Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Angka tentera AS cedera dalam perang Iran lepasi 200 orang
Diterbitkan:  Mar 17, 2026 11:37 AM
Dikemaskini: 3:37 AM

Jumlah anggota tentera Amerika Syarikat (AS) yang cedera dalam kempen ketenteraan bersama Israel terhadap Iran kini melebihi 200 orang merentasi tujuh buah negara, lapor jurucakap tentera AS pada Isnin.

Akhbar The Washington Post melaporkan kenyataan itu memberikan perincian paling mendalam setakat ini mengenai tahap risiko yang dihadapi oleh kakitangan AS di wilayah tersebut.

Ketua Jurucakap Markas Pemerintahan Pusat AS (CENTCOM), Kapten Tentera Laut Tim Hawkins berkata, anggota tentera terbabit cedera di Bahrain, Iraq, Israel, Jordan, Kuwait, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), terutamanya pada hari-hari awal konflik.

Bagaimanapun menurutnya, lebih 180 daripada mereka telah pun kembali bertugas.

Beberapa kecederaan hanya dilaporkan dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini apabila simptom—terutamanya kecederaan otak traumatik (TBI)—mula kelihatan. CENTCOM merupakan badan yang memantau operasi ketenteraan AS di seluruh Asia Barat.

Bagaimanapun, Hawkins tidak memperincikan jenis kecederaan atau punca insiden berkenaan apabila diminta mengulas lanjut.

ABC News sebelum ini melaporkan kecederaan yang dialami termasuk melecur, luka akibat serpihan serta kecederaan otak traumatik (TBI), memetik pegawai AS yang tidak dinamakan.

Daripada jumlah itu, sekurang-kurangnya 10 anggota dilaporkan mengalami kecederaan serius.

Kecederaan tersebut berlaku susulan tindakan Iran melancarkan gelombang serangan peluru berpandu dan dron berani mati ke atas kedudukan AS serta sasaran awam di seluruh rantau berkenaan.

Ia sebagai tindak balas terhadap kempen ketenteraan besar-besaran Presiden Donald Trump terhadap Iran yang bermula tiga minggu lalu.

Pegawai AS memaklumkan bahawa serangan mereka sejak beberapa hari kebelakangan ini tertumpu kepada memusnahkan pelancar peluru berpandu dan kemudahan simpanan dron milik Iran bagi mengehadkan keupayaan negara itu untuk membalas serangan.

Minggu lalu, jurucakap kanan Pentagon, Sean Parnell mendedahkan lebih 140 tentera AS cedera dalam perang tersebut dengan majoritinya kembali bertugas dengan pantas. Parnell pada masa itu menyatakan lapan anggota mengalami kecederaan serius.

Bagaimanapun, Hawkins pada Isnin berkata jumlah kecederaan serius meningkat kepada 10 orang selepas pegawai tentera menilai semula status kecederaan dua anggota yang tercedera pada awal kempen.

Setakat ini, tujuh tentera AS terbunuh dalam serangan Iran, manakala enam lagi maut minggu lalu apabila sebuah pesawat pengisi minyak KC-135 terhempas di Iraq. Pegawai tentera menyifatkan nahas itu sebagai kemalangan yang melibatkan sebuah pesawat lain.

Serangan paling besar ke atas anggota Amerika berlaku pada 28 Feb di Pelabuhan Shuaiba, Kuwait, apabila sebuah dron berani mati menghentam pusat operasi taktikal sehingga mengorbankan enam tentera AS.

Seorang lagi anggota maut akibat kecederaan dalam serangan di Pangkalan Udara Prince Sultan di Arab Saudi.

Pengerusi Ketua Turus Bersama, Jeneral Dan Caine dalam taklimat media pada Jumaat memaklumkan bahawa sebahagian besar kecederaan berpunca daripada serangan dron berani mati. Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth pula menambah bahawa "hampir 90 peratus" daripada mereka yang cedera hanya mengalami kecederaan ringan.

Sejak bermulanya operasi, tentera AS telah membedil lebih 7,000 sasaran di Iran, manakala Israel melancarkan sekitar 8,000 lagi serangan, menurut kenyataan fakta yang dikeluarkan CENTCOM pada Isnin.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS