Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hantar presiden pergi berperang, kata legenda MU, Eric Cantona
Diterbitkan:  Mar 17, 2026 10:56 AM
Dikemaskini: 2:56 AM

Legenda bola sepak, Eric Cantona mencadangkan satu undang-undang radikal antarabangsa bagi menghalang peperangan iaitu mana-mana presiden atau pemimpin negara yang memulakan konflik, menjadi orang pertama yang bertempur di barisan hadapan.

Bekas bintang Manchester United dan pasukan kebangsaan Perancis itu berkata, langkah tersebut bertujuan mendesak pemimpin politik supaya mereka lebih bertanggungjawab terhadap peperangan yang mereka lancarkan.

"Saya mahu wujudkan satu undang-undang. Kita minta mahkamah antarabangsa mewujudkan undang-undang yang mengatakan jika seorang presiden memutuskan untuk memulakan perang, dia harus menjadi orang pertama berada di barisan hadapan, bukannya menghantar remaja berusia 18 tahun.

"Jika begitu, saya fikir peperangan akan berkurangan," kata Cantona, 59, ketika muncul dalam program bual bicara televisyen Perancis, Clique.

Dalam wawancara tersebut, Cantona menegaskan bahawa pemimpin politik tidak sepatutnya membuat keputusan mengenai peperangan sambil berpeluk tubuh jauh dari medan tempur.

"Mereka semua berada di dalam pejabat sepanjang 25 meter, kemudian kita menghantar remaja berusia 18 tahun untuk mati meninggalkan rumah mereka.

"Malah di pihak lawan pula, ada yang belum mencecah usia 18 tahun—ada yang baru berusia dua atau tiga tahun. Mereka adalah golongan tidak bersalah, orang awam," katanya.

Kenyataan Cantona itu muncul ketika ketegangan geopolitik global semakin meningkat, khususnya berkaitan perang yang semakin memuncak melibatkan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran yang mendominasi tajuk berita antarabangsa sejak dua minggu lalu.

Cantona juga sering menjadi antara tokoh sukan yang lantang bersuara mengenai isu Palestin.

Dia sememangnya dikenali dengan kelantangannya dalam menyuarakan pendirian anti-fasis dan anti-perang. Dia kerap menggunakan platform Instagram untuk mempersoalkan apa yang dianggapnya sebagai "double standard" atau sikap pilih kasih dalam tadbir urus global.

Pada September 2025, dia pernah mempersoalkan mengapa FIFA dan UEFA pantas menggantung penyertaan Rusia, namun tidak mengambil tindakan serupa terhadap Israel.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS