pula memohon dibicarakan atas satu pertuduhan di Mahkamah Majistret Jawi, Nibong Tebal.
Jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin
Dia didakwa membuat kenyataan di akaun Instragram miliknya yang dilihat dan didengar oleh seorang individu yang boleh mendorong mana-mana orang supaya melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam di sebuah pusat beli-belah di Batu Kawan dalam daerah Seberang Perai Selatan, pada 3.45 petang, 12 Mac 2025.
Kenyataan itu mengajak Pertubuhan Hindu Agamam Ani Malaysia mengadakan protes jalanan sekiranya tiada tindakan diambil terhadap pendakwah bebas Zamri Vinoth berhubung isu video kontroversi melibatkan tiga penyampai radio tempatan yang didakwa mempersenda satu perayaan agama.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan diketuai Pengarah Pendakwaan Pulau Pinang Nazran Mohd Sham bersama Timbalan Pendakwa Raya Airina Syazreen Zainurin memohon jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan peguam T Gunaselaan, Balwant Singh Purba dan Dickson Ng yang mewakili tertuduh bersetuju dengan wang jaminan tersebut.
Majistret Nurul Aina Ahmad kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin sebelum menetapkan 22 Jun ini untuk sebutan semula kes.
Arun membayar wang jaminan tersebut.
Semalam, Ketua Polis Negara berkata Arun antara empat individu yang akan dituduh di mahkamah berasingan di beberapa lokasi pagi ini kerana mengeluarkan kenyataan hingga mencetuskan perdebatan berbaur provokasi berhubung isu agama dan perkauman
Tiga individu lain adalah Zamri Vinoth di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur; Tamim Dahri (Mahkamah Majistret Langkawi, Kedah) dan P Mahendra Bhoopaty (Mahkamah Majistret Seremban, Negeri Sembilan).
Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan terhadap Arun selepas menerima laporan berhubung kes itu di Batu Kawan, di sini pada 12 Mac 2025 berkaitan video di aplikasi WhatsApp yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan melalui video dimuat naik di Instagram miliknya.
