Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Soal ‘masjid haram ke halal', lelaki mohon maaf pada umat Islam
Diterbitkan:  Mar 17, 2026 1:22 PM
Dikemaskini: 5:22 AM

Seorang pemandu e-hailing hari ini didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Seremban selepas mengaku bersalah memuat naik video di Facebook yang menyentuh sensitiviti agama dan boleh menyebabkan kegentaran awam, bulan lalu.

Tertuduh, P Mahendra Bhoopaty, 53, turut membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.

Mengikut kertas pertuduhan, Mahendra didakwa memuat naik video yang mengandungi kenyataan yang mungkin mendorong kepada kesalahan terhadap ketenteraman awam.

Dalam video tersebut, lelaki berkenaan dilaporkan berkata: “Kalau kuil India di bawah jambatan haram, yang ini masjid bawah jambatan flyover macam mana? Haram ke halal, cuba terangkan."

Kesalahan itu dilakukan di perkarangan Masjid Jamek Dato' Bandar Hj Ahmad Rasah, Kampung Dato Mansor, Seremban pada 27 Februari lalu, kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.

Pengarah Pendakwaan Negeri Sembilan, Ku Hayati Ku Haron dalam hujahannya memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal demi kepentingan awam.

Dia menegaskan bahawa perbuatan tertuduh berisiko menggugat keharmonian negara serta mencemarkan kesucian rumah ibadat.

"Hukuman yang dijatuhkan diharap dapat memberi pengajaran kepada semua pihak supaya tidak sewenang-wenangnya menyentuh sensitiviti agama di negara ini," tegasnya.

Mahendra yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu agar dikenakan denda paling minimum atas faktor kesempitan kewangan.

Dia mendakwa kini tidak mempunyai pendapatan tetap selepas kereta yang digunakan untuk memandu Grab mengalami kerosakan, selain perlu menanggung seorang anak dan bapanya yang uzur.

Selepas mempertimbangkan rayuan tersebut, Majistret Nurul Saqinah menjatuhkan hukuman denda RM4,000. Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara selama tujuh bulan sekiranya dia gagal menjelaskan denda berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS